Dari P.Pauh ke P.Pasir UMNO - BN vs Politik Baru

Khairy Jamaluddin ternyata meludah ke langit ketika mendakwa akan "kuburkan hayat politik Anwar Ibrahim di Permatang Pauh", setahun lalu apabila ia berakhir dengan "UMNO hampir dikuburkan".

Lim Hong Siang, Merdeka Review

Walaupun terbukti gagal dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh pada 26 Ogos tahun lalu, UMNO-BN tetap mengulangi taktik yang sama untuk menyerang "politik baru" yang cuba dijulang Pakatan Rakyat. Kemenangan Anwar Ibrahim dibaca sebagai kebangkitan suara rakyat untuk menuntut perubahan, namun tidak cukup untuk dijadikan pengajaran kepada BN, selepas satu tahun berlalu.

Walaupun diasak bertalu-talu dengan poster "kabinet babi", label "pengkhianat Melayu", banner "pengakuan Saiful diliwat" dan sebagainya, Anwar Ibrahim bagaimanapun memberi tamparan sengit kepada Najib, Timbalan Pengerusi UMNO ketika itu dengan kemenangan majoriti yang lebih besar.

Pemimpin BN sendiri mengakui bahawa "loceng amaran" telah berdering. Malah, Najib Abdul Razak mengulangi kenyataan "ubah atau diubah rakyat". Namun demikian, pilihan raya kecil selanjutnya, dari Kuala Terengganu hinggalah Manek Urai, menyaksikan bagaimana UMNO-BN mempermainkan isu "perkauman" dan "agama", sebagai strategi untuk menumpaskan musuhnya.

Derhaka, Boneka, Kerajaan Perpaduan

Setelah tsunami politik 8 Mac 2008, BN sedar bahawa kubunya terletak di Sabah dan Sarawak, dan kawasan luar bandar yang majoritinya pengundi Melayu di Semenanjung. UMNO berjaya mencuri kira-kira 5% undi Melayu di Bukit Gantang dari PAS setelah label "boneka DAP", "penderhaka" dilemparkan terhadap Menteri Besar Perak asal, Mohd. Nizar Jamaluddin.

Seterusnya, UMNO hampir menembusi kubu PAS di Manek Urai dengan pendekatan agama, selain menabur janji-janji pembangunan. Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin melembutkan "ego" dirinya sebelum itu, menjemput secara terbuka agar PAS membentuk "kerajaan perpaduan" dengan UMNO demi perpaduan umat Islam. Strategi ini selain menimbulkan kesangsian antara parti komponen PR, juga mewujudkan kekeliruan dalam kalangan penyokong PR, khususnya PAS.

Maka, UMNO selepas Perhimpunan Agung Mac tahun 2009, semakin jelas dalam pengaturan strateginya untuk mengembalikan kuasa. Seolah-olah wujudnya "pengkhususan peranan" dalam UMNO. Najib sebagai Presiden UMNO memainkan peranan Perdana Menteri untuk semua kaum, dengan konsep "1Malaysia" yang dilaungkan. Sementara itu, Timbalannya Muhyiddin Yassin menonjolkan diri sebagai pejuang kepentingan Melayu dengan serangannya terhadap dua ikon PR, iaitu Anwar Ibrahim dan Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Di samping itu, sayap Pemuda yang dipimpin graduan Oxford, Khairy Jamaluddin menampilkan diri sebagai pemimpin yang mampu menggarap imaginasi generasi muda dengan "keterbukaan"-nya dalam sesetengah isu, misalnya pendiriannya untuk meminda Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Dengan "pembahagian peranan" sedemikian, UMNO telah menyempurnakan proses penjenamaan semulanya (rebranding), cuba menawan semula empayarnya yang telah ditembusi PR dalam PRU ke-12.

Dilema parti komponen BN

Perkiraan ini mungkin bijak, dari perspektif UMNO. Namun, parti komponen lain dalam BN terpaksa berdepan dengan dilema. Misalnya, Presiden MCA, Ong Tee Keat yang sebelumnya mempertikaikan imej "moral" timbalannya, terpaksa menjawab apabila diajukan soalan tentang imej "moral" calon BN di Permatang Pasir, Rohaizat Othman yang dibatalkan lesen guaman.

Malah, taktik BN untuk menuduh PAS menjadi boneka DAP di kawasan Melayu, kemudian menuduh DAP diperkudakan PAS di kawasan bukan Melayu, menyukarkan pemimpin parti komponen untuk membela pendirian BN, malah mengerah sokongan dari pengundi bukan Melayu. Pengundi yang kini fasih dalam bahasa Melayu, akan mempersoalkan, apakah lidah UMNO, Utusan Malaysia menyiarkan sesuatu yang bercanggah dengan konsep "1Malaysia" yang diuar-uarkan?

Keadaan semakin malap apabila Presiden MCA, Ong Tee Keat kini berbalah dengan Bendahari Agung Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), Tiong King Sing dalam skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ). Kemampuan Menteri Kesihatan MCA, Liow Tiong Lai untuk memerangi wabak influenza A(H1N1) dipertikai, malah dibidas kerana lebih "bersungguh-sungguh" untuk menunjukkan sokongan terhadap Presiden MCA yang mendakwa dirinya bakal digulingkan.

Senario sedemikian memperlihatkan bagaimana persaingan politik gagal dipertingkatkan ke tahap di mana dasar, meritrokasi dan prestasi pentadbiran dijadikan kayu ukur, tetapi masih bergelut dalam lumpur perkauman dan agama. Pemimpin BN dilihat lebih bersungguh-sungguh membincangkan isu perkauman yang diwujudkan Utusan Malaysia, daripada memerangi rasuah, wabak influenza, aktiviti jenayah dan krisis ekonomi yang benar wujud dalam realiti.

Masa depan politik baru

Khairy Jamaluddin ternyata meludah ke langit ketika mendakwa akan "kuburkan hayat politik Anwar Ibrahim di Permatang Pauh", setahun lalu apabila ia berakhir dengan "UMNO hampir dikuburkan".

Setahun kemudian, destinasi Putrajaya tidak kesampaian, malah Anwar terpaksa berlegar di Penanti dan Permatang Pasir, menangkis serangan UMNO, yang kelihatan sudah bangkit semula.

PR kini berada dalam kedudukan tertekan, ditambah pula dengan kontradiksi yang wujud di celah parti komponen. Lebih-lebih lagi, sesetengah pemimpin PR turut terjerumus dalam penyelewengan yang memberi imej negatif.

Pengundi bakal membuat keputusan pada hari esok. Keputusan pilihan raya kecil ini bukan sekadar menentukan "hayat politik Anwar", tetapi lebih penting untuk menyampaikan mesej sama ada "politik baru" yang melangkaui batas kaum, ke arah reformasi sistem demokrasi negara, masih menjadi impian rakyat Malaysia.

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Melayu.

No comments

Powered by Blogger.