Perselisihan Faham DAP Dan Pas Selangor Selesai

SHAH ALAM, 7 Oktober - Perselisihan faham yang berlaku di antara DAP dan Pas Selangor diselesaikan dengan baik dalam satu Persidangan Meja Bulat antara pimpinan tertinggi DAP dan Pas Selangor di Shah Alam, hari ini.

Beberapa persetujuan telah dicapai hasil dari persidangan yang berlangsung selama dua setengah jam itu bagi memastikan perjalanan parti di dalam Pakatan Rakyat, terus kekal bertahan.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Dato Dr Hasan Mohamad Ali berkata, kedua-kedua parti itu akan mempertahankan kerajaan Pakatan Rakyat dari sebarang perkara yang boleh memecah-belahkan perpaduan dan berusaha melahirkan Selangor sebagai negeri yang stabil, maju, bersih dan berkebajikan.

Katanya lagi, walaupun wujud perbezaan pendapat antara satu sama lain, ia akan diatasi dengan perbincangan dari semasa ke semasa menerusi kaedah kerjasama untuk memacu kesejahteraan rakyat di negeri ini.

“Kedua-dua parti menyedari terdapat banyak ruang-ruang kerjasama antara kedua belah pihak dan akan terus menggunakan ruang tersebut untuk memacu kesejahteraan rakyat di negeri ini.

“Walaupun wujud perbezaan antara kedua buah parti dari sudut dasar dan prinsip perjuangan namun atas semangat setiakawan yang sejati perbezaan itu mudah ditangani seperti isu pengawalan minuman arak dan Selcat,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Kerja DAP, Teresa Kok menjelaskan, kedua-dua parti itu akan sentiasa mengadakan dialog seperti ini bagi mengelakkan percanggahan pendapat dan pandangan yang boleh mencetuskan persepsi negatif terhadap kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

“Dalam dialog kedua-dua parti di Selangor tadi telah pun mengadakan persefahaman bahawa hubungan antara kita ini perlu dipereratkan lagi antara kedua-dua parti, dan perlu lebih dialog seperti ini yang bekerjasama untuk elak perselisihan,” katanya.

Tambah Dr Hasan, pertemuan dua hala ini akan terus dilakukan dan tidak terhad kepada Pas dan DAP sahaja, sebaliknya merangkumi kesemua komponen parti Pakatan Rakyat di Selangor termasuk Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Kita mengharapkan yang akan datang ni akan lebih consultation dan kita akan perbanyakkan consultation iaitu perjumpaan antara kita dan ini adalah langkah terbaik yang perlu diadakan antara Pas dan DAP, ini juga akan menyuburkan spirit pada tempat-tempat lain,” katanya.

Persidangan ini dihadiri 18 pimpinan tertinggi Pas Selangor dan DAP, termasuk Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor, Iskandar Abdul Samad, Setiausaha Pas, Khairuddin Othman dan Ketua Penerangan Pas, Roslan Shahir Mohd Shahir.

Manakala DAP diwakili Exco Selangor Teresa Kok, Ean Yong Hian Wah dan Ronnie Liu serta Adun Subang Jaya, Hanna Yeoh dan Adun Kampung Tunku, Lau Weng San.-ATIQAH YAACOB (TVSELANGOR)

No comments

Powered by Blogger.