Isu Ronnie Liu di Selangor : Pandangan Prof Dr Abdul Aziz Bari

PRINSIP YANG MAKIN MENGELIRUKAN

Umum mempunyai tanggapan yang berbeza terhadap kenyataan Datuk Dr Hassan Ali dalam isu penjualan arak di Selangor Selasa lalu. Begitu juga dengan anggota-anggota DAP dan Pas sendiri yang masing-masing menjadi sebahagian daripada Kerajaan Negeri Selangor. Kekecohan yang melibatkan perbezaan pendapat antara Hassan dengan Ronnie Liu itu kemudiannya mengundang kenyataan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang dilaporkan meminta kedua-dua anggota Exco itu menutup mulut dan mengambil tanggungjawab untuk membuat kenyataan berhubung dengan isu berkenaan. Bagaimanapun setakat ini Liu masih berdiam diri. Hanya Hassan yang banyak bercakap.

Seperti yang diketahui kekecohan yang berlaku di Selangor itu bukanlah yang pertama kali. Ia telah berlaku sebelum ini dan melibatkan parti-parti lain dalam Pakatan Rakyat. Ia juga pernah dan kerap berlaku dalam Barisan Nasional. Contoh yang terbaik dan paling jelas ialah sikap anggota cabinet Tan Sri Bernard Dompok yang tiga tahun lalu menyanggah kenyataan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dalam soal kedudukan Malaysia sebagai sebuah Negara Islam.


Soal apakah kenyataan itu benar atau tidak adalah soalan lain dan tidak relevan disini. Apa yang penting dari segi prinsip perlembagaan yang mengikat anggota-anggota pentadbiran kerajaan atau kabinet ialah semua anggota cabinet – atau Majli Mesyuarat Kerajaan (EXCO) kalau di peringkat negeri – tidak boleh mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan satu sama lain dikhalayak ramai.

Prinsip yang dipanggil tanggungjawab bersama (collective responsibility) itu adalah sebahagian daripada prinsip yang utama yang dipanggil tanggungjawab menteri (ministerial responsibility). Selain tanggungjawab bersama satu lagi cabang di bawah doktrin tanggungjawab menteri ini ialah tanggungjawab menteri secara individu (individual responsibility). Ini merangkumi tanggungjawab menteri ke atas portfolio yang meliputi tugasan, kementerian atau jabatan di bawah pengawasan menteri berkenaan. Bagaimanapun ini tidak berkaitan dengan isu di Selangor dan boleh kita bincangkan cabang kedua itu dalam kesempatan yang lain.

Doktrin tanggungjawab menteri disebut secara sepintas lalu oleh Perkara 43(3) dan peruntukan-peruntukan yang sama di dalam perlembagaan-perlembagaan negeri. Sementara ini Suruhanjaya Reid menyebut prinsip-prinsip tersebut dengan agak terperinci dan mencadangkan agar kita merujuk di United Kingdom. Meskipun di sana doktrin tanggungjawab menteri itu hanyalah kenvensyen – Britain tidak ada perlembagaan bertulis – ia dipatuhi dan diamalkan dengan konsisten. Sebab itulah Robin Cook, Setiauasah Luar dalam cabinet Perdana Menteri Tony Blair, meletakkan jawatan kerana tidak setuju dengan Britain menyokong pencerobohan Iraq oleh Presiden Goerge W Bush.

Tidak seperti di Malaysia kejujuran, prinsip dan integriti amat dituntut di kalangan ahli-ahli politik di sana. Di sini menteri tanpa segan silu terus memegang jawatan meskipun pelbagai skandal dan kelemahan didedahkan. Di Britain perbezaan pendapat dengan kerajaan dan rakan sekabinet sudah cukup kuat untuk mereka meletakkkan jawatan dan ini dilakukan tanpa dipaksa. Seolah-olah automatic. Ini amat mengagumkan saya.

Ada juga beberapa insiden di Malaysia yang menunjukkan bahawa doktrin tanggungjawab bersama itu dilaksanakan. Ini termasukkan perletakan jawatan Datuk Asri dan dan rakan-rakan Pasnya dari cabinet Barisan Nasional pada 1977. Sedekat kemudian kita menyaksikan peletakan jawatan Datuk Rais Yatim dari cabinet Mahathir. Terbaru kita menyaksikan tindakan yang sama oleh Datuk Zaid Ibrahim yang tidak bersetuju dengan penggunaan ISA.

Doktrin tanggungjawab menteri ini penting di sisi perlembagaan kerana inilah caranya parlimen khususnya dan rakyat umum memantau dan menghukum kerajaan yang memerintah. Ini kerana di bawah sistem Westminster – yakni demokrasi berparlimen – eksekutif tidak dipilih secara langsung oleh rakyat. Sebaliknya ia dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja dan Yang di-Pertua Negeri. Melalui doktrin tersebut rakyat dapat mengikat semua anggota kerajaan dan meminta mereka bertanggungjawab. Jika anggota-anggota cabinet dibenarkan bercakap mengikut selera masing-masing adalah sukar dan mungkin mustahil untuk mereka dipertanggungjawabkan.

Sekiranya ada anggota cabinet hendak mengambil pendirian yang berbeza atau tidak setuju dengan pendirian atau dasar umum kerajaan maka anggota itu hendaklah meletakkan jawatan. Jika tidak Perdana Menteri – Menteri Besar atau Ketua Menteri – boleh memecat anggota itu dari cabinet.

Ini yang dilakukan ke atas S. Sotianathan yang mempersoalkan dasar kerajaan menghantar pelajar perubatan ke Ukraine. Dari segi prinsip sebenarnya dia tidaklah terikat dengan ketat kerana beliau bukan menteri penuh. Bagaimanapun sikap ini tidak kosisten dalam kes Bernard Dompok yang bukan sahaja mengambil sikap berbeza dengan sengaja tetapi mengulang pendirian itu dengan tegas dan degil. Dompok dibiarkan oleh Abdullah begitu sahaja.

Berbalik kepada kekecohan di Selangor itu tindakan yang diambil oleh Khalid sebagai Menteri Besar adalah tepat dan wajar. Ia selaras dengan kehendak perlembagaan. Hassan boleh diberi amaran kerana ini bukan kali pertama beliau berbuat demikian. Tetapi ini sukar dilakukan kerana Hassan tidak datang dari parti yang sama. Dan inilah sebenarnya kesulitan melaksanakan doktrin tadi. Meskipun Hassan pernah melakukan hal yang sama sebelum ini – dalam soal pelantikan Pengurus Besar PKNS – nampaknya tidak mudah untuk beliau didisiplinkan.

Mungkin Pas perlu berbuat sesuatu. Selain Hassan anggota kerajaan yang lain yakni Iskandar Abdul Samad juga pernah melanggar doktrin yang sama sebelum ini. Secara kebetulan anggota EXCO dari Pas itu juga berlaga dengan Ronnie Liu. Ketika itu Iskandar berkata ia hendak menunjukkan bahawa dalam kerajaan sekarang ada ruang untuk berbeza pendapat. Itu salah kerana ia bertentangan dengan ketetapan perlembagaan.

Kalau Iskandar hendak berbeza pendapat beliau mesti meletakkan jawaatn sebagai EXCO dan bertindak di dalam kerangka penyokong kerajaan. Di situ beliau boleh berkokok dan menjerit sesuka hati tanpa batasan. Termasuk mengundi menentang kerajaan. Sebagai ahli EXCO beliau mesti mempertahankan segala keputusan dan dasar kerajaan. Beliau hanya boleh bertengkar dan berbeza pendapat di dalam mesyuarat EXCO. Di luar mesyuarat itu semua tidak dibenarkan.

Saya fikir isu yang melibatkan arak ini tidaklah susah sangat untuk ditangani kerana ada undang-undang yang berkaitan. Biarkan pegawai dan pihak berkuasa berkenaan melaksakannya mengikut proses biasa. Mungkin Hassan dan Pas Selangor hendak menunjukkan kepada pengundi melayu dan Islam bahawa mereka prihatin terhadap agama dan bangsa Melayu. Tetapi caranya salah dan tidak selari dengan kehendak perlembagaan. Dan rakyat boleh menghukum mereka sebagaimana yang disebut oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

* Profesor Dr Abdul Aziz Bari mengajar Undang-Undang di UIAM Gombak.

No comments

Powered by Blogger.