Pertemuan dengan penduduk-penduduk Kg Buah Pala

Soalan Bertulis YB. DATO’ HAJI ROSLAN BIN SAIDIN (Pinang Tunggal): Kenapakah pihak Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat sehingga hari ini enggan untuk bertemu penduduk Kampung Buah Pala malah masih mengenakan syarat untuk pertemuan ini dilaksanakan.

Jawapan: Kerajaan Negeri amat prihatin untuk menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh rakyat. Adalah tidak benar untuk mendakwa bahawa Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat enggan bertemu penduduk-penduduk Kampung Buah Pala. Pertemuan sedemikian secara rasmi telah diadakan sebanyak lima kali, iaitu pada 16 Julai 2009, 22 Julai 2009, 24 Julai 2009, 1 Ogos 2009 dan 4 Ogos 2009.

Selepas beberapa kali rundingan dengan pihak pemaju, pihak pemaju telah menawarkan sebuah rumah teres bertingkat dua dengan keluasan tanah 1,200 kaki persegi dan keluasan kawasan binaan 1,400 kaki persegi untuk setiap rumah yang terlibat untuk dirobohkan.

Tawaran penyelesaian ini adalah yang terbaik sekali dalam sejarah Malaysia dan mana-mana negeri di Malaysia. Usaha khas telah kami bawakan untuk penduduk-penduduk memandangkan mereka telah menduduki Kampung Buah Pala lebih 100 tahun dengan kebenaran pemilik asal, Mary Brown. Tawaran ini membolehkan penduduk-penduduk memiliki rumah dua tingkat serta diberikan jaminan undang-undang dengan geran tanah sahih berbanding dengan Barisan Nasional yang menganggap mereka sebagai setinggan-setinggan haram yang harus diusir keluar begitu sahaja.

Perlu diingatkan bahawa isu Kampung Buah Pala adalah angkara Kerajaan Negeri Barisan Nasional lama yang merompak tanah mereka tanpa berunding dengan mereka. Mengapa perompak tanah Barisan Nasional tidak berusaha untuk memperbetulkan kesalahan mereka tetapi sekarang menjadi wira kepada penduduk-penduduk yang mereka rompak.

No comments

Powered by Blogger.