Berlompat Sama Jatuh, Menyorok Sama Membongkok


Ada yang bertanya pada saya, “adakah YB boleh jamin Wakil Rakyat PAS tidak akan melompat”? Saya cuma diam, tidak menjawab sambil cuba merenungkan soalan ini.

Semenjak berlakunya fenomena lompat melompat di Perak baru-baru ini macam-macam reaksi yang kita lihat dan dengar. Ada yang menghantar SMS, apabila dengar sahaja Jamaluddin dan Othman melompat, menyatakan pandangan mereka bahawa kerusi Changkat Jering dan Behrang mesti diberi kepada PAS. Yang lain “kurang boleh dipercayai” ujar mereka. Seterusnya bila ADUN Jelapang melompat, DAP pula menjadi sasaran kutukan mereka. PAS sahajalah, mengikut mereka, yang boleh dipercayai.

Saya hendak berterus terang di sini. Tiada siapa boleh menjamin orang ini atau orang itu tidak akan melompat. Ini soal hati. Dan hati manusia boleh diterbalikkan oleh Allah pada bila bila masa, wa naudzubillahi min dzalik. Walau hebat mana sekalipun tarbiyyah yang diikutinya. Walaupun tidak dinafikan, tarbiyyah itu sebagai satu usaha yang kita lakukan untuk mengurangkan kemungkinan ianya berlaku. Kita berusaha untuk menanamkan perasaan takut kepada kemurkaan Allah dalam hati kita bersama supaya tidak akan berlaku khianat. Namun siapa boleh jamin sipolan bin sipolan tidak akan khianat? Pada zaman Ar-Rasul sekalipun, walaupun manusia pada ketika itu ditarbiyyahkan oleh Rasulullah (SAW) sendiri, berlaku Uhud, berlaku Hunayn, berlaku Tabuk, berlaku nifak dan berlaku riddah! Wa naudzubillahi min dzalik! Pada zaman para sahabat pun begitu dan Tabi’in wa Taba-Tabi’in pun begitu.

Itulah sebabnya kita sentiasa membacakan doa supaya kita terus diberi hidayah oleh Allah, “Ihdinas Siraatal mustaqeem” setiap kali kita bersalat, pada setiap rakaat, setiap kali membaca Al fatihah! Dengan harapan Allah tidak membalikkan hati kita. Hakikatnya dalam sejarah PAS pun ada yang melompat. Ada pada ketika nak turun sebagai calon tetapi tarik diri saat terakhir, menang calon BN tanpa bertanding. Ada pada masa aman damai, tiada angin meniup, tiada pohon bergoyang, lompat masuk BN. Dan bukan kecik-kecik anak pulak tu!

Lalu saya sendiri merasa tersentak apabila mendengar ada di kalangan sahabat-sahabat kita yang mengutuk rakan-rakan PR kita dengan begitu teruk sambil berkata dengan angkuh, “Wakil Rakyat PAS tidak akan melompat kerana hebatnya tarbiyyah kami”. Jangan sombong, jangan angkuh, takut-takut Allah terbalikkan hati kita disebabkan keangkuhan kita nanti. Sebaliknya mohon perlindungan dari Allah akan kelakuan yang sebegitu untuk diri kita semua. Dan ucaplah Alhamdulillah atas pertolongan Allah yang mengekalkan kita bersama dengan perjuangan ini. Semoga kita terus istiqamah hingga ke akhir hayat kita.

Saya khuatir ada yang ingin mengambil kesempatan pada ketika sebegini. Bila rakan tergelincir, ada yang bersorak. Dalam bahasa Inggeris ada menyatakan: With friends like that, who needs enemies? Dalam erti-kata yang lain kita menyorak kelemahan rakan kita sama sepertimana musuhnya. Kita tidak tahu maksud persahabatan.

Itulah saya begitu bangga bila melihat sikap pimpinan PAS Perak. Mereka ‘cool’. Mereka tidak menyalahkan PKR dan DAP dan tidak juga memperkecilkan PKR dan DAP. Itu kelemahan calon-calon berkenaan. Kerusi PKR tetap kerusi PKR dan kerusi DAP tetap kerusi DAP kata mereka. Kenapa? Kerana mereka sedar prestasi yang dicapai yang membawa kemenangan sehingga memerintah Perak telah hanya tercapai melalui pakatan dan kerjasama bersama PKR dan DAP.

Mereka tidak mengambil kesempatan dari kelemahan rakan dan rakan-rakan ini menghargai sikap mereka yang tidak menyombong dan oppurtunis. Hanya kita pohon pada rakan-rakan kita supaya berusaha lebih untuk menjamin kualiti calon-calon mereka. Namun, ujian seperti ini, setelah ditangani dengan baik, akan hanya mengukuhkan lagi persahabatan PR dan menonjolkan lagi keikhlasan dan keterbukaan PAS. Seperti kata peribahasa: Berlompat Sama Jatuh, Menyorok Sama Membongkok.


http://www.khalidsamad.com/2009/02/berlompat-sama-jatuh-menyorok-sama.html

No comments

Powered by Blogger.