Polis Kelantan bantu kesan penyokong liar

KOTA BHARU: Polis Kelantan sudah dihubungi oleh polis Kuala Lumpur untuk membantu mengesan penyokong bola sepak negeri itu yang menimbulkan kekecohan dengan bertindak liar ketika perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, 7 November lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Abd Rahim Hanafi, berkata beliau dihubungi Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Sabtu Osman, berhubung perkara itu bagi mempercepatkan usaha mengesan mereka yang terbabit dalam insiden itu.

"Kita akan membantu polis Kuala Lumpur dalam siasatan berhubung kes kekecohan yang berlaku dalam perlawanan akhir bola sepak di stadium tempoh hari sebagaimana yang dikehendaki pihak polis di sana," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pemakaian pangkat dan penyampaian sijil pelantikan pegawai kehormat Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (Suksis) Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Ibu Pejabat Polis kelantan di sini, hari ini.

Semalam, Muhammad Sabtu berkata wajah penyokong liar itu sudah dicam dan pihaknya sedang mengumpul butiran identiti mereka yang dipercayai terbabit dalam insiden itu.

Dalam perlawanan akhir yang berkesudahan dengan Kelantan tewas di tangan Negeri sembilan 3-1 itu, penyokong Kelantan dilaporkan membakar mercun, membaling botol dan membakar kerusi stadium.

Berikutan kejadian itu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenakan denda RM50,000 kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) yang bertanggungjawab terhadap tindakan penyokong Kelantan itu.

Mengenai Suksis, Abd Rahim berkata seramai 3,700 penuntut institusi pengajian tinggi awam di seluruh negara kini menganggotai pasukan sukarela itu.

Katanya, pelantikan Kor Suksis dibuat mengikut Seksyen 36 Akta Polis sebagai sukarelawan polis sama seperti pelantikan Polis Simpanan Sukarela yang bertugas untuk memastikan keselamatan negara.

Naib Canselor UMK, Prof Datuk Ir Dr Zainal Mohamed, merangkap Kor Komandan Suksis UMK berkata, objektif penubuhan kor itu ialah untuk menerapkan nilai murni, jati diri, disiplin dan sikap positif dalam usaha melahirkan mahasiswa yang memiliki sahsiah yang tinggi dan teruji.

"Selain itu ia juga mampu melahirkan pegawai kor Suksis yang berpengetahuan dalam undang-undang dan disiplin yang sesuai dengan budaya PDRM dan IPTA," katanya. - Bernama

No comments

Powered by Blogger.