Mohd Hamdan tabur bakti tanpa harapkan liputan

Pemergian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir, Dato' Mohd Hamdan Abdul Rahman memang menyedihkan sanubari saya sebagai wartawan suara PAS di Pulau Pinang.

Apa tidaknya, beliau ialah sifu (guru) yang tidak dapat dilupakan sama ada dalam mengatur strategi perjuangan untuk parti mahupun masyarakat.

Beliau seorang yang senang didekati, ramah mesra, tidak kedekut ilmu, tidak lokek wang ringgit dan tidak mahu menyusahkan orang. Banyak lagi budi Allahyarham yang payah dilupakan.

Ketika saya tiada kenderaan untuk bergerak sebagai wartawan, beliau sanggup datang mengambil saya di rumah semata-mata untuk pergi ke mana-mana lokasi yang saya telah janjikan dengan orang ramai.

Saya selalu bersama beliau dan kadang-kadang disertai pegawai khasnya, Shamsul Kamal Shafie yang juga penggerak utama di Dun Permatang Pasir mengadakan tinjauan tidak kira siang ataupun malam.

Jika ada isu seperti bantahan aman pekerja kilang, bantahan penduduk India di Butterworth, perkampungan terlibat dengan projek, masalah kemiskinan dan sebagainya akan diterjah atas nama Pesuruhjaya PAS Negeri atau saya akan pergi dulu dan kemudian akan disusuli oleh beliau.

Untuk makluman, sebelum diamanahkan jawatan Pesuruhjaya PAS Negeri setelah pemergian Tuan Guru Zabidi Ali, beliau terlibat secara langsung dengan perniagaan Al-Badar Enterprise. Bagaimanapun setelah memikul amanah sebagai Pesuruhjaya PAS negeri, perniagaan yang terokainya itu diserahkan pada adik-adiknya untuk diuruskan.

Sepanjang penglibatan dalam arena politik tanah air beliau sering berpindah randah. Allahyarham pernah tinggal di Teluk Air Tawar, Taman Abdullah Fahim, Taman Bertam, bersebelah Markaz PAS Negeri di Pongsu Seribu, Kubang Semang dan di Pusat Khidmat Dun Permatang Pasir. Semuanya disewa.

Cuma pada awal tahun ini sahaja beliau dan keluarga dapat membeli rumah di Taman Penaga setelah menunaikan haji ke Makkah bersama isterinya yang sedang sakit, Datin Siti Khairiah Ismail.

Semasa mula dilantik Pesuruhjaya pada penghujung tahun 1989, Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang di bawah Lajnah Kebajikan yang diketuai Shamsul Kamal bercadang menganjurkan Konsert Nasyid oleh sebuah kumpulan yang meningkat naik waktu itu 'Lambaian Kasih' dari Terengganu.

Allahyarham bertindak sebagai penaung dan berjaya memberikan tunjuk ajar bagaimana mengendalikan organisasi di samping memberikan galakan awal agar program tersebut dapat diterima ahli dan penyokong PAS yang semasa itu agak janggal dengan penganjuran konsert.

Memang betul telahan itu apabila ada sekelompok ahli PAS yang menentang tetapi atas keprihatinan beliau sebagai Pesuruhjaya, ia ditangani dengan baik dan akhirnya konsert itu mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Program berkenaan diadakan di NPC Kepala Batas.

Selepas berjaya memecah tradisi itu sekali lagi Allahyarham meneroka projek makan malam bersama Menteri Besar, Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat yang pada mulanya dicadangkan di Dewan Kompleks Tabung Haji, Bayan Lepas. Bagaimanapun apabila tempahan telah dibuat, pihak Tabung Haji datang berjumpa memohon kemaafan kerana pihak atasan di Kuala Lumpur tidak membenarkan premis itu digunakan untuk program tersebut tanpa sebarang alasan.

Setelah jawatankuasa majlis berkenaan hilang arah maka beliau tidak segan silu bertemu saya bertanyakan di mana boleh mendapatkan katering dan peralatan khemah yang lengkap dengan kipas dan kerusi meja.

Saya waktu itu baru sahaja selesai menganjurkan program Makan Malam Industri di Kampung Guar Kepayang yang disertai Dato' Mahfuz Omar. Lantas saya terus memperkenalkan beliau kepada seorang rakan dari Kulim yang memang terlibat dengan katering. Akhirnya program yang hampir dibatalkan dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Saya masih ingat lagi dua program yang disebut tadi adalah program awal yang sebelum ini tidak pernah diterokai oleh mana-mana pemimpin PAS Pulau Pinang. Selepas itu baru banyak aktiviti seumpama itu dilaksanakan di serata kawasan dan cawangan sehinggalah ke hari ini.

Saya betul-betul berbangga dengan sikap Allahyarham yang tidak menghalang idea yang datang walaupun ianya daripada orang bawahan seperti saya.

Bila Allahyarham memenangi kerusi Dun Penanti pada pilihan raya umum 1999, saya antara orang yang paling seronok diiringi sekalung doa harapan untuk beliau melaksanakan amanah dengan sempurna.

Bersama beliau ialah Adun Penanti, Abdul Rahman Kader yang kemudiannya dilantik sebagai Ketua Pembangkang Dun Pulau Pinang. Memang beliau layak ke jawatan itu kerana baru sahaja pencen dari Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Bermula dari saat itu Allahyarham terus berbakti tanpa mahu usahanya disebarkan menerusi media kerana bimbang diganggu anggota Cawangan Khas (SB). Mohd Hamdan bimbang jika ada kakitangan kerajaan yang diugut atau digertak apabila membantu beliau mendapatkan peruntukan membina semula rumah yang terbakar, membantu rakyat miskin dan seumpamanya.

Kali kedua menduduki kerusi Adun pada tahun 2003, beliau ditimpa keuzuran. Lebih menyedihkan keuzuran itu bukan sangat berpunca dari keadaan fizikal khususnya jantung yang lemah, tetapi fitnah dan cacian yang sering diterimanya melalui Sistem Panggilan Ringkas (SMS).

Beliau hampir-hampir mengambil keputusan untuk tidak bertanding bagi penggal kedua kerana ingin memberi peluang kepada orang lain, tetapi apakan daya ramai di kalangan pengundi masih menyayanginya.

Akhirnya beliau sekali lagi menerima tawaran untuk bertanding setelah menerima nasihat Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Mustaffa Ali. Kali ini beliau menang tipis dengan majoriti 679 undi.

Namun pada pilihan raya umum ke-12, Allahyarham menang bergaya dengan majoriti 5433 undi. Ini sekaligus menandakan rakyat di Permatang Pasir sangat berpuashati dengan perkhidmatan beliau.

Khidmat yang dihulurkannya secara senyap-senyap tanpa liputan media nampaknya membekaskan hasil. Strategi 'diam-diam ubi berisi' nampaknya lebih berkesan daripada 'bertelur sebiji riuh sekampung'.

Tarikh 31 Julai adalah hari yang menyedihkan apabila Wartawan Harakah Kuala Lumpur, Wan Nordin tidak semena-mena menhantar mesej bertanyakan benarkah berita mengatakan Mohd Hamdan telah meninggal dunia.

Lantas saya terus menghubungi Pesuruhjaya PAS Negeri, Ustaz Saleh Man yang mengesahkan berita sedih itu. Hati saya rasa luntur kerana tidak berkesempatan menulis lagi untuknya buat kali terakhir.

Dua minggu sebelum dijemput Ilahi, saya dan seorang rakan sempat bergurau dan bertanya khabar beliau ketika bertemu di Bandar Sunway, Seberang Jaya berdekatan Pejabat Harakah Pulau Pinang. Mohd Hamdan bersama anaknya, Ahmad Adil yang menjadi pemandu peribadi, datang ke situ untuk menjelaskan bil.

Allahyarham Dato' Hamdan Abdul Rahman bukan sahaja sahabat, pemimpin bahkan sifu bagi saya dan rakan-rakan seperjuangan di Pulau Pinang.

No comments

Powered by Blogger.