Berdosa pilih perasuah jadi pemimpin - Ulama

KOTA BHARU, 6 Okt: Kitab fiqah menyebut orang yang pernah terbabit dengan rasuah tidak layak untuk dilantik sebagai pemimpin.

Usahkan dipilih sebagai pemimpin menjadi wali bagi perkahwinan anaknya sendiri pun tidak layak.

Ini kerana kesalahan rasuah dikategorikan di bawah dosa-dosa besar.

Sedangkan syarat untuk melayakkan seseorang Islam menjadi saksi atau wali antaranya mesti berkelakuan adil, tidak bercakap bohong, tidak melakukan dosa besar dan tak mengekalkan dosa-dosa kecil.

Ketua Unit Dakwah Halaqat, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Ustaz Abdullah Abdul Razak berkata, orang yang terlibat dengan rasuah dikategorikan sebagai fasik (rosak iman).

"Usahkan mahu dilantik sebagai pemimpin, menjadi saksi kepada perkahwinan pun tidak boleh bagi orang macam itu," katanya di sini.

Calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Bagan Pinang, Tan Sri Isa Samad pernah disabitkan dengan kesalahan korupsi pada 24 Jun 2005 oleh Panel Lembaga Disiplin Umno.

Pengerusinya panel itu, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Ismail menjatuhkan hukuman penggantungan keahlian Umno selama enam tahun terhadap Isa.

Sebelum itu pada perhimpunan agung Umno Isa menang jawatan Naib Presiden Umno. Bagaimanapun dia telah disabitkan bersalah atas lima pertuduhan rasuah (politik wang).

Pada pilihan raya kecil 11 Oktober ini Isa akan ditentang calon PAS, Mohamad Zulkefly Omar.

Ulama muda lulusan sarjana di Jordan, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman berkata, banyak kitab fiqah menjelaskan orang yang terbabit dengan rasuah tidak layak untuk menjadi saksi bagi sesuatu perkahwinan.

"Kalau hendak menjadi wali bagi perkahwinan anaknya sendiri lagi tidak layak kerana tanggungjawab wali lebih besar," katanya.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ketika berceramah di Taman Guru dekat sini, malam Jumaat lalu menjelaskan orang yang pernah dijatuhkan hukuman kerana kesalahan rasuah tidak boleh menjadi saksi perkahwinan.

Katanya, kalau menjadi saksi pun tidak boleh macam mana pula hendak dilantik sebagai pemimpin.

No comments

Powered by Blogger.