hebatnya dia

Nama Timbalan Perdana Menteri (TPM) Datuk Seri Najib Tun Razak disebut dalam kes perbicaraan blogger Raja Petra Raja Kamarudin yang didakwa atas tuduhan menerbitkan sebuah artikel berbaur hasutan berhubung kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Ini berikutan peguam bela Raja Petra, Gobind Singh Deo merujuk terhadap afidavit salah seorang tertuduh dalam kes berkenaan iaitu Abdul Razak Abdullah (Razak Baginda) yang kini bebas dari tuduhan di mana afidavit berkenaan menyatakan, pada 20 Oktober 2006, beliau (Razak) telah bertembung dengan Pembantu Khas ahli politik itu, Deputi Superintendan Musa Safri di pejabatnya.

Merujuk kepada siapa ‘TPM’ yang dimaksudkan itu, Deputi Superintendan Gan Tack Guan lantas memberitahu, individu terbabit adalah Najib dan selepas itu beliau kemudiannya diasak sama ada siasatan terhadap ahli politik berkenaan telah dilakukan pihak polis.

Penolong Pengarah Pusat Biro Nasional/Interpol itu bagaimanapun menjelaskan, Najib tidak disiasat dan keterangannya tidak diambil kerana hasil siasatan mengesahkan ahli politik berkenaan tidak terlibat langsung dalam kes yang sedang dibicarakan ini.

”Beliau (Najib) tidak dipanggil untuk memberi keterangan kerana hasil siasatan mendapati beliau tidak terlibat dalam kes ini,” kata Tack Guan.

Penyelia dalam siasatan kes pembunuhan Altantuya itu kemudiannya terus didesak dengan pelbagai soalan selepas Gobind menolak keterangannya dengan mendakwa Tack Guan tidak seharusnya menyatakan sedemikian sedangkan tiada sebarang keterangan direkodkan terhadap Timbalan Perdana Menteri itu.

“Kalau kamu tidak ambil sebarang keterangan daripada TPM tentang keseluruhan siasatan dan beliau (Najib) tidak disiasat langsung, bagaimana kamu tahu kandungan artikel ini (artikel ‘Let’s Send the Altantuya Murderers to Hell’) tidak benar?” soal Gobind.

Peguam itu menyatakan, selama 30 tahun berpengalaman menjadi anggota polis, Tack Guan seharusnya tahu, Najib merupakan saksi penting tetapi mengapa tidak disoal siasat secara menyeluruh bagi memperoleh kebenaran.

Beliau menyatakan saksi itu seperti hanya main-main sedangkan kes sudah teruk tetapi Tack Guan tetap pendirian dengan menyatakan tidak perlu untuk menyiasat atau mengambil sebarang kenyataan daripada Najib.

”Dalam proses siasatan kita perlu lihat pembabitan seseorang, semua saksi adalah penting tetapi dalam kes ini Najib tidak terlibat jadi tidak perlu untuk ambil kenyataan beliau,” kata Tack Guan yang merupakan pengadu terhadap kes yang dihadapi Raja Petra kini.

Beliau pada 30 April 2008 telah membuat laporan polis di Balai Polis Tun HS Lee mengenai artikel ‘Let’s Send Altantuya Murderers to Hell’ setelah mendakwa empat isu dalam artikel yang diterbitkan blogger berkenaan tidak benar dan diada-adakan.

Raja Petra, 59, kemudiannya dibicarakan selepas mengaku tidak salah terhadap tuduhan menerbitkan artikel berkenaan di laman web www.malaysia-today.net pada 25 April 2008.

Pada perbicaraan semalam, Timbalan Pendakwa Raya Roslan Mat Nor turut membantah apabila Gobind cuba mengaitkan kes berkenaan dengan campur tangan politik dan menegaskan saksi kelima itu tidak mempunyai sebarang kuasa untuk memberi jawapan terhadap perkara berkenaan.

“Saksi merupakan pengadu dalam kes ini bukannya pegawai penyiasat. Justeru beliau tidak ada bidang kuasa untuk membuat sebarang pendakwaan,” katanya.

Perbicaraan bersambung.

source:sinar harian

No comments

Powered by Blogger.