Perancangan kerajaan negeri dalam usaha membangunkan negeri ini yang melibatkan semua sektor.

Soalan Bertulis YB. DATO’ MAHMUD BIN ZAKARIA (Sg Acheh): Merujuk kepada teguran yang mengatakan Pulau Pinang adalah mundur berbanding dengan beberapa negeri lain di Malaysia. Apakah perancangan kerajaan negeri dalam usaha membangunkan negeri ini yang melibatkan semua sektor.

Jawapan: Pembangunan Negeri Pulau Pinang kebelakangan 18 tahun ini tidak berjalan begitu pesat berbanding dengan negeri lain seperti di Ipoh dan Seremban. Pembangunan infrastruktur di kedua-dua tempat ini jauh berbeza daripada 20 tahun yang lalu tetapi pembangunan yang ketara atau perubahan tidak begitu jelas dilihat di Pulau Pinang. Itulah pandangan Menteri Mentor Singapura H.E. Lee Kuan Yew apabila beliau melawat Pulau Pinang pada 13 Jun 2009. Semasa kunjungan hormat beliau ke Negeri Pulau Pinang, beliau mengulas sedemikian terhadap apa yang dilihat dan ditinjau. Pulau Pinang memerlukan lebih banyak infrastruktur seperti jalan raya, jambatan, lapangan terbang serta rangkaian komunikasi.

Walaupun Pulau Pinang merupakan salah sebuah negeri yang maju di Malaysia selain daripada Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johor dan Selangor, yang berjaya menarik pelaburan sebanyak RM10.2 bilion pada tahun 2008, namun dalam Rancangan Malaysia Ke-Sembilan menyatakan bahawa pertumbuhan pendapatan keluarga bagi negeri Pulau Pinang untuk 10 tahun yang lepas adalah antara yang terendah sekali. Antara tahun 1999 sehingga 2004, pertumbuhan pendapatan keluarga di Pulau Pinang adalah 2.5% bagi setiap tahun di mana kadar pertumbuhan peringkat kebangsaan adalah 6.6%. Pada tahun 1999, pendapatan rakyat Pulau Pinang adalah 85% daripada pendapatan rakyat Selangor, dan dalam 5 tahun, angka ini telah menurun ke 68% pada tahun 2004.

Untuk membangunkan semula Pulau Pinang sebagai Pulau Mutiara yang bersinar, Kerajaan Negeri Pulau Pinang berhasrat untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah bandaraya bertaraf antarabangsa. Pulau Pinang perlu mengembalikan zaman kegemilangannya seperti suatu ketika dahulu. Usaha perlu diteruskan untuk membuktikan bahawa Pulau Pinang mampu untuk menjadi negeri contoh dan model kepada pembangunan negara dengan beberapa aspek utama yang perlu diberi perhatian seperti :

I) Institusi pembangunan yang berteraskan kepada sistem urus tadbir kerajaan yang berasaskan prinsip CAT iaitu Cekap, Akauntabiliti dan Telus.

II) Sistem pembelajaran yang baik yang memberi penekanan kepada pengetahuan komputer dan Teknologi Maklumat. Pulau Pinang telah memulakan langkah pertama dengan menjadi Negeri pertama yang memberikan khidmat WIFI secara percuma kepada pendudunya.

III) Mewujudkan masyarakat yang mempunyai tiga rangkaian perubahan iaitu perubahan politik, di mana dapat dicapai keseimbangan politik dan menghormati hak asasi manusia, kuasa yang terletak pada manusia dan demokrasi; perubahan ekonomi yang dapat memberikan peluang yang seimbang terhadap sumber tenaga, kepakaran dan sumber manusia serta perubahan etika di mana setiap individu dapat memupuk nilai-nilai murni kehidupan dengan sikap integriti dan membanteras penyelewengan demi mempertingkatkan sosio-ekonomi masyarakat.

IV) Menggalakkan kreativiti, inovasi, penyelidikan dan pembangunan dengan memberi penekanan kepada cara pemikiran yang berlainan.

V) Mewujudkan tanda aras bertaraf antarabangsa kepada pembangunan yang mapan di mana sumber yang digunakan hari ini masih boleh digunakan untuk generasi yang akan datang. Pulau Pinang telah diletakkan di tempat ke-10 sebagai sebuah bandar yang paling ceria di Asia di antara 254 bandar yang seluruh Asia.

VI) Menjana sumber modal insan yang menjadi khazanah paling berharga negara dengan melabur di dalam pembangunan modal insan dan juga kursus-kursus yang berguna.

VII) Menjana pentadbiran kerajaan yang efisien dengan kualiti kerja yang lebih baik manakala kos dikurangkan iaitu kualiti kerja yang dapat membuahkan value for money.

VIII) Kerjasama bijak di antara pihak awam dan swasta bagi mewujudkan situasi menang-menang di mana kepentingan pihak awam diberi perhatian tanpa mengecualikan keperluan pihak swasta dalam mencapai keuntungan. Sistem tender terbuka yang efisien dengan kadar pulangan yang bersesuaian kepada pihak swasta tanpa perlu mengorbankan tahap efisiensi dan kualiti produktiviti.

Selain itu, dalam konteks pembasmian kemiskinan, negeri Pulau Pinang merupakan negeri pertama di Malaysia yang telah berjaya membasmi sepenuhnya kemiskinan tegar dengan mencapai tahap kemiskinan tegar sifar. Dalam hal ini, semua keluarga di Pulau Pinang akan dijaminkan memperolehi sekurang-kurangnya RM500.00 setiap bulan, dengan imbuhan wang secara langsung untuk ditambah genap RM500 sebulan. Sumbangan dana bagi membiayai projek pembasmian miskin tegar ini adalah sumbangan daripada pihak swasta yang mencerminkan praktis PPP Public Private Partnership.

Dalam usaha penjagaan alam sekitar serta kehidupan mampan, negeri Pulau Pinang menjadi negeri pertama di Malaysia yang melancarkan No Plastic Monday untuk mengurangkan penggunaan beg plastik bermula dari bulan Julai 2009. Kerajaan Negeri juga berusaha menanam 75,000 batang pokok untuk tahun ini dan sehingga akhir bulan Jun 33,813 batang pokok pun sudah di tanam. Di samping itu, bagi pengurusan sisa pepejal pula, selaras dengan konsep Konvesyen Rio dan Protokol Kyoto mengenai pengurusan sisa pepejal, kerajaan negeri telah pun memilih kaedah Clean Development Mechanism sebagai kaedah pengurusan sisa pepejal di Tapak Pelupusan Pulau Burung, Seberang Perai.

No comments

Powered by Blogger.