EGM MCA: Realiti Atau Hanya Pura-puraan?


Oleh Alan Ting

KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) -- Dalam seminggu lepas, akhbar berbahasa Cina, silih berganti, memaparkan di muka depan masing-masing apa yang disifatkan sebagai perbalahan antara presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat dengan timbalannya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Ketika dua pemimpin berkenaan diketahui tidak sehaluan, dalam spekulasi terbaru, dilaporkan bersangkutan usaha para penyokong Dr Chua untuk memanggil Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) bagi meluluskan usul tidak percaya terhadap presiden.

EGM itu dicadangkan berikutan rasa kurang senang penyokong Dr Chua terhadap layanan pucuk pimpinan parti terhadap bekas menteri kesihaan itu, sekalipun beliau terpilih sebagai orang nombor dua dalam parti.

Dr Chua melakukan 'comeback' pada pemilihan parti Oktober tahun lepas, setelah meletakkan semua jawatan dalam parti dan kerajaan pada Disember 2007, berikutan penglibatan beliau dalam skandal seks VCD.

Pada sambutan ulang tahun ke-60 MCA hari ini, Ong menafikan cakap-cakap mengenai EGM dan kononnya beliau dan timbalannya tidak sehaluan, sekalipun berlaku pertikaian terbuka sebelum ini.

Bercakap pada sidang akhbar dengan kedua-dua pemimpin duduk berdampingan, Ong melahirkan rasa terkejutnya tentang khabar angin EGM itu, dan sebaliknya menanyakan pemberita: "EGM apa?. Ada orang panggil EGM?".

Ong, yang juga menteri pengangkutan, berkata beliau telah bertanyakan semua anggota jawatankuasa pusat (CC) MCA dan tidak seorangpun tahu mengenai EGM yang dicadangkan itu.

Sambil menyatakan bahawa perwakilan parti mempunyai hak memanggil EGM, beliau berkata sehingga hari ini, tidak ada permintaan seumpama itu dari anggota MCA.

Sebaliknya, kata beliau kedua-dua pemimpin (Ong dan Dr Chua) "terkejut" dengan cakap-cakap mengenai EGM dan menyalahkan media kerana "mereka cerita", hingga menimbulkan anggapan spekulasi itu benar.

"Tidak lebih, tidak kurang...kami berdua terkejut dengan laporan itu. Nasib baik kami tak kena serangan jantung," katanya berseloroh.

Dr Chua, sebaliknya, dengan nada tolak ansor yang sama, menegaskan beliau tidak ada masalah bekerja dengan sesiapa saja, termasuk presiden dan mereka yang lain dalam pucuk pimpinan parti.

Bagaimanapun, suasana berdamai ini tidak wujud lama.

Tidak sampai sejam kemudian, pada sidang akhbar berasingan, Dr Chua berkata beliau tidak dapat rasakan kejujuran Ong untuk bekerjasama dengan beliau, dan ini mencetuskan keraguan baru sama ada penafian kedua-dua pemimpin itu mengenai EGM itu adalah 'real'.

Menafikan sebarang peranan dalam EGM, yang dikatakan dirancang oleh penyokongnya, Dr Chua berkata pucuk pimpinan parti bagaimana harus mengkaji sebab-sebab wujud rasa kurang senang di kalangan penyokongnya.

"Ke mana saya pergi, orang bercakap mengenai EGM. Pucuk pimpinan mesti lihat mengapa, hanya lima bulan selepas pemilihan parti, akar umbi banyak bersuara. Kita perlu menilai diri," kata Dr Chua.

"Jika gesaan datang dari akar umbi, ia bukan sesuatu yang harus diambil ringan oleh kerana sesuatu EGM boleh menyebabkan perpecahan," kata beliau.

Sementara kedua-dua pemimpin atasan menafikan EGM akan diadakan, keadaan dan suasana sebelum dan selepas penafian menunjukkan halatuju sebaliknya.

Hanya masa akan menentukan sama ada EGM akan menjadi sebuah realiti, atau hanya sebuah fatamorgana.

-- BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.