Pengkhianat Bangsa: Hanya Wujud di Kalangan Orang Melayu?

Pilihan Raya Kecil Permatang Pasir akan berlangsung keesokan hari, iaitu 25 Ogos. Pilihan raya kecil ini ada keistimewaanya yang tersendiri – isu pengkhianat bangsa dan negara ditimbulkan khas untuk penduduk Permatang Pasir.

Sekarang ini isu yang berkaitan dengan pengkhianat bangsa dan negara heboh diperkatakan. Datuk Seri Anwar Ibrahim dilabel oleh UMNO sebagai pengkhianat Melayu.

Sebagai tindak balasnya, orang PKR menuduh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebenarnya yang mengkhianat Melayu kerana menjual tanah di Johor kepada Singapura.

Pemuda PAS pula mencabar Pemuda UMNO berdebat tentang pengkhianat negara.

Anehnya, isu pengkhianat bangsa ini hanya wujud di kalangan Melayu sahaja. Orang bukan Melayu tidak pernah menimbulkan isu pengkhianat bangsa. Kita tidak pernah dengar ada orang Cina, India, Iban atau Kadazan menuding jari kepada mana-mana pemimpin mereka dan menuduhnya pengkhianat bangsa. Kenapa?

Kita tidak tahu sebab yang jelas kenapa hanya di kalangan Melayu yang ada pengkhianat. Akan tetapi isu yang dibangkitkan oleh UMNO (Muhyiddin menuduh Anwar pengkhianat Melayu) ini sedikit sebanyak mencemarkan imej Melayu itu sendiri. Apa tanggapan orang Cina dan India terhadap Melayu? Kerana kepentingan parti, Melayu sanggup menuduh sesama keturunan sebagai pengkhianat bangsa?

Orang Melayu beragama Islam. Oleh itu, pengkhianat Melayu ialah pengkhianat Islam. Mengkhianat Melayu bererti mengkhianat Islam. Ini satu tuduhan yang berat dan tidak boleh dipandang enteng oleh orang-orang Melayu.

Ini bukan isu yang boleh dibicarakan di kedai kopi, di lobi hotel atau di restoran kari kepala ikan sewaktu berbuka puasa. Isu ini sepatutnya dibawa ke muka pengadilan bersama bukti dan saksi. Tuduhan kosong tidak boleh dilayan, malah harus dihukum kerana memalukan bangsa sendiri.

Walau bagaimanapun isu pengkhianat ini tidak akan ada kesudahannya selagi Melayu belum bersatu di bawah satu bumbung parti kerana isu ini seperti sengaja ditimbulkan untuk menarik sokongan Melayu. Adalah mustahil untuk menyatukan Melayu di dalam satu parti kerana ideologi perjuangan Melayu itu sendiri beraneka. Semenjak zaman penjajahan British lagi, ideologi perjuangan Melayu ada pelbagai.

Jadi, orang Melayu akan terus jadi bahan ketawa orang-orang bukan Melayu?

Adakah hanya pengkhianat bangsa dan negara sahaja yang wujud?

Bagaimana dengan pengkhianat rakyat? Pengkhianat rakyat ialah orang yang mengkhianati amanah rakyat.

Datuk Nasaruddin Hashim, Adun Bota, pernah isytihar keluar UMNO untuk masuk PKR selum kembali semula ke pangkuan UMNO. Manakala Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang), Kpt (B) Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (Jelapang) keluar dari parti (PKR/DAP) untuk jadi wakil rakyat bebas. Yang terbaru Adun Lunas, Mohammad Radzhi keluar PKR untuk jadi wakil rakyat bebas.

Adakah mereka ini layak dipanggil pengkhianat amanah rakyat?

Sebenarnya pengkhianat bangsa, negara mahupun pengkhianat rakyat bukan ditentukan oleh mana-mana pemimpin. Mungkin orang yang melabel orang lain pengkhianat itu sendiri ialah pengkhianat paling besar. Siapa tahu.

Rakyat yang akan menentukannya. Dan tahulah rakyat bagaimana cara untuk menghukum pengkhianat tersebut. Pilihan Raya Umum merupakan medan hukuman yang paling rasional.
satu malaysia

No comments

Powered by Blogger.