Kerajaan Pulau Pinang wujudkan wajah baru 42 rumah pangsa

Kerajaan Negeri Pulau Pinang dibawah pentadbiran Pakatan Rakyat telah bersetuju untuk memberi wajah baru kepada 42 rumah pangsa milik Kerajaan Negeri seluruh Pulau Pinang bermula pada tahun 2010 yang akan datang.

Ketua Menterinya, Lim Guan Eng berkata dibawah pentadbirannya kemudahan kepada rakyat adalah menjadi keutamaan.

"Selama ini penduduk rumah pangsa sentiasa berada dalam keadaan yang tidak selesa kerana pelbagai masalah infrastruktur mahupun masalah kebersihan di sekeliling mereka.

"Apa yang lebih ketara lagi ialah kegagalan pemantauan terhadap kebersihan, kerosakan lif, peti simpanan surat rosak dan memungkinkan berlakunya kegiatan jenayah sekiranya kawasan tersebut gelap dan lampu tidak berfungsi."

Sebelum ini masalah yang dihadapi oleh kebanyakan rumah pangsa milik kerajaan negeri seluruh Pulau Pinang tidak dapat diselesaikan dalam jangka waktu yang singkat dan mendatang pelbagai masalah kepada mereka yang mendiami rumah-rumah tersebut.

"Perubahan akan dibuat mulai tahun 2010 dan ia dijangka siap dalam tempoh lima tahun yang akan datang.Tempoh masa yang agak lama ini adalah untuk memberi ruang kepada pihak kerajaan negeri untuk meneliti terlebih dahulu masalah yang dihadapi oleh penduduk dan memperbaiki keadaan dengan menyediakan kemudahan yang diperlukan."katanya lagi.

Ekoran itu maka Ketua Menteri bersama kepimpinan negeri telah turun padang bagi memastikan masalah yang sekian lama tidak dapat diselesaikan itu dapat diatasi dengan segera.

Lim berkata demikian semasa sesi perjumpaan bersama pegawai Kerajaan dan penduduk rumah pangsa Kampung Melayu.Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Bandar dan Kesenian, Wong Hon Wei, Pengerusi Jawatankuasa Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Abdul Malik Abul Kassim, Pengerusi PAS kawasan Bukit Gelugor, Taqiuddin Hamzah serta pegawai kewangan negeri.

No comments

Powered by Blogger.