'Dakwaan SPRM pincang tak adil'

Oleh Norfatimah Ahmad
tim@bharian.com.my

Beri kami masa untuk cemerlang: Ahmad Said

KUALA LUMPUR: "Kami baru berusia setahun, bagi masa untuk kami maju dan cemerlang sebagai satu-satunya suruhanjaya yang memerangi rasuah demi kelangsungan bangsa, agama dan negara, luah Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencega-han Rasuah Malaysia, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan.

Katanya, masyarakat perlu berlaku adil terhadap suruhanjaya itu, bukannya menghukum SPRM dengan menyatakan ia pincang dalam menjalankan tugasnya sebagai agensi pembanteras rasuah.

"Lebih tidak adil jika SPRM dihukum apabila kes yang dibawa ke mahkamah gagal.

"Tentulah SPRM tidak mahu kes yang disiasat dan didakwa dengan bukti akhirnya kalah, bagaimanapun faktor kekalahan bukan di tangan SPRM. Ada kalanya saksi berpaling tadah mendorong sesuatu kes terpaksa ditutup tetapi masyarakat tidak sedar akan hakikat ini dan hanya melihat SPRM sebagai tidak efektif," katanya dalam jawapan bertulis kepada Berita Harian, semalam.

Baru-baru ini, Transparency International (TI) Malaysia mengumumkan lebih 70 peratus daripada sekumpulan responden yang disoal selidik berhubung rasuah di negara ini mendakwa sudah hilang kepercayaan terhadap usaha kerajaan membanteras rasuah dan bosan dengan penularan gejala itu.

Antara rungutan utama di Malaysia ialah mengenai kegagalan pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap orang kenamaan dan tokoh politik yang terbabit dalam kes rasuah besar.

Umum berpendapat perubahan Badan Pencegah Rasuah (BPR) kepada SPRM tidak menghasilkan keputusan diharapkan, sebaliknya lebih banyak kepincangan agensi itu didedahkan.

Mengenai kehilangan kepercayaan awam terhadap usaha SPRM membanteras rasuah, Ahmad Said berkata, kemahuan masyarakat yang berubah menyebabkan awam mahukan lebih maklumat dan ketelusan dalam penyampaian mesej kepada mereka.

"Buat masa ini, kemahuan mereka untuk mendapatkan maklumat tanpa sempadan belum dipenuhi.

"Kemahuan itu mungkin menjadi antara punca kepada kurangnya keyakinan orang ramai terhadap sistem ini dan kami sedar SPRM juga harus lebih proaktif untuk berkomunikasi dengan masyarakat melalui media," katanya.

Beliau berkata, masyarakat seharusnya tahu dan percaya bahawa SPRM mempunyai tanggungjawab untuk melaporkan kepada ahli lembaga, jawatankuasa dan panel terdiri daripada profesional daripada pembangkang dan Badan Bukan Kerajaan.

"Masyarakat dan SPRM sebenarnya berada pada landasan yang sama iaitu satu tujuan dan satu matlamat untuk memerangi jenayah rasuah hingga ke akar umbi.

"Bagaimanapun, kita sedar ada pihak yang cuba mengada-adakan cerita atau menyebarkan bukti palsu bagi keburukan SPRM semata-mata untuk memburukkan imej SPRM.

"Jadi, terpulanglah kepada media dan masyarakat untuk mempercayainya atau tidak, bagaimanapun kita akan berusaha sedaya upaya untuk mengubah persepsi itu," katanya.

No comments

Powered by Blogger.