Perhimpunan sia-sia yang sudah terlewat

Adapun amat menghiburkan apabila semakin lama semakin banyak laporan Polis telah dibuat oleh pemimpin-pemimpin UMNO terhadap Karpal Singh kononnya Pengerusi DAP tersebut telah menderhaka kepada Sultan Perak. Saya tidak arif darihal undang-undang untuk menghuraikan betul atau tidak Karpal Singh telah pun menderhaka sebagaimana juga dahulu saya tidak mengetahui langsung samada perbuatan segelintir penyokong-penyokong UMNO di Terengganu yang memasang kain pemidang menggelarkan Sultan Terengganu dengan `Natang' itu derhaka atau tidak

Apa pun timbul kemusykilan mengapa ada ruang untuk sesiapa sahaja mengambil tindakan undang-undang ke atas Raja-Raja dan Sultan-Sultan di negara ini? Apabila ruang ini telah disediakan, mengapa pula menjadi kesalahan kepada mereka yang telah cuba mengisi ruang tersebut ? Tidakkah yang lebih derhaka kepada Raja-Raja dan Sultan-Sultan ini adalah mereka yang telah menyediakan ruang tersebut ? Kedaulatan Raja-Raja Melayu dahulunya begitu tinggi dengan bidang kuasa yang lebih luas serta digeruni oleh sesiapa sahaja yang cuba untuk meruntuhkan institusi Beraja ini. Malangnya, kerana emosi dan tamak kuasa, ada pihak yang telah merampas kuasa Raja-Raja atas alasan kuasa dikembalikan kepada rakyat, tetapi sebaliknya kuasa tersebut digenggam erat oleh puak-puak ini. Siapakah puak-puak tersebut ?

Seorang Mantan PM yang kini tiada berparti lebih arif tentang hal ini. Andainya beliau lupa kerana `Melayu mudah lupa', ada baiknya kita bertanya kepada waris beliau yang bakal bertanding sebagai Ketua Pemuda tidak lama lagi. Sudah tentu waris Mantan PM tersebut tahu sejarah kehebatan ayahandanya yang telah `merobek' kuasa Raja-Raja ini sewaktu rejim pemerintahannya. Inilah yang dimaksudkan dengan `ruang-ruang' yang telah disediakan lebih awal untuk memperkecilkan kedaulatan Raja-Raja Melayu. Kini, padahnya apabila ruang-ruang ini mula cuba diisi dan kita terasa amat kesal dan dukacita sekali. Nasi telah menjadi bubur, apalah ada pada ratap tangis lagi dan apalah ertinya kita melalak melolong sepanjang jalan ketika ini.

Sekiranya kita masih terasa sayang pada Raja-Raja kita, dan sekiranya ingin juga berhimpun untuk mempertahankan Raja-Raja kita, tunjukkanlah bantahan kita pada tuan punya angkara semua ini. Berhimpunlah di depan rumah Mantan PM tersebut kalau pun kita merasa segan-segan untuk berhimpun di depan Ibu Pejabat parti yang dahulunya dipimpin oleh beliau. Sanggupkah kita berbuat demikian? Jika kita tidak sanggup, bermakna kita tidak sekuat mana untuk mempertahankan kedaulatan Raja-Raja sepertimana yang kita laung-laungkan setiap hari itu.

Saya merasa teruja apabila pimpinan Pakatan Rakyat sebulat suara memberikan pengakuan akan mengembalikan kuasa Raja-Raja yang terhakis sebelum ini sekiranya Pakatan Rakyat mengambil alih Kerajaan. Sudah tentu pengakuan ini suatu berita yang baik kepada penghuni Istana di negara ini, tetapi malang tidak berbau sehingga kini pimpinan Pakatan Rakyat pula dituduh `Penderhaka' kepada Raja dan Sultan. Amat sukar untuk ditelan dan amat menyedihkan buat Pakatan Rakyat. "Tangan orang lain yang berkudis, tangan orang lain pula yang mahu dipotong". Tetapi, sebagai rakyat yang cintakan tanahair dan sayang kepada Raja, iltizam untuk mempertahankan kedaulatan Raja-Raja tidak pernah terpadam di setiap hati pimpinan dan penyokong Pakatan Rakyat. Biarkan mereka menari mengikut rentak mereka, akhirnya tarian mereka akan sumbang dan mereka akan terduduk tidak akan mampu bangun lagi. InsyaAllah, kebenaran pasti tiba dan kebathilan akan lenyap. Kuasa Raja-Raja tetap akan didaulatkan selagi Raja-Raja mendaulatkan rakyat jelata.

WFAUZDIN NS

No comments

Powered by Blogger.