Polis mempunyai foto Najib bersama Altantuya

Konsul Mongolia serahkan gambar kepada polis, kata wartawan Peranchis

Foto Perdana Menteri Najib Razak bersama Altantuya Sharibuu ada dalam tangan polis tetapi tidak mungkin diketengahkan dalam apa keadaan sekali pun, kata wartawan Perancis Arnaud Dubus.
Dalam wawancara dengan Free Malaysia Today, Dubus berkata ayah Altantuya sendiri menyerahkan gambar itu kepada konsul Mongolia di Malaysia yang kemudian memberikannya kepada polis.

Dubus berkata keluarga Altantuya terlalu lurus atau “naïf” kerana mempercayai konsul Datuk Syed Abdul Rahman Alhabshi sehingga tidak membuat salinan gambar berkenaan.

“Gambar berkenaan diberikan kepada Datuk Syed yang kemudian menyerahkannya kepada polis. Selepas itu gambar berkenaan seolah-olah terus “ghaib.”

“Kehilangan” gambar itu, mengekang Dubus daripada meneruskan siasatannya bersabit pembabitan Najib dalam kes Altantuya.

Dubus menyiasat kes itu selama tiga bulan. Hasil siasatan beliau yang mengupas sogokan wang dalam kontrak pembelian senjata oleh Malaysia dari Peranchis serta hubungan Altantuya dengan Najib serta Abdul Razak Baginda disiarkan akhbar La Liberation.

Najib selama ini menafikan mengenali Altantuya namun penafian itu disangsi oleh pelbagai pihak, khususnya pembangkang dan badan-badan bebas hak asasi.

Dubus yakin foto Altantuya dengan Najib tetap wujud berasaskan fakta-fakta tertentu yang mengaitkan Perdana Menteri kepada Altantuya.

“Gambar yang dimaksudkan ini dilihat sendiri oleh Shaaribuu Setev, ayah Altantuya. Beliau telah melihat gambar Najib, Abdul Razak Baginda and Altantuya yang diambil di Paris. Altantuya sendiri yang menunjukkan gambar itu kepada beliau.”

“Kemudian, kawan paling rapat Altantuya, Amy, juga melihat gambar ini. Beliau juga ingat dengan jelas Altantuya mengenal pasti Najib dalam gambar itu,” kata Dubus.

Beliau yakin gambar itu akan terus disembunyikan daripada pengetahuan awam kerana terlalu “sensitif.”

“Gambar ini telah diberikan kepada polis, jadi…orang yang boleh pergi kepada polis dan bertanyakan mengenainya ialah Konsul berkenaan (Datuk Syed Abdul Rahman).

Dubus berkata gambar berkenaan akan serta merta menolak segala penafian Najib kononnya beliau tidak mengenali Altantuya.

“ Najib telah bersumpah atas Quran bahawa dia tidak mengenali Altantuya. Jika gambar ini diketengahkan, …ia akan amat memalukan beliau.

Altantuya Shaaribuu dijumpai mati pada Oktober 2006. Abdul Razak Baginda, kawan rapat kepada Najib dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan membunuh tetapi kemudian dibebaskan. Dua anggota polis Chief Inspektor Azilah Hadri, 32, dan Korporal Sirul Azhar Umar,36, didapati bersalah dan dihukum mati

Original Post: http://freemalaysiatoday.com/

No comments

Powered by Blogger.