Kedangkalan hujah dalam artikel Prof Dr Aziz Bari!

Oleh Muhammad Abu Zahra

Dalam dunia akademik, seseorang ahli akademik akan dinilai kewibaannya berdasarkan kepakarannya yang mendalam, pandangannya yang tajam dan analisisnya yang tamam. Kesemuanya aspek ini selalunya akan diterjemahkan dalam bentuk bicara dan pena. Bagaimanapun, biasanya bicara seseorang ahli akademik itu kurang pemberatnya berbanding penanya.


Hasil penanya kadang-kadang dipersembahkan dalam bentuk buku akademik, artikel ilmiah, kertas kerja dan rencana popular. Lazimnya, buku akademik yang diterbitkan oleh penerbit berautoriti dan artikel ilmiah yang diterbitkan oleh jurnal-jurnal yang berwasit mempunyai nilai yang tinggi dalam dunia akademik.

Demikianlah kaedahnya untuk menilai kewibawaan seseorang ahli atau tokoh akademik, termasuklah Prof Aziz Bari. Beliau telah menempa nama yang hebat dalam dunia akademik di Malaysia. Prof Aziz telah menulis begitu banyak buku-buku akademik yang telah diterbitkan oleh penerbit yang berautoriti di dalam bidang Undang-undang Perlembagaan Malaysia.

Demikian juga artikel-artikel ilmiah beliau telah diterbitkan dalam jurnal-jurnal berwasit. Penerbitan beliau ini telah melayakkan beliau untuk dianugerahkan Professor, iaitu tahap tertinggi kepakaran dalam dunia akademik. Kewibawaan Prof Aziz dalam dunia akademik khususnya Perlembagaan Malaysia sememangnya tidak boleh dipertikaikan.

Bagaimanapun kehebatan seseorang dalam dunia akademik tidak semestinya melayakkan dia turut menjadi hebat dalam dunia politik. Seorang tokoh akademik British pada kurun ke 16 - 17, Francis Bacon, boleh menjadi contoh dalam isu ini. Bacon sememangnya dikenali kehebatannya termasuk dalam bidang perundangan dan falsafah.

Beliau telah menceburi dunia perundangan dan kemudiannya mengaplikasikan kaedah-kaedah perundangan itu dalam metodologi sains. Sungguhpun kehebatannya dalam dunia akademik, tetapi beliau tidak menyerlah dalam politik, malah boleh dikatakan beliau gagal dalam kerjaya politiknya.

Demikianlah juga, Bertrand Russell, seorang lagi tokoh akademik Britain pada kurun ke 19 - 20, turut melalui pengalaman yang sama dalam politik. Russell adalah tokoh sains sosial dan falsafah yang terkenal pada zamannya. Buku-buku dan artikel-artikel ilmiahnya sehingga hari ini masih mendapat tempat yang penting dalam dunia akademik.

Beliau juga telah dianugerahkan Nobel Prize dalam bidang kesusasteraan sebagai anugerah berprestij dalam bidang tersebut. Beliau turut menguasai falafah politik. Bagaimanapun kecemerlangannya dalam dunia akademik tidak membawanya turut cemerlang dalam kegiatan dunia politik.

Badi yang sama mungkin terkena kepada Prof Aziz, sebagaimana yang pernah dihinggapi oleh tokoh-tokoh akademik Malaysia yang lain seperti Dr Syed Hussin al-Attas dan Chandra Muzaffar.

Sesiapa yang membaca artikel beliau dalam Harian Sinar khususnya artikelnya yang mengulas tentang kekalahan PAS di Bagan Pinang boleh menilai kedangkalan analisisnya dalam dunia politik.

Kalaulah Harian Sinar tidak menulis nama Prof Aziz sebagai penulisnya, sebagaimana kaedah 'blind review' yang selalu digunakan oleh jurnal-jurnal berwasit, pasti para pembaca akan menganggap artikelnya sebagai sampah.

Dengan menjadikan kekalahan di Bagan Pinang sebagai alasan memaksa PAS melakukan reformasi kepimpinan, jelas sekali menunjukkan kedangkalan analisis politik Prof Aziz.

Dalam kaedah logik induktif yang turut juga digunakan dalam Falsafah Perundangan, satu premis (bukti) tidak cukup untuk dibuat satu generalisasi (kesimpulan umum) sebagaimana yang beliau lakukan.

Betapa pula sebelum itu PAS telah memenangi kesemua siri pilihanraya kecil (PRK) yang berhadapan dengan UMNO, yang secara langsung melemahkan premis kekalahan di Bagan Pinang. Sepatutnya dalam mempertimbangkan gesaannya, Prof Aziz perlu melihat kerelevanan siri PRK tersebut.

Tidak diketahui apakah kaedah yang digunakan oleh Prof Aziz dalam membuat gesaan itu, adakah kaedah kuantitatif atau kualitatif. Diyakini beliau tidak menggunakan kuantitatif, kerana tiada satu argumen statistikpun dikemukakan untuk mengesahkan kepimpinan sekarang telah ditolak.

Keputusan pengundian bukanlah satu kaedah kuantitaif yang tepat menggambarkan kehendak tersebut. Kalau beliau menggunakan kaedah kualitatif, sepatutnya ia dilakukan dengan membuat cerapan lapangan(observation) sebagaimana yang sering dilakukan oleh ahli akademik yang menggunakan kaedah ini. Besar kemungkinan beliau tidak turun ke Bagan Pinang untuk tujuan itu.

Tanpa mempunyai kaedah jitu berkaitan dengan penghujahan akademik, tiba-tiba sahaja beliau menulis mengulas senario politik yang berlaku. Dengan sebab itu, dari segi akademik artikel Prof Aziz itu tiada nilai ilmiahnya, sebaliknya dipersembahkan dengan menggunakan bahasa politik bukannya bahasa retorik.

Sayang sekali artikel itu ditulis oleh seorang yang mempunyai nama besar dalam dunia akademik, sedangkan nilai artikel itu seperti sampah dari sudut ilmiahnya. Demi sangkaan baik, bolehlah disebut bahawa artikel itu ditulis oleh Prof Aziz sebagai artikel popular di luar bidang kepakarannya.

Sekiranya tidak, nama baik Prof Aziz pasti tercalar dengan terbitnya artikel itu. Bagaimanapun nasib Prof Aziz agak baik, kerana artikel itu telah diberi perhatian penting oleh Tok Guru Nik Aziz, seorang yang mempunyai nama besar dalam dunia politik.

Tok Guru Nik Aziz telah bertindak menghargai artikel tersebut dengan mengusulkan PAS mengadakan EGM. Kalau tidak, pasti artikel Prof Aziz ini menjadi nila kepada susu sebelanga.

Setelah begitu banyak buku-buku dan artikel-artikelnya yang hebat, kesemuanya telah tercemar dengan terbitnya artikel seperti sampah yang disiarkan oleh Harian Sinar. Seharusnya Prof Aziz berterima kasih pada Tok Guru.

No comments

Powered by Blogger.