Hina Agama: Tidak Boleh Dimaafkan

Pemimpin politik harus berhati-hati mengeluarkan kenyataan agar tidak menyentuh sensitiviti agama dan kaum. Sensitiviti agama dan kaum tidak boleh dijadikan “barang dagang” bagi memperolehi keuntungan peribadi kerana ia terlalu mahal untuk “dijual beli” di pasaran politik.

Pemimpin politik harus sedar bahawa setiap ungkapan yang keluar dari mulut mereka senantiasa menjadi perhatian ramai. Maklumlah orang politik dipandang mulia oleh masyarakat. Sebelum jadi orang politik, nama hormatnya Encik atau Cik sahaja. Selepas jadi orang politik dan menang kerusi DUN atau Parlimen nama hormatnya bertukar menjadi Yang Berhormat – satu nama yang bukan kepalang besarnya. Walaupun kerjanya hanya “menyibukkan” dewan persidangan, selagi gelarannya Yang Berhormat, rakyat tetap menghormatinya.

Setelah bergelar “Yang Berhormat”, segala tingkah laku dan pertuturannya perlu dihormati, dinilai dan dihargai. Oleh itu, seungkap kata pemimpin politik yang “tersasul” boleh menyebabkan riuh satu negara. Apatah lagi dengan kenakalan sesetengah wartawan (wartawang?) yang gemar campur tangan dengan menambahkan resipi sendiri ke dalam kenyataan orang politik, maka kenyataan yang betul bertukar menjadi salah. Sebaliknya, kenyataan yang salah diperbetulkan. Rakyat pula seperti merelakan diri “dilembukan” – apa sahaja maklumat yang disalurkan akan diterima bulat-bulat tanpa berfikir secara matang.

Mutakhir ini banyak kedengaran orang politik atau pihak yang condong ke arah politik berbicara tentang perbuatan menghina agama Islam dan institusi istana. Semuanya bermula begitu pantas bak halilintar musim peralihan monsun. Bermula dengan kes rampasan arak di Selangor, isu menghina Islam merebak ke seluruh tanah air. Banyak orang membidangkan dada memberi pendapat masing-masing. Tidak kurang juga yang berlagak seperti ulama, mengeluarkan “fatwa” peribadi. Sayangnya, pendapat dan “fatwa” itu tidak menggambarkan realiti kerana semuanya bersandar pada ideologi politik masing-masing.

Seperti dijangka, akhirnya Tok Guru Nik Aziz Nik Mat menjadi sasaran kritikan pemimpin UMNO, kononnya beliau “menghalalkan” perbuatan menghina Islam oleh pemimpin DAP. Sejak menjadi Menteri Besar Kelantan, kenyataan Tok Guru jarang disambut dengan aman oleh orang UMNO. Kenyataan Tok Guru selalu berlawan arus dengan kemahuan UMNO.

Sebelum ini Tok Guru dikecam kerana menggagalkan gagasan kerajaan perpaduan PAS-UMNO. Setelah kerajaan perpaduan digagalkan kerana agenda tersembunyinya terbongkar, timbul pula isu baru iaitu kerjasama Kerajaan Kelantan dengan Kerajaan Pusat. Akibat kedangkalan sesetengah pemimpin UMNO yang menyalah tafsir idea Tok Guru, maka sekali lagi Tok Guru menjadi sasaran. Kata-kata “pergi jahanamlah UMNO” oleh Tok Guru melentingkan ramai orang UMNO.

Untung batu tenggelam, untung sabut timbul. Sewaktu Tok Guru dikecam oleh kebanyakan pemimpin UMNO, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kelihatan berbaik-baik dengan Tok Guru. Ramai yang gembira melihat gambar Tok Guru mendukung anak kambing putih sambil diperhatikan oleh Najib Razak dengan senyuman mesra.

Betulkah Tok Guru “membenarkan” pemimpin DAP menghina Islam? Sepintas lalu, terutamanya bagi mereka yang membaca akhbar perdana, terasa seperti benar. Masakan tidaknya kerana saban hari ada-ada sahaja kenyataan orang politik yang membidas Tok Guru.

Akan tetapi apabila difikirkan dengan matang, timbul pula satu persoalan. Kenapakah pemimpin yang selama ini diketahui ramai tidak endah dengan pengembangan Islam, kerana sibuk dengan perjuangan bangsa, tiba-tiba beralih angin kepada Islam dan menuduh pula pemimpin yang memperjuangkan Islam “membenarkan” penghinaan ke atas Islam?

Secara jujur saya merasakan bahawa kenyataan berkaitan Islam oleh Tok Guru lebih diyakini, malah boleh dijadikan pegangan berbanding kenyataan oleh pemimpin politik UMNO. Bukan niat saya merendahkan pengetahuan agama orang UMNO, tetapi gaya hidup Tok Guru yang sederhana lebih hampir dengan gaya hidup Islam. Dakwah cara Tok Guru mampu membuka mata orang bukan Islam untuk mendalami ilmu Islam.

Apakah sebenarnya definisi “menghina agama” yang diterima pakai di negara kita? Apakah apabila kita mengkritik individu tertentu atau pertubuhan keagamaan, kita dilabel sebagai menghina agama biarpun tidak terniat di hati kita hendak mempersoalkan kesucain agama tersebut? Perlakuan individu dan persatuan keagamaan (perbuatan manusia) tidak boleh disamakan dengan kesucian agama. Mengkritik perbuatan Ahmad (Islam), Ah Chong (Buddha) atau Mutu (Hindu) tidak boleh disinonimkan dengan mengkritik Islam, Buddha atau Hindu.

Begitu juga apabila kita mengkritik institusi agama. Misalnya, apabila saya mengatakan kuil Buddha di Jalan Tun Razak menjadi penyebab kepada kesesakan lalu lintas setiap kali perayaan keagamaan diadakan, adakah saya ini menghina agama Buddha? Rasanya tidak adil kalau saya dituduh menghina agama kerana saya bercakap tentang pengurusan kuil yang lemah – yang menyebabkan kesesakan lalu lintas – bukannya mempertikaikan kesucian agama.

Walau bagaimana pun tafsiran “menghina agama” bagi setiap agama di atas muka bumi ini mungkin berbeza. Tafsirannya akan lebih berbeza apabila dimasukkan unsur politik dan ideologi ke dalamnya.

Namun, kita harus sedar bahawa tiada penghinaan agama yang lebih hina daripada perbuatan individu yang menggunakan agama untuk kepentingan diri atau institusi yang diwakilinya. Agama terlalu suci untuk dijadikan alat oleh manusia untuk mengejar kepentingan duniawi.

Dan orang yang mengaku ada agama tetapi tidak mengamalkan ajaran agamanya, malah sengaja menggadaikan nilai-nilai agamanya demi kuasa, maka dialah orang paling hina dan patut dikutuk.

Perbuatan menghina agama merupakan perbuatan yang tidak boleh dimaafkan. Hari ini kita menghina agama orang, hari esok orang menghina agama kita pula. Sekiranya perbuatan ini dibiarkan berterusan, maka bersedialah kita untuk hidup tanpa keamanan.

1malaysia

No comments

Powered by Blogger.