‘Pergi Tak Kembali’ buat Edry KRU tersentuh



Edry (kiri) bersama adik-beradik KRU yang lain iaitu Norman dan Yusry.


LAGU ‘Pergi Tak Kembali’ nyanyian Allahyarham Ustaz Asri dan kumpulan nasyid Rabbani akan pasti membuat sesiapa saja tersentuh. Apatah lagi bila mengenangkan pemergian vokalisnya, Ustaz Asri sudah mendahului kita menghadap Ilahi pada hari ini.

Seperti kata penyanyi dan komposer Edry Abdul Halim, hatinya terus tersentuh apabila mendalami bait lirik lagu yang dicipta olehnya itu.

“Secara peribadi, apabila saya mendengar lagu ‘Pergi Tak Kembali’, saya rasa tersentuh dan merasakan maksudnya sudah lain,” kata Edry.
Tiada lagi senyuman manis Ustaz Asri...Kenangan warga KRU bergambar bersama Ustaz Asri dan anggota Rabbani.

Bagi adik-beradik KRU ini, Edry bagaikan tersentak apabila mendapat berita tentang kematian Asri pada pagi tadi.

Lantas kenangan ketika bersama arwah yang dianggapnya sebagai seorang kawan yang baik terus bermain-main di ingatannya.

“Saya memang terkejut apabila mendengar berita kematiannya setelah sekian lama kami tidak berjumpa.

“Saya sudah kehilangan seorang kawan..itu yang membuatkan hati saya tersentuh.

“Sebelum ini, biasanya kami hanya berjumpa di studio dan majlis keraian.

“Sebelum ini dia banyak meninggalkan kenangan dengan kami kerana dalam mana-mana majlis anjuran KRU dia akan membacakan doa.

“Waktu itu kita tidak anggapnya sebagai artis tetapi lebih kepada rakan baik dan orang yang rapat dengan kami.

“Saya rasa apa yang dilakukan olehnya sebelum ini harus dikenang sampai bila-bila,” ujar Edry yang tidak dapat menghadiri majlis pengkebumian arwah pada malam ini kerana mempunyai tugasan yang tidak dapat dielakkan.

Edry yang turut sibuk untuk majlis pelancaran filem ‘Jin Notti’ terbitan KRU yang akan diadakan pada esok berkata mungkin dia akan menghadiri majlis tahlil yang akan diadakan oleh keluarga arwah nanti.

Tambah Edry, dia menyifatkan Asri sebagai golongan terpuji dan berjanji akan mengenang setiap kerjasama dan jasa arwah.

Menurut Edry, dia telah mencipta kira-kira lima buah lagu yang dimuatkan dalam tiga hingga empat buah album Rabbani.

“Saya tidak rasa terkilan sebab dapat sempurnakan tugas yang harus diselesaikan. Harap-harap dia diberi penghargaan,” katanya yang turut mencipta lagu ‘Intifada’, ‘Apa Yang Kau Tahu’, ‘Satu Kiblat Yang Sama’ dan ‘Saksi’.

Kali terakhir Edry mencipta lagu untuk Rabbani adalah pada tiga tahun lepas dan selepas ini dia berkata KRU akan merancang sesuatu dengan Rabbani.

“Pertalian kami agak rapat kerana kejayaan Rabbani dan KRU seperti satu kejayaan. Mungkin kita akan berbincang dengan ahli Rabbani yang lain untuk melahirkan sesuatu. Saya tiada masalah,” tuturnya.

Kata Edry, setiap kemenangan dan kejayaan yang diraih oleh Rabbani pasti KRU adalah orang pertama yang menerima berita itu.

“Kami bukan sahaja profesional tetapi rapat sebagai teman kerana apa-apa kejayaan yang dikecapi oleh Rabbani mesti Asri akan menghantar SMS kepada KRU.

“Kami mempunyai ikatan persaudaraan yang kuat. Apa majlis yang kami lakukan pasti dia akan sokong. Bukan sahaja Ustaz Asri tetapi semua ahli Rabbani,” cerita adik kepada Norman dan Yusry ini.

No comments

Powered by Blogger.