[Raja Petra] Hari 1 - 24 March 2003 (Day 1 – 24 March 2003)

umber: Malaysian Today
Penulis: Raja Petra Kamarudin
Terjemah Oleh: Semangat Reformasi '98
Tajuk: Hari 1 - 24 March 2003 (Day 1 – 24 March 2003)

Fernando kemudiannya menerangkan tentang pertemuan antara Manjeet Singh Dhillon (seorang peguam) dan dua Ketua Pendakwaan, yang mana salah seorang daripadanya sudah pun dilantik sebagai Peguam Negara. Dalam pertemuan itu, dua Ketua Pendakwaan yang berkenaan, iaitu Abdul Gani Patail dan Azhar Mohamad menggunakan peras ugut untuk memaksa anak guam Manjeet, iaitu Dato' Nalla Karuppan untuk mereka-reka bukti terhadap Anwar.....


THE CORRIDORS OF POWER

Raja Petra Kamarudin

Ketua Pembelaan, Christopher Fernando memulakan sidang rayuan di Mahkamah Rayuan Kuala Lumpur dengan berhujah bahawa kes pihak Pendakwaan hanyalah didasarkan pada keterangan Azizan Abu Bakar. Malah kes ini hanya berpaksikan kredibiliti Azizan.

Namun, kata Fernando, semasa perbicaraan, kenyataan Azizan sentiasa bercanggah antara satu sama lain. Jadi, dia adalah saksi yang tidak boleh dipercayai.

Bahkan, Azizan bukan hanya patut diisytiharkan sebagai saksi yang tidak boleh dipercayai, tetapi juga patut didakwa kerana melakukan sumpah bohong.

"Sebaliknya," bantah Fernando, "Hakim yang arif menerimanya sebagai saksi yang kredibel, boleh dipercayai dan jujur."

"Ini adalah antara saksi yang paling meragukan yang pernah dipanggil memberi keterangan," kata Fernando.

"Keterangannya sarat dengan ketidaktekalan dan pendustaan. Dia telah memberi tiga versi yang berbeza tentang apa yang sebenarnya berlaku."

Fernando menjelaskan bahawa dalam perbicaraan yang pertama (perbicaraan rasuah), Azizan memberi keterangan bahawa Anwar meliwatnya. Namun, dalam perbicaraan yang kedua (perbicaraan liwat), dia memberi keterangan bahawa Anwar tidak pernah meliwatnya.

"Dia mengaku bukan hanya sekali, tetapi tiga kali bahawa antara tahun 1992 dan 1997, dia tidak pernah diliwat oleh Anwar, dan itulah sebabnya dia terus mengunjungi Anwar. Kalau tidak, dah tentu dia akan menjauhkan diri daripada Anwar."

"Tiada keraguan dalam pengakuannya ini," kata Fernando. "Hakim pun terkejut (dengan pengakuannya)."

Fernando berkata bahawa Hakim kemudiannya memintanya untuk mengulangi soalannya kerana mungkin Azizan tidak memahaminya. Fernando berkata bahawa dia pun bertanya kepada Azizan buat kali yang kedua, dan untuk kali yang kedua, Azizan mengaku bahawa Anwar tidak pernah meliwatnya.

"Saya kemudiannya bertanya buat kali yang ketiga, yakni demi mendapatkan kepastian dan bagi berlaku adil kepadanya," kata Fernando, "dan, untuk kali yang ketiga, dia mengaku bahawa Anwar tidak pernah meliwatnya."

"Beberapa hari kemudian, dan semasa soal balas, pihak Pendakwaan menanyakan soalan yang berbentuk soalan pimpin (leading question). Ini sememangnya tidak adil dan Hakim sepatutnya menolaknya."

Soalannya adalah, "Selepas tahun 1992, pernahkah kamu diliwat lagi?”

"Pembelaan membantah soalan ini, tetapi hakim membenarkannya," jelas Fernando.

"Namun, sebagai menjawab soalan pimpin ini, iaitu sama ada dia pernah diliwat antara 1992 dan hari ini (1998), Azizan sekali lagi mengatakan bahawa dia tidak pernah diliwat.”

"Hakim sendiri menyimpulkan pemerhatian yang spesifik. Dalam satu kesempatan, dia berkata, "Saksi ini… hari ini dia kata ini, besok dia kata itu.”

Hakim juga berkata, "Saksi ini suka mengelak. Soalan yang mudah pun dia tidak mahu jawab.”

"Hakim sendiri menyimpulkan bahawa Azizan adalah saksi yang tidak boleh dipercayai."

"Adalah begitu menghairankan bahawa selepas membuat kenyataan yang begitu tegas, Hakim bertukar fikiran pula dengan mengatakan bahawa saksi ini kredibel, jujur dan boleh dipercayai."

"Kenyataan Hakim bertentangan dengan penemuannya/pemerhatiannya sendiri."

Pendakwaan terdesak; pertuduhan dipinda agar sesuai dengan keterangan saksi

Pendakwaan meminda pertuduhan terhadap Anwar Ibrahim sebanyak dua kali bagi menyesuaikannya dengan keterangan saksi utama mereka, Azizan Abu Bakar.

"Pertuduhan asal adalah 'suatu malam pada bulan Mei 1994'," kata Ketua Pembelaan, Christopher Fernando.

"Kemudian, ternyata bahawa Tivoli Villa, iaitu tempat di mana jenayah terbabit dikatakan berlaku belum pun siap dibina.”

"Pendakwaan lantas menghadapi dilema yang begitu menekan. Mana mungkin jenayah dilakukan di dalam sebuah bangunan yang belum pun siap pada masa itu?”

"Jadi, pertuduhan dipinda kepada 'suatu malam dalam bulan Mei 1992'," jelas Fernando.

Tetapi tarikh ini masih tidak konsisten dengan keterangan Azizan. Jadi, bagi menyelamatkan kes mereka, pertuduhan sekali lagi dipinda kepada "melakukan jenayah liwat pada 7:45 malam antara bulan Januari dan Mac 1993," ujar Fernando.

"Mula-mula 1994, kemudian 1992 dan akhirnya, 1993," kata Fernando kepada hadirin yang mendengar segala kenyataannya dengan penuh minat.

"Hakim seolah hilang pertimbangan. Dia tidak mampu menanggapi perkara yang sedang berlaku."

"Mengapa ia perlu ditukar kepada suatu tarikh pada tahun 1993? Sebenarnya, mereka tidak boleh menetapkannya pada 1992 ataupun lebih awal daripada itu kerana bangunan itu belum siap. Jadi, satu-satunya cara adalah dengan menggunakan tarikh selepas itu.”

"Dapatkah sesiapa, tanpa kekecualian, menjawab pertuduhan yang amat tidak jelas seperti ini, termasuk kita semua?" tanya Fernando.

"Suatu malam dalam 90 hari! Saya tidak dapat membayangkan pertuduhan yang lebih kabur dan meragukan daripada ini – pertuduhan yang sungguh sangat tidak adil."

"Pindaan ke atas pertuduhan tidak Bona Fide."

Hakim kemudiannya bertanya, "Maksud awak, pindaan itu Mala Fide?" Fernando menjawab, "Ya."

"Pertuduhan itu telah dipinda agar sesuai dengan keterangan Azizan," tambah Fernando.

Walau bagaimanapun, Azizan memberi keterangan bahawa dia tidak pernah diliwat dari tahun 1992 dan tahun-tahun yang berikutnya.

"Dia mengaku bukan hanya sekali, tetapi tiga kali bahawa antara tahun 1992 dan 1997, dia tidak pernah diliwat oleh Anwar, dan itulah sebabnya dia terus mengunjungi Anwar. Kalau tidak, sudah tentu dia akan menjauhkan diri daripada Anwar," kata Fernando.

"Tan Sri Mohtar Abdullah (Peguam Negara pada masa itu) berkata,’Kami mempunyai semua rekod dan bukti yang berkaitan dengan pergerakan Dato' Seri Anwar Ibrahim di dalam dan luar negara antara tahun 1992 dan 1998'."

"Jika anda mempunyai semua rekod dan bukti yang berkaitan dengan pergerakan Dato' Seri Anwar, maka mengapakah anda tidak mengemukakannya? Mengapakah pertuduhan mengandungi tarikh yang begitu kabur?"

"Kesimpulannya adalah rekod dan bukti yang dimaksudkan menunjukkan bahawa Dato' Seri Anwar tidak berada di Tivoli Villa antara bulan Januari dan Mac 1993."

"Ini adalah pertuduhan yang dibuat-buat. Itulah hakikatnya. Tiada keraguan lagi tentangnya.”

"Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri diiringi sepanjang masa demi keselamatan mereka sendiri, dan rekod pergerakan mereka memang boleh diperolehi.”

"Hakim gagal menggunakan peruntukan dalam seksyen 114(g) Akta Bukti terhadap Pendakwaan kerana gagal mengemukakan bukti dan rekod yang menunjukkan pergerakan Dato' Seri Anwar."

"Jika rekod itu dikemukakan, ia akan membebaskan Dato' Seri Anwar dan akan menunjukkan bahawa dia tidak pernah berada di situ (di Tivoli Villa) selama 60 hari tersebut (Januari - Mac 1993)."

Polis melatih Azizan tentang keterangan yang perlu diberikan

Sebenarnya, polislah yang melatih Azizan Abu Bakar, saksi utama Pendakwaan, tentang keterangan yang perlu diberikan. Christopher Fernando berkata bahawa dia bertanya kepada Azizan, "Adakah awak memberitahu pihak polis bahawa awak diliwat pada tahun 1992?"

"Azizan menjawab bahawa dia tidak ingat."

"Setelah ditanya dengan lebih lanjut, dia menjawab bahawa dia tidak memberitahu polis bahawa dia diliwat pada tahun 1992.”

"Saya kemudiannya bertanya kepadanya, 'siapakah yang memalsukan bukti?'"

"Dia menjawab bahawa dia tidak tahu."

"Saya bertanya dengan lebih lanjut, ‘Adakah awak memberitahu pihak polis bahawa awak diliwat pada Mei 1994?"

"Dia menjawab beberapa kali bahawa dia tidak ingat."

"Akhirnya, dia mengaku bahawa dia tidak memberitahu polis bahawa dia diliwat pada Mei 1994."

Mahkamah diberitahu bahawa Azizan mendedahkan bahawa dia dipanggil oleh pegawai siasatan, iaitu SAC Musa Hassan pada Jun 1999.

"Saya kemudiannya bertanya kepadanya, 'adakah kamu diminta untuk mengubah tarikhnya kepada 1993?"

"Dia menjawab, 'ya'."

"Ketika ditanya, 'siapakah yang meminta kamu untuk menukar tarikhnya?', dia membalas 'polis'. Akhirnya, dia mengaku bahawa orangnya adalah SAC Musa Hassan."

"Mengejutkan dan menakutkan"; Bukti terhadap Anwar dipalsukan

"Mengejutkan dan menakutkan!" Itulah gambaran oleh Christopher Fernando tentang konspirasi untuk memalsukan bukti terhadap Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

[ADS] Terima Email Dan Dapatkan $$$ Setiap Kali Membacanya !!!
[ADS] Malaysia Online Contest, Promotion & Earning Blog!!!

Fernando kemudiannya menerangkan tentang pertemuan antara Manjeet Singh Dhillon (seorang peguam) dan dua Ketua Pendakwaan, yang mana salah seorang daripadanya sudah pun dilantik sebagai Peguam Negara. Dalam pertemuan itu, dua Ketua Pendakwaan yang berkenaan, iaitu Abdul Gani Patail dan Azhar Mohamad menggunakan peras ugut untuk memaksa anak guam Manjeet, iaitu Dato' Nalla Karuppan untuk mereka-reka bukti terhadap Anwar.

Dato' Nalla diugut dengan hukuman mati oleh Pendakwaan jika dia enggan memberikan keterangan bahawa dia memainkan peranan yang penting bagi mendapatkan perempuan untuk Anwar.

Walau bagaimanapun, Dato' Nalla enggan melakukannya.

Mereka meneruskan usaha mengugutnya dan keluarganya. Pada mulanya, mereka mahu dia membabitkan Anwar dengan dua orang wanita, lalu tiga, kemudian empat, dan akhirnya, mereka menetapkannya pada lima orang perempuan, dedah Fernando. Pendakwaan juga mengakui bahawa mereka mengendalikan hal-hal yang berkaitan bagi pihak Perdana Menteri.

Pada 25 Ogos 1998, Manjeet memfailkan Affidavit berkenaan dengan perkara ini di mahkamah. Pada 13 Oktober 1998, Manjeet mengadakan pertemuan dengan Peguam Negara pada masa itu, dengan dihadiri oleh dua orang pendakwa raya, di mana isu tersebut dibangkitkan.

Peguam Negara meminta maaf kerana tidak mengambil tindakan atas aduan Manjeet. Sementara itu, dua orang pendakwa raya yang terbabit hanya mendiamkan diri dan tidak menafikan tuduhan itu.

Mereka juga cuba memeras ugut seorang lagi anak guam Manjeet, iaitu Dr. Munawar Anees, yakni bagi membabitkan Anwar dalam salah laku seksual.

"Ini menunjukkan bahawa pihak polis bukan hanya cuba memaksa Azizan untuk berbohong, malah Dato’ Nalla dan Dr. Munawar juga turut menjadi mangsa," kata Fernando.

Mahkamah diberitahu bahawa Anwar tidak dipecat dari jawatannya sehinggalah 2 September 1998, namun Peguam Negara dan Ketua Pembelaan sudah pun cuba memalsukan bukti terhadapnya lama sebelum itu.

Original Post: http://malaysia-today.net/index.php?option=com_content&view=article&id=28447:day-1-24-march-2003&catid=22:the-corridors-of-power&Itemid=100085

Translation: http://gomalaysian.blogspot.com/

No comments

Powered by Blogger.