Tidak Ada Apa Yang Perlu Dirisaukan Dalam PAS - 1

Oleh smartlife

"Tuan Guru Haji Hadi Awang, merupakan seorang tokoh ilmiah dalam bidang aqidah, ibadah dan syariah. Ketokohan beliau dalam pelbagai bidang bukanlah tujuan utama tulisan saya kali ini. Cuma yang saya ingin utarakan ialah betapa sibuknya beliau dalam melayani kehendak umat Islam di Malaysia khususnya yang dahagakan ilmu. Tidak cukup dengan kuliah maghrib dan subuh, masa beliau diisi lagi dengan kuliah dhuha. Itu belum lagi dengan ceramah-ceramahnya di serata negara dan luar negara.

Dalam situasi yang begini, sudah tentulah beliau menghadapi masalah kekangan masa. Dengan itu, sudah tentu beliau menyerahkan beberapa tugas-tugas parti kepada mereka yang berkelapangan.

Dalam masa yang sama juga, mereka yang berkenaan akan sentiasa mengingatkan TGHHA tentang program-program beliau dari masa ke semasa.

Tidak lepas juga dengan nasihat bahawa agar TGHHA berehat seketika setelah penuh dengan program sebelumnya, sebelum mempengerusikan sebarang mesyuarat. Tidak mustahil juga, nasihat ini akan diulang lagi semasa mesyuarat berjalan.

Sebagai seorang tuan guru dan pemimpin gerakan Islam, sudah tentulah TGHHA meletakkan kepercayaannya untuk menguruskan beberapa hal dalam parti kepada mereka yang sepatutnya. Sudah tentulah sebagai seorang imam, beliau yakin bahawa penggantinya akan sentiasa memastikan solat yang dikerjakannya itu diterima Allah.

Oleh itu, dalam beberapa mesyuarat utama yang diadakan, sudah tentu TGHHA juga meletakkan juga sepenuh kepercayaan kepada penggantinya. Tidak ada apa yang perlu dirisaukan dalam PAS, semuanya beres. Kepercayaan yang diberikan untuk mempastikan gerakan Islam ini diuruskan dengan baik, sesuai dengan matlamat parti tidak perlu diragui lagi. Mereka pun bekerja untuk Islam. Mereka juga mencari keredhaan Allah. Tidak ada apa yang perlu dirisaukan. InsyaAllah.

Namun, manusia tetap bernama manusia. Iblis sentiasa mencari ruang dan peluang. Jika tidak masakan Nabi Adam a.s., termakan dengan bujukannya dan diperintah keluar dari syurga. Angin sepoi-sepoi bahasa yang ditiupkan oleh iblis dengan janji-janji kesenangan tetap ada.

Suara-suara daripada Khairi Jamaludin, yang cuba mengaitkan PAS dengan DSAI sentiasa berkemundang dari masa ke semasa. Dipalukan dengan gendang-gendang betapa bodohnya PAS sama ada dari pucuk pimpinannya hinggalah ke ahli-ahlinya kerana patuh dengan DSAI.

Dinyanyikan lagi dengan lagu mengapa PAS sanggup bekerjasama dengan DAP tetapi tidak dengan UMNO. Dihamburkan dan ditebarkan lagi dengan putik-putik perkauman. Kelembutan Imam Hadhari juga, sedikit sebanyak berjaya menarik minat pucuk pimpinan ( Itu saya tak ulas dalam tulisan ini).

Janji-janji dengan jawatan juga datang. Kedudukan, sebagaimana janji Iblis kepada Hawa dan Adam juga tergiang-giang pada telinga mereka. Nah! Apa lagi? Inilah masanya. Sokongan ahli mesti dipergunakan. Kenyataan bahawa, ahli mesti memberi wala' kepada pemimpin sentiasa dimain-mainkan pada telinga ahli-ahli dari semasa ke semasa.

Tidak ada apa yang perlu dirisaukan dalam PAS. Ahli akan akur, Presiden telah beri kepercayaan. Maka langkah mesti dimulakan. Hinggakan ada yang berseloroh mengatakan "Nasha dah mainkan kepala Hadi Awang."

No comments

Powered by Blogger.