Prasarana Selangor Mampu Tampung Pembangunan Pesat

Selangor merupakan antara negeri yang mempunyai prasarana terbaik dan negeri ini sedia menerima pembangunan yang bakal dirancang oleh Jawatankuasa Penganjur Pembangunan Semula Bandar.

Exco Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Datuk Dr Hassan Ali berkata kerajaan negeri bagaimanapun tetap memantau isu penyelenggaraan infrastruktur terutamanya yang di swastakan.

Menurutnya tiada halangan dari segi infrastruktur untuk merealisasikan perancangan berkenaan sekiranya dilakukan secara komprehensif.

“Dari segi infrastuktur Selangor antara yang terbaik di Malaysia, hanya soal penyelenggaraan, menyelengara jalan, jambatan dan sebagainya. Kita telah swastakan kepada syarikat-syarikat untuk menjaganya dan kita hanya mengawasi sekarang ini.

“Persoalannya sekarang bila mahu bangunkan bandar sudah cukupkah infrastruktur kita, tiada masalah kerana apa yang telah dirancang mestilah dirancang secara komprehensif. Kalau kita mahu membuat perancangan pembangunan bandar Petaling Jaya misalnya sudah tentu ia bukan secara mengejut ia perlu dirancang secara keseluruhan,” katanya ketika dihubungi TVSelangor.

Semalam Adun Damansara Utama Cheah Wing Yin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Pembangunan Semula Bandar berkata Adun-adun Pakatan Rakyat dan pimpinan negeri mengatur rancangan merangsang pembaharuan bandar-bandar kecil dan besar dengan pakej projek berteras ekonomi dan penambahbaikan prasarana.

Tiga bandar dikenal pasti sebagai lokasi strategik dibangunkan ialah Kajang, Klang dan Petaling Jaya.

Usaha berkenaan dibuat bagi memacu pembangunan Selangor supaya dapat menarik pelabur luar dan untuk keselesaan penduduk setempat.

Hassan menjelaskan perancangan pembangunan bandar berkenaan akan merangkumi perbincangan isu infrastruktur dan pihaknya bersedia memastikan ianya tersedia dengan sebaiknya.

“Bila kita merancang pembangunan bandar sekali dengan infrastruktur. Tidak boleh pembangunan bandar dan infrastruktur asing, ia tidak boleh perlu sekali. Misalnya jika kita mahu merancang pembandaran besarnya 100 kali ganda dari yang ada sekarang sudah tentu infrastrukturnya menguikut kadar pembangunan semula pembesaran bandar tersebut,” katanya.

Beliau menafikan Selangor gagal menyediakan infrastruktur terbaik kepada penduduk di bandar sedia ada sehingga memaksa kerajaan negeri mewujudkan bandar baru.

“Bukan infrastruktur tidak cukup wujudkan bandar baru, tidak. Sebab infrastruktur sudah cukuplah kita wujud bandar baru. Bagaimana jika jalan tiada kita hendak bina bandar baru, tidak boleh,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.