Harus hati-hati tetapi jangan sampai terlalu bimbang ...

Ahmad Lutfi Othman

MEMPERSIAPKAN segala persediaan awal untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13, dan semestinya bermula dari sekarang, dengan andaian ia tidak semudah Mac 2008, rasanya diterima semua pihak.

Malah ada yang membayangkan kemungkinan pilihan raya diadakan lebih cepat daripada biasa, sebaik saja melepasi tempoh tiga tahun pertama sekiranya Najib Razak merasakan suasana dan persekitaran politik lebih memihak BN dan menyerkup Pakatan Rakyat.

Dalam situasi dan posisi Pakatan dilihat agak sukar, persiapan seharusnya lebih rapi dan sistematik, didahului kajian mendalam di lapangan, dan mengambil kira segala sumber kekuatan dan punca kelemahan.

Harus diingat, mood pengundi bukan dibentuk sekelip mata. Ia dibina, diperkukuh dan disuburkan melalui faktor sekeliling, juga sentimen serta 'gelombang' semasa, dan pastinya prestasi dan track record setiap calon atau parti yang bertanding.

Setiap pihak berpeluang untuk mempengaruhi keputusan pilihan raya, biarpun ruang demokrasi sengaja disempitkan. Apatah lagi dalam keadaan masyarakat yang semakin cerdik-pintar berpolitik,

Justeru, aktivis Pakatan tidak harus pesimis atau terlalu bimbang - walaupun tetap bersikap waspada dan hati-hati - dengan jangkaan bahawa rakyat akan kembali menyokong BN, selaras dengan hiruk-pikuk kononnya berlaku perubahan dalam Umno dan parti-parti komponen lain.

Teori pendulum bukan kemestian, ia sekadar mahu merumuskan fenomena terdahulu, itu pun jauh dari kesempurnaan, sedangkan kini masyarakat sudah berubah dan semakin bijak menilai.

Kemenangan mudah BN tanpa dicabar sudah berakhir 10 tahun lalu, dan mungkin tidak berulang lagi, termasuk kepada apa jua parti pemerintah selepas ini. Pengundi menghayati konsep mereka sebagai raja dan tidak melepaskan peluang bagi menghukum siapa jua yang alpa.

Rakyat juga seperti sudah memahami manfaat kebaikan sistem dua parti (biarpun ia belum terlaksana sepenuhnya), dan dijangka mereka akan memberikan peranan lebih besar buat pembangkang, tidak kira di Dun mahupun Parlimen.

Semakin sengit parti-parti bersaing meraih sokongan dan berusaha menabur bakti sehebat mungkin, keuntungan akhirnya buat rakyat jua.

"Bagi saya mudah saja," kata seorang pensyarah sains kemanusiaan di sebuah IPTA bagi meredakan kerisauan saya dan menyangkal dakwaan PAS mungkin hilang sokongan dalam PRU13, "wakil rakyat Pakatan, khususnya PAS, mesti tunjuk teladan unggul, rajin menjenguk kawasan, kerap berdialog dengan masyarakat, selesaikan segera isu berbangkit terutama berkaitan kemudahan awam, tidak menumpukkan kekayaan peribadi, mudah didampingi, proaktif, memeriahkan kegiatan surau-masjid dan tidak bertangguh menangani masalah. Rakyat memerhatikan kita, dan tentunya tidak mudah termakan propaganda murahan jika kita sentiasa bergerak cergas bersama mereka, bukannya terpencil dalam kelompok elit." (Memang ungkapannya nampak mudah tapi tidak semestinya mudah untuk dilaksanakan terutama bagi mereka yang hanya mahu meraih keuntungan peribadi).

Tambahnya lagi, "Dan di negeri Pakatan, buktikan kita lebih bersih daripada negeri lain di bawah BN, sekurang-kurangnya lampu jalan menyala terang, jalan berlopak diturap cepat dan cantik, sampah diangkut ikut jadual, longkang tidak tersumbat, kawasan permainan terjaga. Jangan remehkan aspek-aspek itu."

Dan, serentak dengan itu, ujar pensyarah berkenaan lagi, Pakatan akan lebih dipercayai, diakui tidak khianati amanah, sebaliknya berlaku adil, benci rasuah, membela orang susah dan memiliki sifat-sifat luhur lain. Oleh itu, katanya, usah risau sangat kita akan kalah sekiranya sudah cukup amal bakti kita kepada rakyat.

Dalam pada itu, surat dari Mohd Noor Jamil, Sg Siput (U) Perak kepada saya mengingatkan pemimpin Pakatan: "Tolong tonjolkan imej positif, tunjukkan persefahaman dan kerjasama erat kepada rakyat. Tolong buang sifat ego dan merasakan diri lebih baik daripada pihak lain. Dan tolong bantu rakyat dengan lebih berkesan, terutama di negeri Pakatan. Misalnya dari segi pemilikan aset, masih ramai rakyat hidup menumpang terutama di luar bandar dan estet. Usahakan pemberian tapak-tapak rumah jika tidak mampu menyediakan rumah ..."

Terselit juga SMS tanpa penama di telefon bimbit saya: "Antara aktor besar 2008 adalah Mahathir, kini beliau tak bersama kita lagi. Umno juga akan pastikan Anwar tidak berada di medan dalam PRU13 nanti. Bersedialah ..."

II.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad mahu Harakah berperanan secara lebih berkesan bagi menepis dan menangkis tohmahan Umno-BN bahawa Pakatan Rakyat dan PAS mengetepikan, atau meminggirkan, Islam dan Melayu dalam pemerintahan dan perjuangannya.

Umum mengetahui bagaimana hebatnya Umno mencanangkan - dengan mengemukakan 'fakta' palsu berkaitan kerajaan Pakatan di Perak dan Selangor - komitmen Islam PAS makin cair dalam usaha mengambil hati pemimpin DAP dan KeADILan. Dikhuatiri jarum halus Umno itu berjaya membuatkan pengundi Melayu hilang pertimbangan.

"Umno," kata Idris, "menegaskan Islam dan Melayu akan tergugat jika kuasa mereka hilang. Bagi mereka PAS-Pakatan tidak boleh melindungi Islam dan Melayu di negara ini. Hakikatnya, berdasarkan fakta, pemimpin Umnolah yang mengkhianati Islam dan Melayu. Lihat bagaimana Umno merobohkan masjid di Bujal, Kemaman. Kemudian menutup Surau Jubli Perak di Bangi, menutup surau di Seksyen Lapan dua mingggu sebelum Ramadan 2007 dan merobohkan surau di Kampung Berembang. Timbalan Presiden Umno kini, ketika itu Menteri Besar Johor mengubah cuti hujung minggu daripada Jumaat kepada Ahad, tapi sekarang masuk kampung menuduh PAS-Pakatan mengkhianati agama Islam."

Insya-Allah, secara bersiri Harakah bukan saja berusaha menyanggah tohmahan jahat itu, malah cuba menonjolkan 'jenayah' Umno terhadap agama Islam dan bangsa Melayu di negara ini, selama lebih 50 tahun memerintah. Sikap hipokrasi Umno, yang cuba berlagak sebagai juara agama, pembela bangsa dan pendokong raja mesti didedahkan secara meluas.

Banyak fatwa yang diputuskan mufti, seperti larangan bertafakur dan meletakkan kalung bunga di Tugu Negara serta peraturan Jakim tentang panduan hiburan diketepikan begitu saja. Pemimpin Umno perlu bertanggungjawab atas kesalahan berganda itu, dan bukannya menyorok di sebalik lalang dengan memainkan sentimen dan emosi perkauman yang cukup berbahaya.

III.

Polis berkeliaran di sekitar 'zon perang' sidang Dun Perak, 28 Oktober lalu. Jumlahnya cukup ramai. Speaker V Sivakumar diperlakukan lebih kejam berbanding insiden 7 Mei lalu; kali ini jubah dan songkoknya dirampas, selain perutnya dihentak dan lehernya dicekik. Ganas dan memalukan.

Adun Pakatan terpaksa melalui lima sekatan. Helah agar tidak dapat sampai sebelum jam 10 pagi. Bajet negeri Perak 2010 diluluskan secara tergesa-gesa, paling singkat dalam sejarah.

Aksi BN yang kemaruk kuasa itu belum berakhir. Begitu juga dengan usaha membubarkan Dun. Lebih penting, rakyat harus mendapat maklumat benar dan faham realiti termasuk dari sudut perundangan. Jaringan informasi harus lebih efisyen.

Dan usah lupa, sentimen kaum cukup marak dalam pergolakan politik Perak. Nizar dan teman-teman harus mengharunginya dengan tabah, bijaksana dan berbekalkan stamina panjang.

Aktivis Pakatan mesti lebih bersiap siaga. "Saya takut jika Dun betul-betul dibubarkan nanti, momentum kita sudah luntur," bisik seorang wartawan sambilan di Ipoh.

No comments

Powered by Blogger.