Hukuman Apa Terhadap Pemerintah Yang Menderhakai Rakyat?-malaysiakini


Oleh: pendikar gunung kriang


Saya pernah mendengar satu ceramah agama di dalam TV. Saya tidak ingat TV mana dan siapa yang memberi ceramah dan saya juga tidak ingat bila ia disiarkan. Namun saya masih ingat tajuknya mengenai peranan ibu bapa dalam pendidikan anak-anak. Penceramah itu antara lain menyatakan bahawa jika anak tidak menunaikan tanggung jawab terhadap kedua ibu bapanya, maka anak itu boleh digelar anak derhaka. Tetapi ibu bapa juga boleh diberi gelaran yang sama -ibu bapa derhaka- jika mereka gagal menunaikan tanggung jawab terhadap anak-anak misalnya gagal memberi pendidikan dan perlindungan terbaik terhadap mereka. Istilah 'ibu bapa derhaka' yang dikeluarkan oleh penceramah itu mengikutnya adalah berdasarkan satu kejadian di zaman Nabi s.a.w yang pernah menggelarkan sepasang ibu bapa sebagai ibu bapa derhaka kerana gagal melindungi anak-anaknya seperti sepatutnya.

Kini setiap hari akhbar-akhbar kita penuh dengan cerita-cerita derhaka. Sampai sudah muak juga dengan cerita yang hampir sama pada setiap ketika - derhaka, derhaka, derhaka. PR derhaka, Karpal derhaka, UMNO derhaka. Derhaka, derhaka, derhaka.

PR, Karpal Singh dan UMNO dikatakan derhaka kerana melakukan perbuatan-perbuatan yang kelihatan melanggar perintah Raja atau menghina Raja. Ia seperti anak menderhakai kedua ibu bapanya atau seperti isteri menderhakai suaminya.

Jika penceramah agama yang saya katakan sebelum ini pernah berbicara tentang ibu bapa derhaka bagi menggambarkan ibu bapa yang gagal menunaikan tanggung jawab terhadap anak-anak, bolehkah kita juga gelarkan suami derhaka kepada suami yang gagal melaksanakan tanggung jawab terhadap isterinya?

Atau bagaimana tentang pemerintah yang gagal memenuhi tanggung jawabnya terhadap rakyat, bolehkah ia digelar pemerintah derhaka? Pemerintah yang gagal mengekang jenayah, pemerintah yang gagal melindungi rakyat dari kemiskinan dan kepapaan, pemerintah yang gagal mengubah kehidupan rakyat walaupun sudah diberi peluang memerintah selama 52 tahun, bolehkah ia digelar pemerintah derhaka? Pemerintah yang menaikkan parti A, tanpa menghormati suara rakyat yang memilih parti B, seperti yang berlakui di Perak itu, bolehkah juga ia digelar pemerintah derhaka?

Jika mengikut konsep derhaka seperti yang dikupas oleh penceramah yang saya katakan sebelumnya di mana ada istilah ibu bapa derhaka, maka tidak mustahil pemerintah yang tidak menunaikan tanggung jawabnya atau pemerintah yang tidak menghormati pandangan majoriti rakyat seperti yang berlaku di Perak, adalah juga layak digelar pemerintah derhaka.

Dan ketika BN sibuk untuk menghukum mereka yang derhaka terhadap Raja, apa pula hukuman terhadap pemerintah yang derhaka? Apakah perlu menunggu 4 tahun lagi sehingga PRU ke-13 untuk menghukum pemerintah derhaka itu atau rakyat boleh menghukum mereka serta merta sekarang?

http://pendikargunung.blogspot.com/

No comments

Powered by Blogger.