Bolehkah Pengerusi SPR Jawab Begitu?
“Jangan salahkan sistem sekiranya mereka tidak mendapat sokongan rakyat. Parti pemerintah sendiri pernah berhadapan dengan masalah yang sama tetapi mereka tidak menyalahkan sistem.” – Abdul Azizi Mohd Yusof, Pengerusi SPR
Kalau pilihanraya boleh diibaratkan seperti perlawanan bolasepak, maka SPR ibarat pengadil. Pengadil bermaksud orang tengah. Dia tidak boleh memihak sekali pun salah satu pasukan yang bertanding itu adalah pasukan yang dia minat atau dia sokong.
Hak Abdul Aziz untuk menyokong Umno. Dia boleh menterjemahkan sokongan itu dalam peti undi atau selepas dia pencen. Selama mana dia adalah Pengerusi SPR dia mesti adil dan dilihat adil.
Bolehkah seorang pengadil bolasepak yang dikritik pengadilannya berkata, “Mengapa awak salahkan saya, pasukan satu lagi tak buat pun. Mereka pun saya adili juga?”
Apabila dia tidak disalahkan oleh pasukan yang satu lagi, itu tidak bermakna dia betul sepenuhnya dan tidak buat silap. Pasukan itu tidak menyalahkannya kerana mungkin belum terkena ke atas batang hidung mereka lagi.
Abdul Aziz agaknya terlupa kepada kenyataan Khairi Jamaludin semasa PRK Permatang Pasir yang menyebut mengenai wujudnya 1000 pengundi hantu dalam daftar pemilih di situ. Maknanya sistem SPR bukan sahaja dikritik oleh PAS tetapi juga oleh Umno.
Cuma kritikan Umno kepada SPR tidak sehebat kritikan PAS kerana mereka nampak SPR yang menjadi pengadil menyebelahi mereka. Bukan lagi secara sembunyi tetapi secara terang-terangan.
PAS dan semua parti politik adalah pelanggan SPR. Apabila SPR dikritik oleh pelanggannya, dia tidak sewajarnya menyerang pelanggannya kembali. Kenyataan SPR di atas menunjukkan begitu. Sepatutnya SPR melayan PAS sama seperti dia melayan Umno.
Kalau kita menggunakan lebuhraya PLUS dan sebaik sampai di tol, kita dapati ada 50 kereta di hadapan kita. Kita pun komplen, “Mengapa hanya buka satu kaunter sahaja, sepatutnya tidak boleh dibiarkan barisan panjang begini?”
Orang PLUS pun jawab, “Mengapa encik komplen, pada hal kenderaan yang pertama dan kedua di hadapan tak komplen pun.” Agaknya apa perasaan kita waktu itu?
Kalau Abdul Aziz rasa dia ingin Umno menang di Bagan Pinang setelah Umno kalah di semua PRK di Semenanjung dan dia mahu jasanya dikenang oleh Umno, dia boleh buat apa sahaja, sesuka hatinya.
Dia mungkin akan disenangi oleh Umno tetapi dia akan dikutuk rakyat terbanyak.
Dikirim Oleh Zolkharnain Abidin
No comments
Post a Comment