MIC Tertipu, Najib Dalangi Penubuhan Parti Makkal Sakhti

Pelbagai usaha dilakukan oleh UMNO-Barisan Nasional dalam tuntutan meraih kembali kepercayaan masyarakat India di negara ini.

Penambahbaikan program-program pembangunan terus direncanakan oleh kerajaan bawah pimpinan Perdana Menteri Najib Tun Razak.

Kami berkunjung ke pejabat Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam untuk mengetahui respon beliau terhadap beberapa agenda Perdana Menteri kepada kaum India yang diumumkan baru-baru ini.

"Terutama sekali saya lihat sekarang Perdana Menteri Najib Tun Razak banyak membantu masyarakat India dan baru-baru ini saya lihat asrama 1 Malaysia dan juga parti yang baru Makkal Sakthi. Saya lihat perkara ini pertama sekali, ia secara tiba-tiba. sasya melihat pada pilihanraya yang lalu, kita menang besar terutama masyarakat India yang menyokong Pakatan Rakyat" ujar beliau.

Tambahnya lagi, Makkal Sakthi Malaysia (MMSP) merupakan salah satu taktik yang digunakan oleh Najib untuk meraih kembali sokongan masyarakat India sementelah MIC berada dalam keadaan kucar-kacir.

"Ini saya rasa PM melihat bagaimana nak pecah, nak dapat balik sokongan Barisan Nasional. Gula-gula yang akan diberi. Saya rasa banyak, beliau sekarang tumpu untuk dapat sokongan balik kepada Barisan Nasional" katanya. Namun beliau menambah, Najib melakukan perhitungan yang salah sekiranya mengandaikan Makkal Sakthi dapat meraih sokongan kaum India kerana meletakkan R.S Thanenthiran sebagai teraju parti itu.

Thanenthiran ialah bekas penyelaras Kebangsaan Hindraf yang telah dipecat.

Bagaimanapun kata Manikavasagam, Hindraf sama-sekali tidak akan memberi sokongan kepada Makkal Sakthi yang didalangi oleh Najib kerana ia merupakan sebuah parti dan bukannya badan sosial seperti Hindraf yang telah diharamkan oleh kerajaan Malaysia.

"Makkal sakthi ini sebenarnya dibiayai oleh Najib. Dibelakangnya memang Najib ada. Kira-kira beliau nak pecah. Nak dapatkan sokongan balik. Makkal sakthi ini, Thanenthiran dipecat dari Hindraf".

Namun Manikavasagam percaya, masyarakat India pada hari ini tidak mungkin akan terpedaya lagi dengan permainan UMNO-BN.

Malah katanya masyarakat India semakin bijak dalam menilai sikap kepemimpinan yang dimiliki oleh Pakatan Rakyat berbanding UMNO-Barisan Nasional.

Bunyinya mungkin seperti satu ugutan namun inilah hakikatnya, pengharaman Hindraf dan isu kepala lembu yang bersentimen perkauman menimbulkan kemarahan yang tidak berpenghujung kepada masyarakat India di negara ini.

"Ini bukan perkara yang senang dan mudah untuk mereka lupa. Yang terbaru isu kepala lembu. Mereka sangat marah. Saya pergi ke beberapa tempat, beberapa kuil di seluruh negeri, saya lihat mereka marah. Mesej mereka beri " we want to change the goverment the next election".

Dalam pada UMNO-Barisan Nasional hebat mencanang keputusan yang dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Kedudukan Kaum India, Manikavasagam mahu Najib merenung kembali agenda kerajaan sebelum ini sama ada ianya telah dicapai atau sekadar cakap kosong.

"Hari ini kalau kita pergi ke mana-mana mahkamah, 15 OKT yang kena tahan, 10 India. Di Simpang Renggam sahaja 65 peratus pemuda-pemuda India ada di dalam. Ada sesetengah yang tidak terlibat dalam dalam jenayah. Macam mana kita hendak memulihkan. Kalau sekarang mereka masuk, 2 tahun, sama seperti ISA, mungkin akan bertambah ke 4 atau 6 tahun, bila dia balik, tidak ada apa-apa pemulihan di sana. Mereka seolah-oleh pergi belajar, dapat diploma, balik jadi penjenayah lebih berat lagi" tambahnya.

Kabinet dikatakan telah memutuskan untuk menambahbaik beberapa program seperti kursus kepada belia India yang memperuntukkan dana sebanyak RM20 juta, meningkatkan usaha menambah jumlah pengambilan pekerja kaum India dalam sektor awam, menambah jumlah pengambilan kaum India di peringkat lembaga pengarah, memberikan peruntukan biasiswa kepada pelajar kaum India di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) serta menambah penyertaan ekuiti kaum India melalui peruntukan 15 peratus unit saham dalam Amanah Saham Malaysia.

Namun malangnya saat gula-gula politik ini diberikan, kerajaan ujarnya terlepas pandang terhadap dua pelajar India yang ingin melanjutkan pejaran dalam bidang perubatan ke Ukraine iaitu M Saraswathy dan Latah A/P Appunaidu.

Setelah beberapa kali memohon untuk mendapatkan biasiswa kerajaan namun jawapan yang diterima begitu menghampakan.

"Beliau datang sini setelah minta dengan kerajaan tetapi ditolak, tidak dapat kelulusan pinjaman. Dia datang ke pejabat saya, 2 orang datang bersama keluarga dan saya terpaksa suruh mereka ke Agro Bank di Klang dan mereka dapat RM 90 ribu dan RM 80 ribu. Dan saya sebagai Ahli Parlimen, saya yang jadi penjamin. Sepatutnya kerajaan bantu sebagai biasiswa".

Berdasarkan tindak tanduk itu, kami ajukan kepada Manikavasagam sama ada penambahbaikan program-program pembangunan kepada masyarakat India dan tertubuhnya Makkal Sakhti sebagai petunjuk Pilihanraya Umum Ke 13 akan berlangsung dalam tempoh yang terdekat, namun ini jawapan beliau:

"Saya rasa PRU tidak akan diadakan secepat mungkin. Saya rasa 2013 akan diadakan PRU. Sokongan masih lagi terutama masyarakat Cina. Mereka lihat bukan sahaja masyarakat India, orang Cina pun banyak menyokong PR. Jadi macam mana hendak kembalikan? MIC dan MCA pun ada masalah. Bukan sahaja Najib nak dapat sokongan balik dari kalangan masyarakat India, orang Cina macam mana? Bukan mudah, bukan secepat ini hendak adakan PRU ke 13" ujarnya sebelum mengakhiri perbualan.

No comments

Powered by Blogger.