Worldwide Sedia Pulihara Tapak Pelupusan Sampah Haram Sungai Kertas, Gombak

SHAH ALAM, 7 Oktober - Worldwide Holdings Berhad sedia menerima tawaran daripada kerajaan negeri Selangor untuk memulihara kawasan tapak pelupusan sampah haram di Sungai Kertas, Gombak.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Norazlina Zakaria berkata, berdasarkan pengalaman Worldwide Holdings dalam perkhidmatan pengurusan alam sekitar, ia tidak menjadi masalah kepada mereka untuk memulihara kawasan itu.

“Sebagai sebuah syarikat yang terlibat dengan pelupusan sampah, jadi ini adalah sebahagian daripada kepakaran kami yang telah menguruskan beberapa tapak pelupusan seperti di Kubang Badak.

Jadi masalah yang berlaku di Sungai Kertas ini bukanlah satu masalah yang besar buat kami dan bukan benda baru. Saya rasa insyaallah dengan kepakaran dan pengalaman yang kita ada lebih 14 tahun dalam pelpusan sampah, kami bersedia menerima tawaran daripada negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada TvSelangor semasa Jamuan Hari Raya anjuran Jabatan Sumber Manusia dan Perhubungan Awam Worldwide Hodings Berhad di Shah Alam, hari ini.

Menurutnya, Worldwide sendiri telah membuat tinjauan untuk membaik pulih kawasan terbabit, namun masih menunggu kata putus daripada kerajaan negeri seperti kenyataan yang telah dikeluarkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim baru-baru ini.

“Sebagai entiti bisnes, sebelum kita melakukan tugas, kita mesti ada satu kenyataan hitam putih untuk menyiap sediakan semua peralatan persediaan di lokasi yang diberi,” katanya.

Kata Norazlina lagi, peluang yang akan di berikan oleh kerajaan negeri untuk memulihara semula kawasan tapak pelupusan sampah haram itu akan dilakukan dengan baik dan mengurangkan kesan yang teruk kepada alam sekitar.

“Kalau kita diberi peluang, seperti saya cakap tadi, kami ada kepakaran dan pengalaman banyak dalam hal pembersihan tapak pelupusan sampah dan jika projek ini akan berjalan, ia dipanggil pemuliharaan tempat sampah (Rehabilitation dumpsite),” katanya.

Terdahulu, dalam satu kenyataan berhubung tapak pelupusan sampah haram di Sungai Kertas, Tan Sri Khalid mengisytiharkan ia sebagai kawasan bencana dan merampas tanah itu daripada pemiliknya.

Katanya lagi, setelah usaha rampasan selesai dilakukan, MPS akan memantau dan membersihkan kawasan itu dan mendapatkan khidmat pakar daripada Worldwide Holding Berhad untuk memulihara kawasan tersebut.-ATIQAH YAACOB (TVSELANGOR)

No comments

Powered by Blogger.