Sumber: Sinar Harian
Penulis: Dr. Aisar Yee Abdullah
Tajuk: Royalti : Keikhlasan UMNO Ditagih

Dua perjanjian dimeterai. Satu Kelantan bersetuju menyerahkan hak mengendali petroleum yang ditemui di dalam perut buminya dan di pesisir pantai negerinya kepada Petronas dan perjanjian kedua di mana Petronas bersetuju membayar royalti sebagai balasan kepada penyerahan hak itu.....


Royalti : Keikhlasan UMNO Ditagih

Dr. Aisar Yee Abdullah

Terengganu, Sabah dan Sarawak masing-masing dibayar royalti petroleum yang ditemui di pesisir pantai negeri-negeri berkenaan. Jumlah royalti yang dibayar adalah mengikut jumlah minyak yang ditemui. Di bawah Petroleum Development Act, Petronas dikehendaki membayar lima peratus daripada nilai petroleum yang ditemui di daratan atau di pesisir pantai mana-mana negeri di Malaysia.

Petronas berupa penyumbang besar kepada hasil Kerajaan Pusat. Pada 2008, bayaran Petronas kepada Kerajaan Pusat dalam bentuk dividen, cukai dan cukai eksport membentuk 45 peratus daripada pendapatan kerajaan. Kerajaan Negeri yang hanya menerima lima peratus sahaja daripada royalti petroleum mendapat manfaat besar dan mampu membangun negeri dari kadar sekecil itu. Tersergamnya masjid-masjid indah di Terengganu mempamerkan nikmat itu.

Kelantan mula membuat tuntutan mendapatkan royalti petroleum. Gerakan membuat tuntutan itu diperhebat semasa kempen pilihan raya kecil Manek Urai. Isu kemunduran Manek Urai yang dibangkitkan UMNO menjadikan Kelantan lebih ghairah menuntut royalti membangunkan negerinya.

Kelantan menuntut, berdasarkan perjanjian yang ditandatanganinya di antara Tengku Razaleigh, Pengerusi Petronas merangkap Ketua Eksekutifnya (ketika itu) yang mewakili Petronas dan Datuk Haji Mohamed Nasir mewakili Kerajaan Kelantan, ia berhak dibayar royalti.

Dua perjanjian dimeterai. Satu Kelantan bersetuju menyerahkan hak mengendali petroleum yang ditemui di dalam perut buminya dan di pesisir pantai negerinya kepada Petronas dan perjanjian kedua di mana Petronas bersetuju membayar royalti sebagai balasan kepada penyerahan hak itu.

Kajian-kajian awal oleh Petronas ketika itu sudah mendedahkan bahawa petroleum ditemui di perairan Sabah, Sarawak, Kelantan dan Terengganu. Tengku Razaleigh baru-baru ini mendedahkan bahawa dia meminta izin Tun Abdul Razak untuk membayar royalti itu kepada negeri-negeri berkenaan sebagai usaha membawa negeri-negeri berkenaan menjadi maju.

Razaleigh sedar bahawa negeri-negeri di Pantai Timur dan Malaysia Timur amat mundur dan wang royalti yang dibayar nanti boleh mengimbangi kemajuan yang dicapai oleh negeri pantai barat. Razaleigh sedar negeri-negeri yang mundur ini kebanyakannya dihuni oleh orang Melayu dan Bumiputera. Tun Razak bersetuju dengan idea Razaleigh dan memberi keizinannya.

Dengan adanya wang royalti itu pun, negeri-negeri berkenaan belum berjaya mengatasi kemajuan dicapai oleh negeri-negeri lain di Malaysia.

Pengagihan wang royalti tidak mengalami masalah di Sabah dan Sarawak memandangkan negeri itu terus menerus dikuasai BN. Di Terengganu, pembayaran menjadi tidak lancar ketika Pas memerintah negeri tersebut buat sepenggal.

Perdana Menteri ketika itu, Mahathir Mohamad, menghentikan bayaran kepada Kerajaan Negeri berdasarkan alasan bayaran itu bukanlah hak mutlak Kerajaan Negeri. Dia menganggap itu sebenarnya berdasarkan ihsan Kerajaan Pusat semata-mata. Dia mengetepikan perjanjian ditandatangani sebelum ini.

PM selepasnya pula menolak hak Kelantan di atas dasar penggalian petroleum itu dibuat di luar kawasan Kelantan. Kerajaan Kelantan sebaliknya berusaha keras untuk membuktikan bahawa ia sememangnya terletak dalam perairan Kelantan. Satu ekspedisi dihantar ke pelantar Cakrawala pada awal Ogos tahun ini untuk membuktikan itu.

Perkara itu disahkan anggota Exco, Datuk Husam Musa yang mengetuai ekspedisi ke pelantar petroleum Cakrawala itu. Selain itu, terdapat tiga lagi telaga petroleum yang juga berhampiran perairan Kelantan. Kedudukannya hanya sejauh 68 batu dari perairan Tok Bali.

Nik Aziz, dalam kenyataan ringkasnya selepas menyambut kepulangan rombongan ekspedisi tersebut meminta Kerajaan Pusat khususnya Najib memandang serius kenyataan bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh, supaya Kerajaan Pusat membayar royalti tersebut kepada Kelantan.

Ekspedisi misi royalti bagi meninjau kawasan pengeluaran petroleum di pelantar minyak Cakrawala menggunakan bot nelayan meredah Lautan Cina Selatan memakan masa lebih 26 jam pergi dan balik.

Misi yang menyabung nyawa itu di mana mereka yang pergi hanya menaiki bot ikan sahaja dibuat di atas tekad untuk meyakini bahawa penggerudian di buat di atas bumi Kelantan. Bagi mereka yang menyertai misi Kerajaan Kelantan ini, mereka tidak takut semata-mata kerana mahu mempertahankan prinsip.

Ada dakwaan mengatakan Khairy Jamaluddin, Ketua Pemuda UMNO, Alwi Che Mat, Ketua Pembangkang DUN Kelantan dan Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, Mustapa Mohamed turut dijemput menyertai rombongan ini tetapi mereka menolak.

UMNO mempunyai peluang besar untuk menang di Kelantan jika ia mampu memberi gambaran jelas tentang kedudukan duit royalti ini. Kedudukan pelantar yang tidak jauh berbeza dengan yang kedapatan di Terengganu meyakinkan rakyat Kelantan bahawa mereka menjadi mangsa politik.

Semasa pemerintahan BN di Terengganu, bayaran royalti petroleum dilangsaikan sebagaimana yang tersebut dalam perjanjian. Selepas Pas mengambil alih pentadbiran negeri, bayaran itu dimansuhkan dan diganti dengan bayaran berbentuk wang ihsan.

Sebelum itu bayaran dibayar terus ke kantung perbendaharaan negeri tetapi selepas mengalami kekalahan di Terengganu, Mahathir mengarahkan Petronas membayar terus kepada satu tabung yang diurus oleh pentadbiran UMNO negeri dan bahagian.

Wang itu dibelanjakan UMNO untuk projek gelombang birunya yang akhirnya membawa kepada kejatuhan kerajaan Pas. Barangkali, teknik yang sama ingin digunakan di Kelantan apabila Najib mengumumkan pemberian wang ihsan untuk Kelantan yang disalurkan kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan yang diyakini akan menurut telunjuk pemimpin UMNO tempatan.

Pengumuman Najib itu langsung tidak merangsang kegembiraan di kalangan pimpinan Kerajaan Negeri Kelantan. Mereka menuntut bayaran wang royalti sebagaimana yang termaktub dalam perjanjian di antara Kerajaan Kelantan dan Petronas dulu.

Lagipun, orang yang bertanggungjawab merangka perjanjian itu, Tengku Razaleigh sendiri mengaku bahawa Kelantan berhak menerima bayaran royalti dan bukannya wang ihsan. Pengumuman Najib sangat mengecewakan rakyat dan negeri Kelantan. Pastinya mereka rasa dipermainkan.

Berdasarkan pengumuman dibuat, bayaran wang ihsan akan bermula hanya pada tahun depan. Kenapa tahun depan sedangkan pengeluaran dari pelantar yang terletak di Kelantan bermula tahun 2005? Kenapa tiada tunggakan bermula 2005 hingga 2009? Tentu wang itu sudah pun diperuntukkan oleh Petronas dan ke manakah lesapnya wang itu? Rakyat Kelantan inginkan jawapan.

Bayaran wang ihsan sebagaimana diumumkan baru-baru ini akan berdasarkan pengeluaran dan penjualan hasil dari pelantar Bumi Selatan sahaja. Rekod menunjukkan terdapat sekitar 35 telaga beroperasi di Kelantan. Adakah semuanya terletak dalam lingkungan Bumi Selatan? Kalau tidak, kenapa dan di manakah terletaknya yang lain? Siapakah berhak membelanjakan wang ini tanpa restu Kelantan?

Paling malang bagi rakyat dan Kerajaan Negeri Kelantan ialah wang ini akan dibelanjakan di luar kawalannya. Ingatan orang ramai akan kembali pergi ke Terengganu di mana wang itu belanjakan sewenangnya untuk projek yang membazir seperti Monsoon Cup. Akan berulangkah sejarah?

Mahathir sendiri pernah menulis ini: “We know that since the BN regained Terengganu in 2004, all kinds of projects have been developed in Terengganu. This includes The Monsoon Cup, luxury housing for sale to foreigners, Crystal Mosque and theme park, university, etc. Some of these projects are very good but many are totally unnecessary and wasteful.”

Beliau mengakui banyak projek membazir dibuat dan banyak tidak menguntungkan rakyat Terengganu. Kontrak pun diberikan kepada orang luar Terengganu. Menteri Besar Terengganu hari ini, Ahmad Said pernah mengadu bahawa jalan berharga puluhan juta dibangunkan di dalam hutan menggunakan dana wang ihsan ini!

Kelompok yang amat berpengaruh untuk mengembalikan hak rakyat Kelantan ialah UMNO negeri Kelantan. Ia tidak boleh berpeluk tubuh memerhatikan gelagat ini. UMNO Kelantan hendaklah berusaha agar setiap sen wang ini menjadi milik rakyat Kelantan. Ia tidak perlu bermain politik.

UMNO Kelantan tidak boleh mengaku bahawa ialah yang bertanggungjawab menyebabkan Kerajaan Pusat membayar wang ihsan ini. Semasa para pemimpin Kerajaan Negeri bising membuat tuntutan, UMNO Kelantan berpeluk tubuh sahaja.

UMNO Kelantan hendaklah bertindak supaya bukan wang ihsan yang dibayar tetapi royalti penuh dan bukan kepada jabatan Kerajaan Pusat tetapi Kerajaan Negeri dan bukan bermula tahun 2010 tetapi 2005, iaitu tarikh mula minyak dikorek daripada perut Kelantan.

UMNO hendaklah menunjukkan ia ikhlas dan pastinya suatu hari nanti jasa UMNO Kelantan akan dihargai oleh rakyat Kelantan. Penuhilah hasrat mulia Tengku Razaleigh yang ingin melihat negeri-negeri yang ramai berpendudukan Melayu dan Bumiputera itu maju.

Janganlah membuat UMNO dilihat sebagai satu parti yang berusaha keras membantut kemajuan orang Melayu Kelantan semata-mata kerana perbezaan politik. UMNO hendaklah berpegang teguh kepada konsep Satu Kelantan, rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan.


Original Post: http://www.sinarharian.com.my/com/content/story5993044.asp

No comments

Powered by Blogger.