jawapan KPM mengenai PPSMI

KENYATAAN AKHBAR
DATO’ HJ. ALIMUDDIN BIN MOHD DOM
KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA (KPPM)
4 MAC 2009 (RABU), PUTRAJAYA

HALATUJU PELAKSANAAN PPSMI

Setiap negara berhasrat untuk menyediakan sistem pendidikan yang berkualiti untuk semua warganya. Hasrat ini merupakan kesan daripada pelbagai cabaran dalaman dan luaran yang amat hebat termasuklah kesan globalisasi, liberalisasi dan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Selain daripada itu, desakan untuk membangunkan ekonomi negara dan mewujudkan barisan modal insan yang berupaya untuk menghadapi persaingan daripada negara lain juga memaksa sistem pendidikan kita berubah ke arah suatu yang lebih berkualiti.

Berhubung dengan PPSMI, seperti yang dijelaskan oleh YB. Menteri Pelajaran semalam, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah menyiapkan kertas kabinet berhubung cadangan hala tuju Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat.

Pada masa ini, KPM dalam proses mendapatkan ulasan daripada Kementerian-Kementerian berkenaan dan tarikh sebenar pembentangan kertas tersebut kepada Jemaah Menteri adalah bergantung kepada penerimaan ulasan tersebut.

Mengulas kepada perkara tersebut, KPM telah bersikap terbuka untuk mendengar, mengumpul dan menganalisis pandangan setiap satu daripada pihak yang berkepentingan dalam pendidikan. KPM telah mengambil sikap berkecuali dalam kesemua perbincangan yang telah diadakan agar sebarang perkara yang dibangkitkan dapat diterima dengan terbuka.

Tiada satu formula yang dapat menyelesaikan semua permasalahan yang timbul dalam penentuan masa depan dasar ini, akan tetapi seperti yang telah ditegaskan oleh YB. Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Pelajaran Malaysia tempoh hari, KPM akan mengutamakan empat (4) perkara penting dalam penambahbaikan hala tuju PPSMI ini, iaitu:

Tidak akan menjejaskan kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan malah akan terus meningkatkan usaha memartabatkannya;

1. Meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris bukan sahaja dalam kalangan murid tetapi juga seluruh warga KPM;

2. Meningkatkan kompetensi pengajaran guru dalam mata pelajaran Sains dan Matematik terutamanya guru-guru di luar bandar;

3. Memastikan pencapaian murid dalam mata pelajaran Sains dan Matematik khususnya di luar bandar terus cemerlang, dan dapat mencapai hasrat negara melahirkan modal insan yang mampu menyumbang kepada perkembangan sains dan teknologi.

Saya juga ingin menjelaskan bahawa penambahbaikan dan penyesuaian kepada dasar PPSMI ini nanti tidak akan menjejaskan anak-anak kita yang sedang mengikuti PPSMI sekarang dan ianya hanya akan melibatkan kohot Tahun 1 pada tahun hadapan. Perubahan ini juga selaras dengan usaha Kementerian untuk melaksanakan transformasi pendidikan yang melibatkan kurikulum dan pentaksiran yang akan bermula pada 2010.

Dalam usaha melaksanakan perubahan-perubahan ini, Kementerian tidak lupa kepada usaha untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris. Antara program dan aktiviti bahasa Inggeris tersebut ialah;

i. Memberikan fokus kepada kemahiran bertutur di peringkat sekolah rendah dan menengah, di mana guru-guru mengikuti program Early Literacy Through English (ELiTE) bagi sekolah rendah dan program Teaching of Speaking bagi sekolah menengah. Guru-guru tersebut telah menjalani latihan untuk mengendalikan pengajaran dan pembelajaran yang lebih menarik yang melibatkan kemahiran bertutur supaya dapat memberi keyakinan kepada murid untuk berkomunikasi. Latihan berterusan di dalam bidang bahasa Inggeris dibuat menerusi kursus-kursus yang dianjurkan secara berjadual;

ii. Usaha juga dijalankan untuk menghantar pegawai-pegawai mengikuti kursus khas dengan British Council atau institusi-institusi latihan di bawah KPM seperti Institut Perguruan Bahasa Antarabangsa (IPBA) dan English Language Teaching Centre (ELTC) serta berkursus di luar negara seperti di Regional English Language Center (RELC) Singapura, yang boleh membantu usaha peningkatan tahap penguasaan bahasa Inggeris;

iii. KPM juga telah berusaha menyediakan perisian ‘teaching courseware’ untuk kegunaan murid sekolah rendah dan menengah.

Pendidikan berkualiti dan kecemerlangan sistem pendidikan mesti dilihat sebagai suatu proses yang berterusan yang sentiasa perlu ditambahbaik. Pembentukan dasar dan hala tuju sistem pendidikan perlu relevan dengan keadaan semasa serta dapat menyelesaikan isu-isu terkini dan cabaran masa depan.

Jurang dari segi akses, equiti dan kualiti perlu ditangani dengan bijaksana dengan meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pengurusan pendidikan.

Akhirnya, penyediaan output sistem pendidikan yang berkualiti yang dihajati akan tercapai jika KPM bersama masyarakat secara bermuafakat menangani isu secara kolaboratif dan sistematik

1 comment

Mike said...

Ini lah kali pertama saya sokong Hishamuddin. Kalau boleh, kembalikan sekolah Inggeris macam dahulu. Budak kampong ceruk yang tak tahu sepatah haram Bahasa Inggeris bila masuk sekolah, boleh jadi Professsor di universiti terkenal di luar negeri.

Powered by Blogger.