SPRM Siasat Kandungan Surat Misteri Dalam Internet

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiasat sama ada kandungan surat misteri yang dikemukakan dalam kes inkues kematian Teoh Beng Hock Rabu lepas adalah sama dengan kandungan surat yang tersebar di internet semalam.

Timbalan Pesuruhjaya SPRM Datuk Abu Kassim Mohamed berkata laporan siasatan itu akan diserahkan kepada Jawatankuasa Aduan suruhanjaya itu dan jika dakwaan itu benar, tindakan susulan akan diambil.

"Saya tidak tahu sama ada surat tersebut sama atau tidak. Saya yakin bahagian yang mengendalikan siasatan itu akan melihat perkara ini dan akan merujuk kepada Jawatankuasa Aduan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penutupan Kursus Sijil Eksekutif Bagi Pengurusan Strategik Program Anti Rasuah di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia, Jalan Duta, di sini, pada Jumaat.

Abu Kassim berkata Jawatankuasa Aduan itu, yang dipengerusikan oleh bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah, merupakan badan bebas yang bertanggungjawab memantau aduan salah laku bukan jenayah yang dilakukan oleh pegawai SPRM.

Bagaimanapun, katanya dakwaan dan tomahan yang terkandung dalam surat yang tersebar di internet itu adalah tidak benar.

"Saya hanya diberitahu tentang surat tersebut dan saya tidak tahu sama ada surat tersebut jugalah yang diberikan di dalam mahkamah semasa inkues itu.

"Banyak perkara di dalam (internet) itu yang diperkatakan adalah tidak benar. Kalau perkara itu betul, biar polis menjalankan siasatan," kata Abu Kassim.

Beliau berkata pihaknya memandang serius perkara itu dan akan meneliti segala tomahan tersebut dan segala maklumat yang diterima daripada orang ramai akan disiasat mengikut Akta Pencegahan Rasuah.

Surat yang disebarkan di laman web itu mendakwa kematian Teoh ada kaitan dengan soal siasat yang dijalankan oleh pegawai tinggi SPRM pada hari Teoh dijumpai mati, dan kononnya surat yang tidak bertandatangan itu ditulis oleh orang dalam SPRM.

Bagaimanapun, surat itu tidak menyatakan bagaimana Teoh mati atau sama ada pegawai berkenaan terbabit secara langsung dalam kematiannya.

Pada Rabu lalu, peguam pemerhati yang mewakili keluarga mendiang Teoh, Gobing Singh Deo, menyerahkan sepucuk surat misteri kepada Mahkamah Koroner yang dikatakan dapat membantu inkues siasatan kematian setiausaha politik exco Selangor itu.

-- BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.