Penyokong liar Kelantan dikesan

KUALA LUMPUR 9 Nov. - Polis akan memburu penyokong-penyokong bola sepak Kelantan yang dipercayai bertindak agresif serta menjadi dalang menimbulkan huru-hara ketika perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin.

Mereka yang terlibat dalam insiden memalukan itu sedang dikenal pasti melalui rakaman video dan gambar yang diambil sepanjang perlawanan tersebut.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Sabtu Osman menegaskan, mereka yang dikesan akan diambil tindakan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api atau bahan letupan dengan niat hendak menyebabkan kerosakan.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya akan berkerjasama dengan Polis Kontinjen Kelantan bagi mengesan serta mengecam mereka yang terlibat.

''Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dalam hal ini. Kita tegas dalam mengambil tindakan ke atas mereka,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Selain membaling mercun dan botol, perlawanan akhir Piala Malaysia edisi ke-83 itu turut dicemari dengan insiden membakar tempat duduk stadium dan kain rentang. Malah, seorang krew kamera RTM turut cedera terkena batu yang dibaling oleh penyokong.

Muhammad Sabtu berkata, polis juga akan mengadakan perjumpaan dengan pihak stadium dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam masa terdekat ini.

Ia bertujuan membincangkan kelemahan serta 'kebocoran' yang wujud di bangunan stadium pada malam itu sehingga ada antara penonton menyeludup masuk mercun serta botol air melalui pagar di sekeliling stadium, katanya.

Orang nombor satu kontinjen Kuala Lumpur itu menyifatkan tindakan melampau penyokong Kelantan yang 'beraksi' di luar kawalan seolah-olah mencabar polis.

''Sebelum ini pun, kita telah mengeluarkan arahan supaya penyokong tidak bertindak di luar kawalan, tapi mereka degil. Jadi, kita terpaksa bertindak,'' tegasnya. - Utusan

No comments

Powered by Blogger.