Najib Terpaksa Hisap Kahak Isa Dan Mahathir!

Najib perjelas pemilihan Isa
Oleh Norhayati Md Said
yatisaid@bharian.com.my

DATUK Seri Najib Razak menjelaskan Tan Sri Mohd Isa Samad layak menjadi calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang dan berhak mendapat peluang kedua kerana beliau sudah menebus kesalahannya selepas menerima hukuman yang cukup berat.

Perdana Menteri berkata, Mohd Isa kehilangan jawatan menteri dan Naib Presiden Umno kerana kesalahan melanggar disiplin parti, tetapi beliau tidak pernah menentang parti malah terus setia dan bekerja kuat untuk parti.

"Ikut bacaan kita (BN), Isa adalah calon paling popular untuk bertanding di Bagan Pinang. Dalam sistem kita, penjenayah pun ada peluang kedua. Ada orang yang sudah dijatuhkan hukuman pun diberikan peluang kedua.

"Lagipun, ini (kesalahan yang dilakukan Isa) bukan kesalahan dari segi undang-undang negara, tetapi dari segi etika parti.

"Jadi saya rasa beliau wajar menjadi calon," katanya ketika mengadakan dialog bersama pelajar Malaysia di Perancis di Pavillon Dauphine in Place du Marechal de Lattre Tassigny, malam kelmarin.

Najib yang dalam rangka lawatan rasmi empat hari ke Perancis, ditanya oleh seorang pelajar mengapa BN mencalonkan Isa, sedangkan beliau pernah menerima hukuman kerana kesalahan politik wang. Ini tentu akan menimbulkan pelbagai tohmahan kepada BN.

Perdana Menteri menjelaskan BN memilih calon yang boleh memberi khidmat yang berkesan dan dikehendaki rakyat serta popular.

"Jika pembangkang mahu menimbulkan pelbagai tuduhan, sebelah sana (pembangkang) lagi berat tuduhan dia. Banyak lagi boleh kita timbulkan berkenaan kes-kes sebelah sana.

"Lagipun ini (pencalonan di Bagan Pinang) bukan jawatan menteri atau ketua menteri tetapi sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun). Jadi Isa layak jadi calon. Insya-Allah beliau mempunyai peluang yang baik (untuk menang pilihan raya kecil Bagan Pinang)," katanya.

Pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang Ahad ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Mohd Isa dan Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar.

Selepas berdialog, Perdana Menteri dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor mengadakan Rumah Terbuka Aidilfitri 1Malaysia di tempat sama yang dihadiri hampir 1,000 orang termasuk rakyat Malaysia di sini dan pembesar asing.

Turut hadir, Menteri Luar, Datuk Anifah Aman; Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir; Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Puad Zakarshi dan Duta Malaysia ke Perancis, Datuk S Thanarajasingam.

No comments

Powered by Blogger.