Dewan Negeri Selangor Lulus Belanjawan Tambahan RM392 juta

SHAH ALAM, 9 Nov - Dewan Negeri Selangor hari ini bersetuju meluluskan belajawan tambahan sebanyak RM392 juta apabila Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) mengutip hutang tertunggak anak-anak syarikat kerajaan negeri daripada syarikat Talam Corporation.

Pendekatan yang diguna pakai MBI ialah dengan membeli semua hutang milik beberapa anak syarikat kerajaan negeri itu dalam bentuk geran.

Dengan cara ini MBI boleh mengambil alih pengutipan hutang serta pemilikannya iaitu KDEB, UNISEL dan PNSB daripada kumpulan Talam melalui projek pembangunan hartanah sejak 10 tahun lalu.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pengutipan hutang tersebut dijangka boleh dibuat dalam tempoh 3 bulan dalam pemantauan Dewan Negeri Selangor.

“Kerajaan negeri mengakui bahawa terdapat penambahan pendapatan negeri di dalam akaun yang disatukan berjumlah RM392 juta, duit RM392 ini adalah hasil daripada hutang-hutang yang dilakukan oleh kumpulan Talam, syarikat-syarikat dalam kumpulan Talam yang mana hutang-hutang ini sudah dipersetujui yang Talam ini sudah berhutang kepada syarikat-syarikat ini dan syarikat-syarikat seperti Kumpulan Darul Ehsan, Unisel dan PNSB yang dikumpulkan berjumlah RM392 juta telah diserahkan untuk milikan kerajaan negeri”, kata Tan Sri Khalid.

Beliau bercakap kepada media selepas menghadiri Mesyuarat Ketiga Sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam, hari ini.

Tan Sri Khalid menambah, Barisan Nasional sebelum ini gagal membuat kutipan hutang beberapa anak syarikat kerajaan negeri dengan baik sebaliknya mereka menyalahgunakan pendapatan anak syarikat untuk perbelanjaan Balkis dan lawatan ke luar negara.

Bagaimanapun katanya usaha berterusan Kerajaan Pakatan Rakyat memastikan hutang-hutang lapuk kerajaan negeri dapat disegerakan kutipannya apabila penstrukturan semula kewangan anak-anak syarikatnya dapat dilakukan.

“Duit RM392 juta yang dalam milikan negeri di bawah akaun yang disatukan dipindahkan sebagai geran kepada MBI Incorporated, Menteri Besar yang Diperbadankan, jadi dengan itu MBI telah memulangkan duit itu kepada syarikat yang membeli hutang-hutang yang dimiliki kerajaan negeri hasil daripada penyusunan semula hutang itu dan MBI sekarang sudah memiliki RM392 juta hutang yang sekarang terhutang oleh kumpulan Talam”, jelasnya lagi.

Katanya, sebelum ini pengurusan syarikat MBI diletakkan di bawah anak syarikat kerajaan negeri iatu Kumpulan Darul Ehsan Berhad, namun apabila Pakatan Rakyat mentadbir Selangor, Tan Sri Khalid menjadikan MBI sebagai syarikat utama negeri ini.

“Saya letakkan MBI ni sebagai syarikat utama dari segi kumpulan pelaburan oleh kerajaan negeri, saya lakukan dalam penstrukturan semula pertama, ia saya tak jelasnya sebab ia berlaku tahun lepas, saya mengambil 8 bulan untuk menstrukturnya semula”, ujarnya. - MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN

No comments

Powered by Blogger.