Pemuda Gerakan: Kaji semula BTN

Pemuda Gerakan menggesa kerajaan agar mengkaji program Biro Tatanegara secara menyeluruh, untuk memastikan program ini selaras dengan gagasan "1Malaysia" yang disarankan Perdana Menteri Najib Abdul Razak.

Setiausaha Agung Pemuda Gerakan, Dominic Lau Hoe Seng (gambar kiri) berkata, menurut maklum balas masyarakat, Biro Tatanegara dipergunakan oleh segelintir pegawai yang ektrem untuk menyemai benih perpecahan antara kaum. Kerajaan perlu memandang berat masalah ini agar ianya tidak berlanjutan, malah menjurus kepada keadaan yang tidak dikawal.

"Objektif BTN adalah betul. Sejak penubuhannya pada tahun 1981, motif programnya adalah untuk memupuk semangat patriotik dan sikap yang betul. Masalahnya berlaku pada pegawai yang menjalankan tugas. Mereka menggunakan program BTN untuk meracuni pemikiran peserta, menyemai ideologi perkauman dan memecah-belahkan masyarakat."

Beliau menegaskan, Pemuda Gerakan memandang berat masalah ini, kerana seandainya dibiarkan berterusan, maka ia akan mengakibatkan gagasan "1Malaysia" tidak tercapai.

Dominic Lau berkata sedemikian ketika mengulas isu ADUN Pakatan Rakyat Selangor yang menggesa agar kerajaan Selangor berhenti untuk menghantar penuntut pengajian tinggi ke program BTN.

Dominic Lau mencadangkan agar kerajaan menubuhkan pasukan tugas khas yang terdiri daripada pegawai tinggi kerajaan dan NGO, untuk mengkaji semula mekanisme BTN, untuk memastikan BTN tidak terpesong dari objektif asalnya, terutamanya dalam menyatu-padukan generasi muda.

*Kenyataan media oleh Dominic Lau Hoe Seng selaku Setiausaha Agung Pemuda Gerakan dalam bahasa Cina. Diterjemahkan kemudiannya.

No comments

Powered by Blogger.