Projek pembinaan sekitar kawasan cerun runtuh diarah berhenti serta merta

RAWANG 4 NOV -

Kerajaan negeri mengarahkan segala projek pembinaan berhampiran kawasan kejadian cerun runtuh di Kilometer 12, Jalan Rawang-Kuala Lumpur dihentikan serta merta.

Ahli Dewan Undangan Negeri Rawang, Gan Pei Nei berkata bagaimanapun arahan pemberhentian itu hanya bersifat sementara sehingga mendapat laporan penuh daripada pihak bertanggungjawab.

Menurutnya, semua pihak terlibat juga akan dipanggil untuk mengemukakan laporan penuh kepada Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dalam Masyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) esok.

“Saya difahamkan jabatan yang berkenaan termasuk Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Pejabat Tanah, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pemilik tanah ataupun pemaju perlu buat satu laporan menyeluruh untuk dikemukakan kepada Menteri Besar dan Exco dalam Mesyuarat MTES esok.

“Kita telah mengarahkan projek perumahan yang berdekatan di kawasan runtuhan itu dihentikan sementara menunggu laporan bagi memastikan kestabilan styruktur tanah berkenaan sebelum projek diteruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada TVSelangor ketika diminta mengulas mengenai status terkini kawasan kejadian berkenaan.

Semalam kejadian cerun runtuh yang berlaku seawal jam 2.45 pagi menyebabkan KM 12, Lebuhraya Rawang-Selayang di Bukit Kanching ditutup kepada lalulintas.

Cerun berkeluasan 200 hingga 250 meter runtuh lalu menutupi sebahagian laluan arah dari Ibu Negara ke Rawang.

Katanya, selain projek perumahan, berhampiran kawasan kejadian juga terdapat projek meratakan lebuh raya di bawah kendalian Kerajaan Persekutuan.

Sehubungan itu Pei Nei berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Unit Cerun JKR telah diarahkan untuk memantau kawasan berkenaan.

Menurutnya Unit Cerun JKR seharusnya memainkan peranan lebih proaktif dalam memantau keadaan cerun-cerun kerana unit berkenaan mempunyai kepakaran dan tenaga manusia yang mahir dalam bidang tersebut.

Katanya ia penting bagi memastikan kejadian tanah runtuh tidak lagi berulang.

No comments

Powered by Blogger.