Najib Perlu Tarbiah Isteri Dahulu Baru Tarbiah Orang Lain!

PELBAGAI pihak termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam memberikan reaksi terhadap penangguhan hukuman sebat ke atas Kartika Sari Dewi Shukarnor, 32.

Hukuman secara fizikal merupakan langkah terakhir dalam melaksanakan undang-undang jenayah syariah terhadap pesalah terutama wanita.

Islam lebih mengutamakan tarbiah secara berhemah terhadap pesalah terbabit supaya mereka lebih sedar dengan kesalahan dilakukan.

Rasa simpati, belas kasihan serta tarbiah merupakan intipati di dalam Islam dan itu yang diamalkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

*Ketua Hakim Syarie Pahang, Datuk Abdul Rahman Yunus memberi jaminan menyemak semula enakmen hukuman sebat atas kesalahan minum arak selepas Aidilfitri ini yang turut membabitkan kes Kartika.

KUALA LUMPUR 25 Ogos – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, menjatuhkan hukuman secara fizikal merupakan langkah terakhir dalam melaksanakan undang-undang jenayah syariah terhadap pesalah terutama golongan wanita.

Perdana Menteri berkata, Islam lebih mengutamakan tarbiah secara berhemah terhadap pesalah supaya mereka lebih sedar dengan kesalahan yang telah dilakukan sebelum ini.

“Rasa simpati, belas kasihan serta tarbiah merupakan inti pati dalam Islam dan itu yang diamalkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

“Oleh itu, apabila mengenakan hukuman (terhadap pesalah) proses tarbiah sepatutnya lebih penting berbanding hukuman fizikal kerana ia sejajar dengan sifat Islam yang simpati dan belas kasihan kepada umatnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian sambutan Hari Wanita Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini malam ini.

Turut hadir isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Seri Norainee Abdul Rahman; dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Dalam pada itu, Najib turut menyentuh mengenai wanita yang sering menjadi mangsa dalam kes-kes kekeluargaan seperti nafkah dan penceraian.

“Dalam kita melaksanakan hukum syariah terlalu banyak kes nafkah, cerai dan sebagainya yang mana wanita sering jadi mangsa.

“Ini kerana tiada kerja-kerja penguatkuasaan dalam menguatkuasakan keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah syariah,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri menyatakan komitmen kerajaan untuk memastikan kuota 30 peratus golongan wanita sebagai pembuat keputusan tercapai.

Menurutnya, ia boleh dicapai kerana wanita juga mempunyai kebolehan sama dengan lelaki malah dalam beberapa bidang bilangan mereka lebih ramai antaranya penuntut di institusi pengajian tinggi (IPT).

“Berdasarkan rekod jumlah wanita di IPT kira-kira 65 peratus. Begitu juga dengan beberapa kementerian yang mana kita dapati jumlah mereka lebih ramai daripada lelaki,” katanya.

Mengenai pelancaran Dasar Wanita Negara malam ini, Najib berkata, terdapat beberapa perkara pokok yang harus diberi tumpuan.

“Pertama, persekitaran yang kondusif perlu dibentuk dalam usaha memastikan peranan wanita menjadi lebih aktif serta bebas daripada unsur-unsur diskriminasi.

“Satu lagi perkara yang perlu diberi penekanan ialah keperluan membenarkan wanita bekerja dalam waktu yang lebih fleksibel selain menggalakkan kewujudan pusat asuhan kanak-kanak di tempat kerja,” katanya. - Utusan

No comments

Powered by Blogger.