PM Temui Anwar Sampaikan Mesej Kerjasama

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, dilaporkan telah bertemu dengan pemimpin pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di kediaman perdana menteri itu di Putrajaya pada bulan lalu, lapor sebuah laman berita dalam talian, semalam.

Laporan laman berita The Malaysian Insider berkata ia bertujuan meminta pihak pembangkang supaya bekerja lebih rapat dengan kerajaan Malaysia.

The Malaysian Insider difahamkan bahawa Datuk Seri Najib mahu menyampaikan mesej bahawa, sebagai perdana menteri, beliau bersedia bekerjasama dengan pihak pembangkang.

Beliau dilaporkan telah memberitahu Datuk Seri Anwar, yang juga ketua umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), bahawa adalah penting bagi para pelabur asing untuk mempunyai keyakinan terhadap Malaysia.

Bahang politik di Malaysia semakin bertambah ekoran perbalahan antara pentadbiran Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Rakyat (PR), sejak pihak pembangkang memenangi beberapa kerusi penting dalam pilihan raya umum tahun lalu dan mentadbirkan empat negeri di negara itu.

Dengan adanya beberapa pilihan raya berikutan itu, rampasan kuasa di Perak dan kes liwat Datuk Seri Anwar, tumpuan pentadbiran BN sering dialihkan ke arah isu-isu politik.

Bagaimanapun, tiada tanda yang menunjukkan akan ada satu kerjasama lebih erat atau redanya perbalahan antara dua pihak itu sejak kedua-dua pemimpin tersebut bertemu, kata The Malaysian Insider.

Sejak beberapa minggu lalu, Umno telah meningkatkan lagi bahang perbalahan itu dengan menggunakan hujahan berbaur perkauman untuk menyerang pihak pembangkang.

Datuk Seri Anwar telah digelar ‘pengkhianat’ orang Melayu, manakala pendekatan Islam Parti Islam SeMalaysia (PAS) telah dipersoalkan oleh Umno, yang turut mengecap Parti Tindakan Demokratik (DAP) sebagai ‘anti-Melayu’.

Kematian Encik Teoh Beng Hock dan inkues yang sedang dijalankan untuk menyiasat kematian itu juga telah mengundang dakwaan bahawa BN sedang cuba menggugat kestabilan kerajaan negeri Selangor yang dipimpin oleh PR, dengan matlamat untuk sekali lagi mengambil alih kuasa di negeri itu.

Namun, dalam pertemuan Datuk Seri Najib dan Datuk Seri Anwar itu, perdana menteri Malaysia itu telah berikrar untuk tidak mendiskriminasikan negeri-negeri yang ditadbir oleh PR.

Sumber-sumber kerajaan memberitahu The Malaysian Insider bahawa Datuk Seri Najib mahu diadakan pertemuan itu kerana mengiktiraf peranan Datuk Seri Anwar sebagai pemimpin pembangkang.

Beliau mahu Datuk Seri Anwar menyampaikan mesej kerjasamanya itu kepada para pemimpin parti PR yang lain dan meredakan bahang politik di negara itu.

Sumber-sumber PKR pula memberitahu laman berita itu bahawa Datuk Seri Najib tidak akan dapat mentadbir Malaysia dengan berkesan tanpa sokongan pembangkang.- Cyberita

No comments

Powered by Blogger.