Rupa-rupanya Ketua Parti Komunis China sangat dialu-alukan di Malaysia..!!

Hu Jintao, Presiden China Komunis dan Ketua Parti Komunis Negeri China, akan melawat Malaysia pada hari ini dan akan menjadi tetamu Negara.

Bukan sahaja Malaysia mengalu-alukan Tetamu Komunis itu bahkan badan-badan Korporat turut mengalu-alukan beliau. Semuka penuh didalam The Star hari ini menempatkan iklan mengalu-alukan Hu Jintao dari Sime Darby.

Sime Darby adalah sebuah syarikat korporat pertanian milik Kerajaan Malaysia. Diceriterakan bahawa saham-saham Sime Darby akan bertukar tangan.

Pada tahun-tahun empat puluhan dulu usahkan pemimpin-pemimpin Komunis nak pijak kaki ke bumi Malaya, Sabenah dan Sarawak; sebut "komunis" pun tak boleh. Mereka itu dikenali sebagai pengganas, dan oleh kerana begitu benci pendokong-pendokong Perikatan dan kini Barisan Nasional, mereka sanggup mengubah Sejarah Negara, iaitu menggolongkan perjuangan menentang Komunis sebagai perjuangan menentang Penjajah.

Kisah-kisah menyayat hati anggota-anggota Polis dan Askar yang cedera dan mati kerana menentang komunis disejarahkan sebagai pejuang-pejuang kemerdekaan, walhal Parti Komunis Malaya adalah parti yang terulung di Malaya yang menentang Penjajah Inggeris; mereka menentang penjajah Inggeris bukan sahaja dengan ideologi politik mereka bahkan mereka sanggup mengangkat senjata untuk menuntut kemerdekaan. Merekalah yang paling ulung menentang Penjajah, dan bergabung dengan parti-parti kiri dan kebangsaan yang progresif perjuangan mereka menentang Inggeris mendapat sanjungan pejuang-pejuang kemerdekaan seluruh dunia.

Perjuangan mereka diiktiraf oleh Kesatuan-Kesatuan Sekerja di Britain, dan mereka mengadakan demonstrasi-demonstrasi menentang penjajahan Inggeris di Malaya, dan oleh kerana Inggeris kehilangan stamina untuk menentang pejuang-pejuang kemerdekaan di Malaya, maka mereka ajukan satu kompromi untuk memberikan kemerdekaan kepada Malaya.
Inggeris haramkan semua parti-parti politik yang berjuang untuk Merdeka, dan mereka sokong parti politik yang takut berjuang untuk kemerdekaan Tanah Air pada waktu itu. Anggota-anggota parti itu kebanyakannya adalah terdiri daripada mereka yang pro-Inggeris dikalangan pegawai-pegawai Kerajaan kaum Melayu dan laungan perjuangan mereka adalah HIDUP MELAYU, dan mereka takut melaungkan MERDEKA.


Malaya yang Merdeka dibawah pemerintahan pro-penjajah didalam batang tubuh Perikatan melancarkan serangan habis-habisan terhadap komunis dan propaganda Perikatan pada waktu itu bahawa Komunis adalah Pengganas, dan mereka menggambarkan bahawa pemerintahan Komunis adalah pemerintahan yang tidak beradab. Mereka gambarkan Negeri China sebagai Negeri yang kolot dan mundur dan rakyatnya berkebuluran dan berjuta-juta mati kerana kebuluran itu.

Kebencian mereka terhadap komunis bukan
sekadar kepada partinya bahkan kepada apa yang dijadikan simbol komunis seperti warna merah.
Saya masih ingat Tan Sri Ghazali Shafei pada waktu itu melarang orang Islam dari menggunakan sejadah berwarna merah kerana itu adalah warna komunis.

Parti-parti kiri di Malaya pada waktu itu ditindas habis-habisan, dan ISA seperti yang kita kenali sekarang ini digunakan untuk menangkap pemimpin-pemimpin dan anggota-anggota Parti Boroh Malaya dan Parti Rakyat Malaya, kononnya parti-parti ini adalah pro-komunis dan mereka memomokkan perjuangan Parti Boroh dan Parti Rakyat sebagai perjuangan komunis, dan mereka takutkan rakyat Malaya pada waktu itu bahawa jika rakyat menyokong kedua-dua buah parti yang bergabung didalam Socialist Front itu dan jika parti gabungan itu menang, rakyat akan mengalami kekebuluran seperti yang berlaku di Negeri China.

Begitulah jahatnya propaganda Perikatan dan Barisan Nasional.
Tuntutan dari parti-parti kiri di Malaya pada waktu itu adalah supaya Malaya/Malaysia mengadakan hubungan diplomatik dengan Negara-Negara yang diperintah oleh Komunis pada masa itu seperti Republik Rakyat China, Russia, Negara-Negara Eropah Timur, Cuba dan sebagainya.

Perikatan mentohmah tuntutan ini sebagai tuntutan pro-komunis kerana Malaya pada waktu itu terikat dengan dasar London dan Washington.
Diatas keperluan yang tidak dapat dielakkan Tun Abdul Razak Hussain sebagai Perdana Menteri Malaysia Kedua telah menjalinkan hubungan diplomatik dengan China, memecahkan suatu suasana politik yang dogmatik; namun sikap Malaysia terhadap komunis tidaklah berubah.

Hari ini Hu Jintao mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia. China yang diwakili Hu adalah sebuah China dibawah pemerintahan Parti Komunis dan sebuah ekonomi yang maju, bahkan adalah diforecastkan bahawa ekonomi China akan mengatasi ekonomi USA dan Jepun didalam jangka yang terdekat.

Pertumbuhan ekonomi China pada hari ini adalah diatas kadar 8% jauh meninggalkan semua kadar pertumbuhan di Negara-Negara kapitalis.
Itulah kekuatas China di bawah Parti Komunis.

Usahlah diimpikan bahawa Cina di Negeri China itu mempunyai kesamaan dengan Cina di Malaysia ini. Orang-orang kaya Cina di Malaysia menganut fahaman kapitalis dan mahu menggondol kekayaan ekonomi. Ini berbeza dengan ekonomi China bahawa mereka berpegang kepada ekonomi rakyat dan kepentingan Negara.

Semoga kehadiran Hu Jintao dapat mengubah persepsi rakyat Malaysia yang selama ini mempunyai pandangan serung terhadap perjuangan komunis.

Sebagai orang Islam, kita bukan penganut komunis, tetapi banyak pelajaran dan pengajaran yang boleh kita belajar dari China yang berjaya menukar landskap ekonomi mereka dari agraria kepada undustrial dan dari mundur kepada kejayaan.

by Suhaimi Said
Selasa, 2009 November 10

No comments

Powered by Blogger.