YB Khalid Samad Mengulas Isu Kuil Selepas Menerima Respon Pengunjung

Respon Pengunjung: Persoalan Kuil Seksyen 23
Terima kasih diucapkan atas komen-komen yang terima, termasuk yang menolak dan mempertikaikan tulisan saya. Isu yang dibincang memang ‛sensitif’, kerana dijadikan sensitif. Lebih-lebih lagi bila ada tukang perhangat. Namun perbincangan rasional perlu untuk menyelesaikan masalah yang diwarisi.

Ada beberapa point yang perlu saya respon dan jelaskan di sini seperti berikut:-

1. Public Hearing / Pertemuan dengan penduduk
Seperti yang dijelaskan, pertemuan dengan penduduk akan diadakan. Status isu ini buat masa ini masih merupakan cadangan. Namun cadangan ini merupakan cadangan yang telah diluluskan oleh kerajaan untuk dikemukakan. Ini adalah seperti yang saya jelaskan kepada penduduk di Surau Seksyen 23 beberapa bulan dahulu. Ya, saya pernah berjumpa dengan mereka. Pada masa itu cadangan lokasi baru hendak disampaikan kepada kerajaan untuk dipertimbangkan. Saya telah nyatakan bahawa sekiranya ianya diluluskan, maka saya akan bertemu dengan penduduk untuk mendapat pandangan dan feedback. Sekiranya tidak diluluskan, nak bincang buat apa?

Dulu pernah diluluskan cadangan di kawasan lain di Seksyen 23 juga, tengah-tengah kawasan Industri. Selepas itu diadakan pertemuan dengan pengilang-pengilang. Atas faktor keselamatan, disebabkan lalu lalang container dan fork-lift yang beroperasi tak tentu waktu. Dikhuatiri nanti ada pula wanita dan kanak-kanak yang akan kesitu, maka cadangan itu dibatalkan.

Ada yang bertanya “Bukankah untuk menukar tanah industri kepada tanah komersial memerlukan public hearing”?

Sebenarnya kalau “dari sudut undang-undang, public hearing tidak perlu”. Itu undang-undang sekarang yang sedia wujud dan ianya belum lagi ditukar. Namun, amalan Kerajaan PR ialah amalan mendengar pandangan rakyat. Oleh itu, seperti yang disebut, public hearing tetap akan diadakan dengan penduduk Seksyen 23. InsyaAllah selepas Permatang Pasir saya akan turun bersama YB Roziah. Tiada apa-apa kerja yang telah dimulakan, berhubung pembinaan kuil ini, maka tak perlu disegerakan sangat. Hanya dihangatkan oleh golongan tertentu sehingga turunnya Noh Omar. Kenapa dia tak turun ke Sek 19 dulu?

Sambil kami mendengar pandangan dan pendapat penduduk Seksyen 23, kami harap mereka juga akan mendengar penjelasan kami. Biarlah 2-way dan kedua-dua pihak datang dengan pemikiran yang terbuka. Ada yang berkata “apa guna pertemuan, kerajaan tidak mahu dengar pandangan kami!” Begitulah juga sebaliknya. Oleh itu sama-sama bersikap terbuka dan dengar hujah dan penerangan masing-masing. Pada masa yang sama, kita sama-sama mencari penyelesaian yang terbaik.

2. Kawasan majoriti Hindu
Ada pula yang bijak pandai berkata “Majoriti penduduk di seksyen 19 dan 23 adalah Islam. Kuil tak sepatutnya berada dikawasan tersebut. Pindahkan saja ke kawasan penduduk majoriti Hindu di kawasan lain”.

Hakikatnya tiada kawasan di Shah Alam yang mana masyarakat Hindu majoriti. Oleh itu, kuil ini akan memenuhi keperluan untuk Seksyen 19, 20 dan 23. Keseluruhannya saya dimaklumkan melebihi 1,000 penganut Hindu. Ada yang kata dah banyak kuil di Seksyen 19, 20 dan 23. Mereka berbohong. Hanya ada satu sahaja dan ianya di Seksyen 19. Dan kuil inilah yang ingin dipindahkan. Dasar kerajaan PR, ‛Tiada kuil baru dan tiada kuil yang diroboh’.

Ada juga yang menyatakan ada kuil hanya 1 km dari Seksyen 23, iaitu di Sri Muda. Kuil Sri Muda terletak 3 km dari lokasi berkenaan. Bukan 1 km, harap maaf ya.

Ada pula yang menambah Seksyen 22 adalah tapak cadangan kerajaan BN dulu, majoriti masyarakat Hindu. Hakikatnya tapak cadangan BN adalah kawasan kilang, jauh dari mana-mana penduduk, Muslim mahupun Hindu. Terlalu jauh dan amat tidak sesuai. Kalau betul ingin membantu, biarlah ikhlas, biarlah adil.

Cadangan tapak di Seksyen 23 terhasil bukan kerana ikut cakap ataupun telunjuk sesiapa, hanya kami semua berusaha mencari penyelesaian yang wajar untuk semua pihak.

Adakah sekiranya mereka minoriti, maka bererti mereka tidak ada hak untuk beramal dengan agama mereka? Tidak boleh adakan kuil? Dasar sebegini adalah tidak wajar. Cubalah merantau sedikit dan tinjau di negara-negara yang orang Islamnya adalah minoriti. Sebaliknya, kaedah satu kuil untuk beberapa ratus orang penganut seperti yang dicadangkan adalah lebih wajar. Inilah yang sedang diusahakan.

Ada yang bertanya “Apakah YB sendiri ingin mendera, menyeksa ataupun menderhaka pula kepada penduduk seksyen 23?” Hakikatnya, kalau dicadangkan letak depan rumah macam di Seksyen 19, bolehlah dituduh mendera, menyeksa ataupun derhaka. Itu yang UMNO buat selama ini. Tetapi yang dicadangkan adalah 200 meter dari rumah dan 200 meter juga dari Surau.

Di seksyen 16, kuil Hindu hanya 200 meter dari Masjid Jamek Tun Raja Uda. 50 meter sahaja rasanya dari Flat yang majoritinya orang Melayu. Pada masa itu tiada pula ‘hero Melayu’ datang membantah. Maklumlah, BN punya kerja. Pada masa itu lain cakapnya. Kami sebagai pembangkang dulu pun tidak membantah. Kerana kami faham, masyarakat Hindu pun ada hak untuk mengamalkan agama mereka. Inilah yang dikatakan pembangkang yang bertanggung jawab. Bukan macam sekarang. Nak perhangat tanpa memikirkan penyelesaian bagi ummat Islam di Seksyen 19 dan keperluan masyarakat Hindu secara menyeluruh.

3. Masalah pembinaan kuil di merata tempat
Masalah yang disebut berhubung pembinaan kuil secara ‛pacak sahaja’ memang diatasi dengan adanya garis panduan yang jelas. Berdasarkan garis panduan inilah kuil yang sedia ada ingin dipindahkan. Ianya bukan kuil baru dan ianya bukan melalui dasar ‛pacak sahaja’. Satu kuil ini adalah untuk kegunaan penganut Hindu dari Seksyen 19, 20 dan 23 yang dimaklumkan jumlahnya melebihi 1,000 orang.

Ada pula yang berkata “Kebelakangan ini kita dapat melihat pelanggaran-pelanggaran undang-undang yang telah wujud dan didapati sesuai dengan semua rakyat berhubung dengan pembinaan Masjid, Surau serta rumah-rumah ibadat yang lain”.

Hmmm, mungkin yang menulis ini lupa Seksyen 19 kut? Oleh kerana tiada garis panduan yang jelas pada zaman dulu (BN) maka suasana ini terhasil. Harap ingat, kita nak selesaikan masalah yang sedia wujud. Begitu juga dengan beberapa kuil yang lain yang menanti penyelesaian.

4. Masalah sosial masyarakat India
Ada yang timbulkan isu masalah sosial dan jenayah yang membabitkan masyarakat India. Kata mereka, “Kami peniaga dan dalam satu tahun ditimpa kes rompakan berparang. Cara mereka masuk, terus serang dan tetak. Selama 10 tahun, kaum ini lah yang membuat kawasan kami tidak aman”.

Persoalannya, sekiranya benar sekalipun, bagaimana mahu selesaikan masalah ini kalau tidak melalui mengukuhkan aspek moral dan keagamaan mereka? Kerajaan PR memilih pendekatan bersepadu, sambil ditingkatkan kemudahan persekolahan mereka (di mana bantuan tidak disonglap MIC), dibantu aspek ekonomi mereka dan sambil itu juga aspek sosial mereka, persoalan moral dan keagamaan (kuil) tidak dinafikan. Barulah wajar untuk diharapkan perubahan.

Kalau pendekatan sebaliknya diusahakan, seperti amalan BN selama ini yang membuncitkan golongan tertentu sahaja, adakah akan berlaku perubahan?

5. Teguran terhadap diri saya dll.
Ada yang komen, “satu lagi, selama 25 tahun duduk di shah alam ini saya belum ada dengar cerita org bantah nak buat kuliyyah..so, kenyataan YB tu saya sanggah lah..kalau setakat hearsay tu YB..buang je lah berita tu..tapi kalau tempat lain selain drp Shah ALam yg aman damai ni YB..saya tak tahu lah...”.

Eh, tuan tak dengar ke? Bukan sekadar kuliyyah dibantah, SURAU DI KUNCI oleh puak-puak tu! Surau Seksyen 8 dikunci, selama 9 bulan bermula 3 hari sebelum bulan puasa tahun 2007. Para penceramah disenarai hitamkan, termasuklah Dato’ Dr. Haron Din.

Ada juga yang sebut “tapi saya rasa YB lebih hebat lagi sebab membenarkan kalimah ALLAH digunakan utk penganut kristian. Jangan lah YB salahkan UMNO pulak sebab penganut kristian guna kalimah ALLAH..”

Apa nak buat tuan, bukannya saya sendiri yang reka, Al-Quran sendiri sebut “Dan berkata orang-orang Yahudi dan Nasrani. Kami ini anak Allah dan kekasihNya..” (Al-Maaidah 18). Yang jelas menunjukkan nama Allah digunakan oleh orang kristian. Harap bacalah penerangan saya dalam artikel yang bertajuk Ismu Allah.

Akhirnya, komen seorang lagi pengunjung, “sementara kita ada kuasa ni..bantulah org melayu..shah alam bandar melayu..kerana gaji yang seciput tu..janganlah kita hina agama kita..haram kita makan gaji yang tak halal...darah daging kita pun haram..juga daging anak2 kita...satu peringatan jangan sampai Allah butakan mata hati kita..tak sempat bertaubat nanti...tapi nampaknya perbuatan kamu lebih kepada menghina agama kau sendiri”.

Inilah sedih bila kita baca. Bukan kerana teguran keatas diri saya ini. Tetapi, sedih kerana apabila kita ingin zahirkan keadilan Islam yang membela semua manusia, kita dibelenggu oleh kefahaman Islam tajaan UMNO selama ini. Islam adalah Melayu. Perjuangan Islam adalah perjuang untuk orang Melayu. Sampai bila kita akan terperangkap dengan fahaman yang sebegini. Adakah dengan membantu kaum lain yang beragama lain maka kita menghina Islam? Bukankah Islam itu menuntut keadilan. Bukankah adil itu lebih hampir kepada keTaqwaan? Mungkin inilah sebabnya mengapa selama ini Islam tidak menawan hati manusia lain di Malaysia ini. Kita hendak Islam untuk Melayu sahaja dan tidak mahu menzahirkan keadilan Islam itu sendiri.

Zahirkan keadilan Islam! Yang lemah dibela, samada Muslim dan bukan Muslim. Hak dipenuhi, Muslim dan bukan Muslim. Mengajak, mempelawa dan menarik bukan melawan dan menentang memanjang. InsyaAllah manusia lain akan tertarik. Kalau tak bersama Islam sekalipun, sekurang-kurangnya tidak menentang Islam.

Satu hari kelak, insyaAllah saya akan ceritakan pula kisah Saidina Umar Al Khattab semasa di Palestine.

WaLlahu ‘Alam
KHALID SAMAD

No comments

Powered by Blogger.