Ean Nafi Buat Tuntutan Palsu Dalam Inkues

SHAH ALAM, 26 Ogos - Ean Yong Hian Wah, ADUN Seri Kembangan hari ini berasa kesal dengan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana menuduhnya dan mendiang Teoh Beng Hock membuat tuntutan palsu dalam Inkues hari ini.

Ini berikutan empat dokumen tuntutan dan sebutharga kerja yang sudah dikemukakan kepada Inkues semalam, tidak disemak dan diteliti dahulu sebelum sebarang tuduhan dilemparkan.

“Mohd Anuar mengaku bahawa dia tidak pernah melihat gambar-gambar dan tuntutan-tuntutan yang diserahkan oleh peguam saya Salim tadi. Ini telah membuktikan bahawa tuduhan zalim mengenai Teoh Beng Hock dan saya membuat tuntutan palsu adalah tidak berasas langsung”, katanya pada pemberita.

Beliau bercakap kepada pemberita dalam sidang media selepas menghadiri mesyuarat exco di Ibu Pejabat Kerajaan Negeri Selangor, Shah Alam petang tadi.

Ean berkata semua dokumen tersebut diperolehi dari komputer riba Teoh yang dicetak oleh pembantu Pemangku Penguasa Kanan SPRM, Mohd Anuar Ismail.

Dokumen yang dikemukakan SPRM itu boleh dipersoalkan apabila ianya tidak ditandatangani dan dicop secara rasmi oleh mana-mana pihak, yang turut tidak pernah dilihat Ean Yong sebelum ini.

Dua dokumen tuntutan adalah kepunyaan Syarikat Aris dan Fizami Construction manakala dua sebutharga kepunyaan MKMN Enterprise dan MA Bina Melor Enterprise .

Menurut peguam Ean, empat dokumen tuntutan dan sebutharga tersebut boleh diperolehi melalui satu blog hitam yang tidak dikenali dan bukan sahaja dari pejabat SPRM.

Ean turut memberitahu sebelum ini SPRM telah menyerbu pejabat-pejabat daerah yang berkaitan dan merampas segala dokumen mengenai peruntukan kawasannya.

Ini berikutan semua dokumen dan gambar yang Ean serahkan kepada Inkues hari ini merupakan dokumen sama yang disimpan di pejabat-pejabat daerah masing-masing.

Ini jelas menunjukkan SPRM mempunyai agenda politik sendiri bukan sahaja mahu mengalihkan pandangan tanggungjawabnya ke atas kematian Teoh Beng Hock, tetapi juga mahu menjatuhkan imej parti DAP dan Pakatan Rakyat.

Ean mahu SPRM perlu berhenti untuk terus menjadi alat bagi UMNO-Barisan Nasional untuk melaksanakan rancangan merampas kuasa di negeri Selangor. - MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN

No comments

Powered by Blogger.