SHAH ALAM, 10 NOV - Sejumlah 249 projek baru dengan nilai pelaburan bernilai lebih RM7 bilion diluluskan bagi tempoh Mac 2008 hingga Julai tahun ini di negeri Selangor.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan negeri, Teresa Kok Suh Sim berkata, daripada jumlah itu, kira-kira RM2.667 bilion terdiri daripada pelaburan tempatan manakala RM4.336 bilion adalah pelaburan asing.

“Projek-projek baru yang diluluskan oleh Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) ini mampu menyediakan sebanyak 18,166 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan di Selangor,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan M.Manoharan (DAP-Kota Alam Shah) yang mahu Kok menjelaskan jumlah kemasukan pelaburan baru di Selangor
sejak pakatan pembangkang mengambil alih tampuk pemerintahan dari Barisan Nasional pada Mac 2008.

Antara kawasan yang menjadi tumpuan pelabur asing di Selangor adalah Shah Alam yang mewujudkan 4,870 peluang pekerjaan, Klang (4,082) Pelabuhan Klang (1,404), Pulau Lumut dan Pulau Indah (655), Subang (783), Puchong (956), Semenyih (363), Banting (121) dan Kapar (477), Balakong (187) dan Kajang (340).

Kok juga berkata Selangor adalah antara penyumbang terbesar perdagangan di Maaysia iaitu melalui projek pelabuhan Klang dan Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA.
Ketika menjawab soalan Datuk Subahan Kamal (BN-Taman Templer), Kok yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kinrara berkata kerajaan negeri telah melaksanakan beberapa strategi pada tahun ini untuk meningkatkan jumlah perdagangan di negeri ini.

Antara strategi itu adalah mempromosikan kawasan tertentu seperti Pulau Indah sebagai kawasan aktiviti perdagangan atau pun ‘trading hub’ bagi melaksanakan program berorientasikan jaringan perniagaan atau program temu suai perniagaan; menganjurkan misi lawatan penggalakan pelaburan dan perdagangan ke luar negara yang berpotensi dan penyertaan syarikat-syarikat dari Selangor dalam pameran-pameran yang dianjurkan di dalam dan luar negara.

No comments

Powered by Blogger.