Analisa Kejatuhan Kerajaan Pakatan Perak


Kealpaan Pakatan dan Campurtangan Istana
[Bahagian Pertama dari dua siri]

SEMUANYA seolah berlaku dalam mimpi saja, sekelip mata. Itulah yang dirasakan nasib yang diterima oleh kerajaan Pakatan Rakyat di Perak. Tetapi sebenarnya perancangan untuk menjatuhkan Kerajaan Pakatan itu dirancang sejak berbulan lalu. Kerana kesibukan kerajaan Pakatan menyusun dan mengaturkan pentadbiran (termasuk membeli Camry baru) menyebabkan mereka tidak terhidu perancangan itu. Ia berlaku seperti api dalam sekam.

Pihak BN, khas Umno yang aib dan merasakan muka mereka ditampal najis babi dengan kekalahan dalam pilihan raya umum lalu tidak mendiamkan diri. Mereka terus berusaha dan berusaha dengan mengeksplotasikan apa juga keadaan untuk menjantuhkan kerajaan Pakatan itu. Rakyat bawahan digerakan dengan dakyah-dakyah yang menakutkan dan diberikan gambaran masa depan mereka gelap di bawah kerajaan Pakatan.

Percaturan politik dalaman di Perak iaini perebutan untuk menguasai Umno Perak juga menjadi pemancu kepada projek menjatuhkan kerajaan Pakatan itu. Di mana mereka yang bernafsu untuk menguasai tampuk kekuasaan Umno Perak menjadikan projek itu sebagai menguji keupayaan kepimpinan dan kecerdikan mereka.
Bermula dengan serangan kepada kelemahan peribadi Mohamad Nizar Jamaluddin selaku Menteri Besar semasa sidang DUN Perak, oleh Tajol Mohd Rosli Ghazali sampailah kepada isu pemberian geran hak milik kekal tanah kepada penduduk kampung baru dan pemberian tanah kepada sekolah Cina, Tamil dan sekolah agama sebagai prasara modal untuk sekolah-sekolah berkenaan.

Isu tanah dan perkauman nampaknya digunakan dan manipulasikan sebaik mungkin bagi memburukkan kerajaan Pakatan Perak itu, dan ini berjaya.
Selain itu Nizar juga dikatakan menjadi MB boneka kepada DAP, khasnya kepada dua Exco bersepupu, Nyen Koo Ham dan Nga Kor Ming. Nizar dikatakan tukang endorce apa-apa keputusan yang telah dibuat oleh Koo Ham dan Kor Ming dalam mesyuarat Exco. Kedua mereka ini ini pula dikatakan lebih menjaga dan memberi kepuasan kepada masyarakat Cina berbanding menjaga kepentingan Melayu?

Hakikat ini mungkin benar apabila setiap jali selepas persidangan Exco semasa memberi kenyataan media Nizar selalunya diapit oleh kedua pemimpin DAP ini manakala Exco Melayu baik dari Pas dan PKR mengyisihkan diri. Penampilan begini memberi gambaran bahawa Nizar dikontrol oleh kedua Exco berkenaan atau DAP.

BN sedar bahawa cara itu tidak boleh meruntuhkan kerajaan. Isu peribadi terhadap Nizar tidak boleh diterima oleh rakyat sebab rakyat mengenali syaksiah Nizar. Rakyat boleh menilai sendiri sejauh manakah Nizar menjadi alat kepada DAP atau dipergunakan oleh DAP atau saling guna menggunakan antara satu sama lain. Lagi pun sesetengah polisi yang dilulus itu adalah sebahagian janji dalam manifesto yang dijanjikan oleh Pakatan Rakyat di mana ia tidak sepatutnya dimanipulasikan oleh mana-mana pihak.

Keinginan rakyat untuk melihat kerajaan baru setelah mual dengan kerajaan BN yang memerintah Perak selama 50 tahun begitu tinggi dan ini dijadikan jaminan lahiriah oleh kerajaan Pakatan untuk merasakan tekanan dan serangan itu tidak sampai boleh mengugatkan kerajaan.

Ini dapat dilihat tidak ada gerakan atau protes daripada rakyat bawahan. Rakyat kampung, peniaga kecil yang mengharap perubahan itu dan telah merasai sedikit sebanyak nikmat yang ditaburkan kerajaan baru tidak memberi apa-apa komen dan selesa dengan kerajaan Pakatan itu. Rakyat insaf dalam tempoh tidak sampai setahun apalah yang dapat dilakukan kerajaan untuk mereka.
Begitu juga dengan pegawai kerajaan tidak ada penentangan jelas terhadap kerajaan Pakatan itu. Mereka dapat berkerja dengan baik dan memberi kerjasama baik dengan Nizar.

Hanya apa yang berlaku ialah protes daripada dua badan NGO – Gagasan Melayu Perak dan Barisan Bertindak Rakyat. Kedua-dua NGO ini digerakkan untuk mengugat dan menjatuhkan kerajaan Pakatan yang menggunakan topeng untuk memperjuangkan Melayu dan menjaga hak-hak Melayu.

Dua tiga bulan lalu badan inilah yang aktif dan agresif menganjurkan demonstrasi, merentang sepanduk hingga sampai ke istana bagi membakar hati orang Melayu agar membenci kerajaan Pakatan. Badan ini menjadi galak kerana ia mendapat restu daripada pihak istana. Isu yang dimainkan ialah mengenai tanah dan juga hak Melayu semakin tergadai. Sekurang-kurangnya dua kali badan ini melangkah masuk ke istana dan pemimpinnya menyembah jabatan salam dengan Sultan Azlan Shah.

Peranan NGO ini yang diasaskan oleh Umno dan memperalatkan segelintir orang awam tidak disedari oleh kerajaan Pakatan. Mereka menerimanya hanya sebagai perangai Melayu yang suka 'berhora hore' saja dan tidak menduga ia berjaya mengheret istana dan rakyat membenci kerajaan Pakatan rakyat. Jadi pembendungan kepada kedua NGO ini tidak dibuat atau dibalas dengan sewajarnya.

Pentadbiran Pakatan Rakyat benar-benar menyerahkan kepada kebijaksanaan rakyat mempertahankan mereka tanpa menyediakan penampan yang kental terhadap badai yang makin mengamuk itu.

Masalah yang dihadapi oleh dua Exconya, Jamaluddin Mohd Radzi dan Othman Jailu juga dimanfaatkan sebaik mungkin oleh Umno. Tindakan kurang peduli pihak PKR ke atas kedua Exco ini menyebabkan ia diambil kesempatan oleh Umno. Dalam hal ini Umno mungkin menekan dan mengugut kedua Exco ini dengan tindakan undang-undang terhadap pertuduhan rasuah yang dihadapi oleh keduanya.

Bagi mereka yang tidak pernah merasai duduk dalam kandang orang salah, atau tidak pernah menghidu wap penjara dan apa lagi kes itu ada bukti jelas tentulah mereka takut bila digertak akan dikurung selama bertahun-tahun. Maka tindakan menyelamatkan diri diambil walaupun dengan menjual maruah diri dan kepercayaan rakyat kepada mereka dengan menyertai BN.

Strategi itu semua tidak menjadi masalah. Ia tidak sampai boleh mengugat dan akhirnya meranapkan kerajaan berusia 11 bulan itu. Tetapi apabila projek itu mendapat restu secara penuh diplomasi dari istana inilah yang membawa naah dan sial yang menjadi sukar untuk diatasi apa lagi dalam masa terdekat. Dalam mana-mana kancah politik di negara ini kalau sudah melibatkan campur tangan istana ia sukar diselesaikan dan biasanya penyelesaian berakhir dengan berpihak kepada institusi yang memiliki kuasa itu.

Melihat kepada senario yang berlaku di negeri Tempoyak itu memang nampak campur tangan dari istana untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan. Campur tangan ini tidak kelihatan sehingga pada hari-hari terakhir sebelum kerajaan itu menjadi nazak. Istanalah mempercepatkan untuk mengakhiri riwayat kerajaan Pakatan itu dengan menyintikkan dos pembunuh yang bernama kuasa mutlak.

Tanda-tanda bahawa projek yang dirancang demikian rupa itu mendapat restu istana apabila seperti disebut tadi sekurang-kurang dua kali pintu istana dibuka untuk menerima menghadap dua NGO yang bertopengkan Melayu tetapi melakukan kerja untuk kepentingan politik Umno. Kesediaan istana melayan badan ini menjelaskan segala-galanya.

Apa yang berlaku semalam dan hari ini menjelaskan campur tangan langsung daripada istana untuk melihat kerajaan Pakatan itu jatuh. Apa bila Sultan Azlan Shah tidak memberi perkenaan agar Dewan dibubarkan dan meminta Nizar meletak jawatan maka jelas apa yang tersurat. Penglibatan istana tidak boleh dilindungi dengan apa-apa penutup pun.

Sebenarnya bayangan yang istana tidak senang dengan kerajaan Pakatan ini sudah pun dizahirkan oleh istana sebelum ini. Paling akhir ialah ia diperlakukan oleh Raja Muda, Raja Nazri Shah semasa berucap merasmikan satu konvensyen di Kuala Lumpur. Dalam ucapan itu tiba-tiba saja Raja Nazri telah mengungkitkan soal teguran Majlis Raja-Raja Melayu ke atas tindakan British meneuris rancangan Brings yang telah mengambil tanah rezab untuk dijadikan penempatan 40,000 orang Cina yang berlaku pada tahun 1950.

Titah ucapan Nazri mengungkit sejarah itu bukan disengaja melainkan memberi mesej jelas yang istana tidak senang dengan dasar kerajaan Pakatan Perak dalam isu tanah. Sepatutnya kerajaan Pakatan mengambil iktibar daripada ucapan itu mungkin untuk memperbetulkan atau memberi penjelasan langsung kepada pihak istana.

Kesimpulannya apa yang berlaku – tumbangnya kerajaan Pakatan itu bukan disebabkan rakyat Perak menolaknya atau benci kepada kerajaan dokongan rakyat marhean itu tetapi ia adalah satu konspirasi berangkaian melibatkan Umno, istana serta mungkin juga Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR dan agensi lain seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan sekaliannya atas nama kepentingan Melayu!

MSO

No comments

Powered by Blogger.