LEBIH 5,000 EX-USNO AKAN SERTAI PKR?



Oleh: RIJALUL RIZAL



AKIBAT tidak mendapat layanan saksama, lebih 5,000 bekas ahli USNO yang pernah berjumpa Mantan Presiden UMNO, Tun Abdullah Ahmad Badawi akan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 13 September 2009 sempena lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak ke Semporna.

Menurut sumber terdekat, kumpulan tersebut tidak menyertai UMNO dan selama ini berusaha untuk menubuhkan Kelab Ex-USNO sebagai NGO yang akan bekerjasama dengan UMNO bagi memupuk perpaduan Bumiputera Islam di Sabah, namun Kementerian Dalam Negeri melalui Pendaftar Pertubuhan telah menolak permohonan mereka pada 26 Februari 2009.

Sumber rapat juga menyebut, kemasukan beramai-ramai Ahli Ex-USNO akan diketuai oleh seorang pemimpin kanan yang bergelar datuk.

“Kita rasa tidak ada gunanya lagi mengharap. Kita sudah tahu tembelang pemimpin UMNO yang tidak mahu bekerjasama dengan kita. Dalam perjuangan membela nasib dan masa hadapan ahli Ex-USNO, kiat perlukan wadah. Setelah menilai, PKR sesuai dan serasi dengan perjuangan kita,” ujar salah seorang pemimpin yang hanya mahu disebut sebagai Abdul.

Abdul masih mahu menyembunyikan maklumat jumlah sebenar yang akan menyertai PKR sempena kunjungan Najib ke Semporna kerana kebanyakan ahli Ex-USNO berada di Semporna.

“Kita mahu PM dan Presiden UMNO tahu, bahawa pemimpin UMNO Sabah melayan ahli EX-USNO sebagai ‘pendatang asing’ sedangkan kami adalah pewaris pemimpin yang memperjuangkan kemerdekaan Sabah,” ujar Abdul yang menjadi mangsa permainan politik Tun Sakaran dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Dengan penyertaan mereka ke dalam PKR, nasib dan masa hadapan ahli EX-USNO akan lebih terbela kerana PKR lebih menghayati perjuangan EX-USNO yang mahu hak Sabah dikembalikan berbanding UMNO yang mengikis hak rakyat Sabah yang dijadikan ‘barter trade’ dengan pemimpin Pusat semata-mata untuk survival politik mereka.

Naib Presiden PKR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan ketika dihubungi Sabahkini.net berkata beliau belum menerima sebarang maklumat kerana kemungkinan besar pemimpin EX-USNO menemui pemimpin PKR peringkat Pusat.

“Kita ada dengar dan kita alu-alukan hasrat mereka untuk bersatu di dalam PKR. Kita akan susul dengan pemimpin Pusat,” ujar Jeffrey yang menyifatkan kemasukan Ex-USNO ke dalam PKR sebagai perkembangan menggalakkan kerana ianya ombak politik yang akan menggulung menjadi Tsunami pada pilihanraya umum ke 13 kelak.

Tidak dapat dipastikan sama ada anak Allahyarham Tun Mustapha, Datuk Amir Kahar yang disingkirkan Ketua Menteri Sabah pada pilihanraya umum lalu akan turut serta adiknya, Datu Badaruddin dan pejuang Ex-USNO kerana beliau tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan pengesahan.


sumber

No comments

Powered by Blogger.