Rombakan Kabinet Sarawak sebagai persiapan pilihan raya negeri — Misiah Taib

Rombakan Kabinet Sarawak, kelmarin dikaitkan dengan perubahan dilakukan bagi menghadapi pilihan raya negeri tidak lama lagi meskipun tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) sekarang, hanya akan berakhir pada 24 Julai 2011.


Rombakan itu menyaksikan pelantikan enam muka baru, semuanya dilantik sebagai Menteri Muda, selain perubahan portfolio empat menteri kanan termasuk dua Timbalan Ketua Menteri dan pengguguran tiga Menteri Muda, manakala empat menteri penuh dikekalkan dalam portfolio masing-masing, berkuat kuasa 1 Disember ini.

Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud sendiri mengakui rombakan itu ada kaitan dengan persiapan menjelang pilihan raya negeri selain sebagai pendekatan yang selari dengan dasar baru Kerajaan Persekutuan dan persiapan menjayakan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Harus diingat sejarah pilihan raya Sarawak pernah diadakan setahun lebih awal, malah tiga bulan lebih awal. Kali terakhir pilihan raya negeri Sarawak kesembilan diadakan pada 20 Mei 2006, tujuh bulan lebih awal daripada tempoh tamat penggal DUN. Ini bermakna pilihan raya negeri kemungkinan besar akan diadakan antara akhir tahun depan atau awal 2011.

Daripada enam muka baru yang dilantik, tiga mewakili Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), dua mewakili Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan seorang mewakili Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP). Tiada wakil daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dilantik dalam rombakan berkenaan, walaupun dua kekosongan jawatan Menteri Muda sebelum ini disandang wakil parti itu.

Tiga dari PBB ialah Datuk Talib Zulpilip sebagai Menteri Muda Pelancongan; Abdul Wahab Aziz sebagai Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar serta Menteri Muda Perumahan dan Pembangunan Bandar serta Dr Stephen Rundi Utom sebagai Menteri Muda Kesihatan Awam.

Dua wakil PRS ialah Mong Dagang sebagai Menteri Muda Pelancongan serta Menteri Muda Pertanian dan John Sikie Tayai sebagai Menteri Muda Majlis Daerah Luar Bandar. Wakil SPDP, Datuk Peter Nansian Ngusie dilantik Menteri Muda Alam Sekitar.

Tiga Menteri Muda yang digugurkan ialah Datuk Bolhassan Di, Datuk Hamden Ahmad dan Datuk Ambrose Blikau.

Apapun ketiadaan wakil baru daripada SUPP dilantik dalam rombakan berkenaan tidak sedikitpun menimbulkan kejutan, berdasarkan prestasi hambar SUPP pada Pilihan Raya Umum 2006 yang tewas di lapan kerusi yang ditandingi berbanding kemenangan PBB di semua 35 kerusi ditandingi dan SPDP juga menang di semua lapan kerusi yang ditandingi pada pilihan raya umum 2006. PRS hanya tewas di satu kerusi, iaitu Ngemah dengan memenangi lapan kerusi lain yang ditandinginya.

Dua Menteri Muda SUPP kalah pada Pilihan Raya Umum 2006 ialah Datuk Sim Kheng Hui dan Datuk Alfred Yap dengan dua kuota kekosongan yang mereka tinggalkan dibiarkan kosong sejak sekian lama sehingga rombakan kelmarin, namun SUPP tidak mendapat semula dua kuota terbabit.

“Kalau kita beri kepada SUPP bermakna SUPP akan diwakili 100 peratus dalam Kabinet (berdasarkan jumlah Ahli Dewan Undangan Negeri). Kalau ini dilakukan PBB dan parti komponen lain pun akan minta kuota 100 peratus... saya tak boleh nak beri.

“Jadi kita buat pelantikan berdasarkan kuota jumlah Adun yang mewakili parti komponen, secara adil dan saksama,” kata Ketua Menteri apabila diajukan soalan mengapa kekosongan dua jawatan yang sebelumnya diisi oleh wakil SUPP tidak diberikan semula kepada parti itu.

Seperkara lagi yang menarik dalam rombakan Kabinet Sarawak ialah kedudukan Adun Pelagus, Larry Sng Wei Shien, yang dikekalkan sebagai Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri, walaupun beliau kini tidak mewakili sebarang parti.

Ini berikutan tindakan PRS memecat keahliannya selepas berlaku krisis dalaman parti itu sebelum ini sehingga menyebabkan ada dua presiden — di kem A diterajui Datuk Seri Dr James Jemut Masing dan Kem B diterajui Sng sendiri. Namun Pendaftar Pertubuhan (ROS) memutuskan Masing sebagai Presiden yang sah.

Ramai yang meramalkan kemungkinan Larry akan digugurkan dalam rombakan kali ini apa lagi beliau sudah tidak sehaluan atau tidak sebulu dengan pucuk kepemimpinan dalam PRS serta sudah berstatus wakil rakyat tanpa parti.

Rasional di sebalik pelantikan Talib sebagai Menteri Muda Pelancongan menurut Taib adalah berdasarkan pengalamannya di bidang berkenaan terutama dalam menerajui Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) yang berkait rapat dengan industri pelancongan, sektor yang semakin penting menjelang 2012, dan pada masa sama jawatannya sebagai Pengerusi SEDC tetap akan dikekalkan.

Bagi Dr Stephen Rundi yang juga Setiausaha Agung PBB, kegigihan dan kerja keras beliau selama ini akhirnya mendapat kepercayaan Taib untuk turut melantiknya dalam Kabinet, dengan jawatannya sebagai Pengerusi Lembaga Sungai Sungai Sarawak (LSSS) akan diisi calon sesuai mulai 1 Disember ini.

Begitu juga Abdul Wahab, Nansian, Mong dan Sikie, semuanya berpengalaman dalam bidang masing-masing dengan Taib yakin mereka berkemampuan memikul amanah dan tanggungjawab yang diberikan.

Ketiadaan wakil rakyat wanita dalam pelantikan baru itu turut menimbulkan tanda tanya apa lagi setakat ini hanya ada seorang wakil wanita dalam Kabinet Sarawak, iaitu Datin Fatimah Abdullah sebagai Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri dengan jawatannya turut dikekalkan.

“Saya tidak akan melantik wakil rakyat yang baru sepenggal dalam Kabinet. Kita beri peluang mereka berkhidmat di kawasan terlebih dulu, tumpukan sepenuh perhatian kepada kawasan,” kata Taib mengulas perkara itu serta merujuk kepada wakil rakyat wanita yang ada (selain Fatimah) semuanya baru sepenggal, iaitu Adun Samariang, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali; Adun Lingga, Simoi Peri dan Adun Bekenu, Rosey Yunus.

Rombakan kali ini menyaksikan Taib sendiri mengekalkan portfolio Menteri Kewangan serta Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber.

Dr Chan yang juga Timbalan Ketua Menteri, ditugaskan memegang portfolio baru Menteri Pelancongan dan Warisan selain terus menerajui Kementerian Pembangunan Perindustrian, manakala seorang lagi Timbalan Ketua Menteri yang juga Timbalan Presiden PBB, Tan Sri Alfred Jabu Numpang, yang mengekalkan portfolio Pembangunan Luar Bandar, turut mengambil alih portfolio Modernisasi Pertanian daripada Dr Chan.

Presiden SPDP, Datuk Seri William Mawan dan Presiden PRS ,Datuk Seri Dr James Jemut Masing, kekal portfolio masing-masing sebagai Menteri Pembangunan Sosial dan Urbanisasi dan Menteri Pembangunan Tanah.

Seorang lagi Timbalan Presiden PBB, Datuk Amar Abang Johari Openg, akan menerajui Kementerian Perumahan dan Pembangunan Bandar, yang sebelumnya dikenali sebagai Kementerian Perumahan saja.

Naib Presiden PBB, Datuk Seri Michael Manyin, mengambil alih portfolio Pembangunan Infrastruktur dan Komunikasi, manakala Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Wong Soon Koh kekal sebagai Menteri Alam Sekitar dan Kesihatan Awam. Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan turut kekal dengan portfolio Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua, selain Menteri Kemudahan Awam.

Menteri Muda yang mengekalkan jawatan masing-masing ialah Mohd Naroden Majais (Perancangan dan Pengurusan Sumber); David Teng Lung Chi (Industri Makanan); Datuk Peter Nyarok Entrie (Pertanian - Pertubuhan Peladang dan Koperasi); Datin Fatimah Abdullah (Pertanian dan Pem-bangunan Wanita); Dr Abang Abd Rauf Zen (Pembangunan Perindustrian); Larry Sng Wei Shein (Pembangunan Perindustrian dan Hal Ehwal Belia); Datuk Daud Abdul Rahman (Pembangunan Infrastruktur); Datuk Lee Kim Shin (Komunikasi dan Sukan); Datuk Gramong Juna (Pembangunan Luar Bandar); Francis Harden Hollis (Pembangunan Tanah); Sylvester Entri Muran (Pembangunan Tanah dan Kemudahan Awam); Datuk Soon Choon Teck (Perumahan dan Pembangunan Bandar). — Berita Harian

No comments

Powered by Blogger.