Yb Zul Mengulas Isu Penahanan Bekas Mufti Perlis

Salam 2 all.

Saya mengutuk keras tindakan Jabatan Agama Islam Selangor yang menahan bekas Mufti Kerajaan Negeri Perlis, Sahibus Samahah Dr. Mohd. Asri Zainal Abidin semalam Ahad 13 Zul Qaedah 1430 / 01 Nov. 2009. Dr. Mohd. Asri ditahan ketika memberikan ceramah di sebuah banglo di Taman Sri Ukay, Ulu Klang, Selangor atas dakwaan kononnya tidak mempunyai tauliah.

Saya hairan atas alasan apa JAIS mendakwa Dr. Mohd. Asri tidak mempunyai tauliah untuk menyampaikan ceramah. Dr. Mohd. Asri bukan sahaja seorang ilmuan Islam dengan kelulusan ijazah doktor falsafah dalam syariah, beliau adalah bekas Mufti Kerajaan Negeri Perlis.

Mufti adalah seorang yang layak mengeluarkan fatwa menurut peruntukkan undang-undang yang ada. Adakah orang yang layak dan berkuasa mengeluarkan fatwa tidak layak memberikan ceramah agama!

Saya tidak faham apakah kayu pengukur yang digunakan oleh JAIS dalam tindakannya. Saya masih ingat lagi bagaimana JAIS mengambil tindakan terhadap bekas Mufti Selangor sendiri Sahibus Samahah Al Marhum Datuk Ishak Baharom setelah Almarhum dipecat daripada perkhidmatan jawatan Mufti atas desakan Tun Dr. Mahathir pada lewat tahun 1990an.

Dr. Mohd. Asri juga adalah seorang pensyarah dalam bidang syariah di Universiti Sains Malaysia. Apakah seorang pensyarah dalam hal ehwal Islam tidak layak untuk menyampaikan ceramah di masjid-masjid dan surau-surau? Bagaimana dengan beribu pensyarah, professor dan ustadz-ustadzah yang mengajar di banyak universiti, kolej, sekolah dan lain-lain? Apakah mereka juga tidak layak menyampaikan ceramah hanya kerana tiada tauliah daripada JAIS.

Dr. Mohd. Asri baru-baru ini ditawarkan oleh YAB Perdana Menteri untuk menjadi Yang DiPertua Yayasan Da'wah Islam Malaysia (YADIM). Apakah ilmuan yang difikirkan dan ditimbang layak mengetuai sebuah badan da'wah yang besar dan berprestij itu tidak layak untuk menyampaikan ceramah agama? Tindakan JAIS adalah satu penghinaan kepada YAB Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia.

Malahan PAS sebagai sebuah parti politik berteraskan Islam sangat berminat untuk mendapatkan Dr. Asri menyertai mereka. Ketua Dewan Ulama' PAS Datuk Harun Taib baru-baru ini mempelawa Dr. Mohd. Asri menyertai PAS. Pelawaan Ketua Dewan Ulama' PAS itu disokong sepenuhnya oleh Naib Presiden PAS YB Datuk Mahfuz Omar dan Ketua Dewan Muslimat PAS Hajjah Nuridah Mohd. Salleh.

Ini bermakna Dr. Mohd. Asri adalah seorang ulama' yang diterima oleh pelbagai pihak dan dari pelbagai lapisan masyarakat. Jadi saya tidak faham apakah alasan dan kayu pengukur yang digunakan oleh JAIS untuk tidak memberikan tauliah kepada Dr. Mohd. Asri; malahan bertindak menahan beliau kerana menyampaikan ceramah.

Saya difahamkan oleh YAB Tan Sri Menteri Besar Selangor bahawa ini bukan dasar Kerajaan Negeri Selangor dan tindakan JAIS ini tidak drestui oleh kerajaan negeri Selangor. Malahan YAB Perdana Menteri sendiri mengkritik keras tindakan JAIS. Persoalannya, JAIS bertindak atas arahan siapa? Apakah JAIS sudah menjadi hantu tidak bertuan, mengambil tindakan sewenang-wenangnya mengikut nafsu serakah sendiri.
Apa yang menghairankan saya, mengapa JAIS langsung tidak bermaya malahan kelihatan begitu bacul dan dayus apabila kumpulan dan individu tertentu melakukan kesalahan menghina Islam saperti kumpulan Sisters in Islam yang jelas dalam kenyataan dan tindak tanduk mereka menghina Islam.

Pada saya, tindakan JAIS adalah satu penghinaan kepada Ke Bawah Duli Raja Perlis kerana Bagindalah yang merestui perlantikan Dr. Mohd. Asri sebagai Mufti Perlis dahulu, malahan Tuanku telah meminta Dr. Asri menimbang semula keputusan untuk tidak melanjutkan kontrak beliau sebagai Mufti.

Tindakan JAIS juga adalah satu penghinaan kepada YAB Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan yang telah menawarkan jawatan Yang Di Pertua YADIM, seolah-olah memeperlekehkan keputusan YAB Perdana Menteri.

Tindakan JAIS juga adalah satu penghinaan kepada Kerajaan Selangor yang dipinggirkan dalam keghairahan JAIS mengambil tindakan sendirian.

Oleh itu saya mendesak supaya:

1. Tindakan terhadap Dr. Mohd. Asri ditarik balik dan digugurkan;

2. JAIS hendaklah meminta maaf kepada Dr. Asri secara terbuka;

3. JAIS hendaklah meminta maaf kepada YAB Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan;

4. JAIS hendaklah meminta maaf kepada YAB Tan Sri Menteri Besar Selangor dan Kerajaan Selangor;

5. Pihak berkuasa hendaklah memulakan penyiasatan terhadap pegawai-pegawai JAIS serta anggota yang terlibat dalam penahanan Dr. Mohd. Asri;

6. Tindakan disiplin dan yang bersesuaian diambil terhadap JAIS dan para pegawainya yang terlibat;

7. Suatu proses penyeragaman perundangan berkaitan isu pemberian tauliah untuk penceramah dengan tujuan membuat kelonggaran membenarkan khutbah, ceramah dan kuliah agama dibenarkan disampaikan tanpa sebarang halangan kecuali jika ternyata penyampainya melakukan kesalahan dari segi isi penyampaiannya saperti menyebarkan ajaran sesat dan lain-lain.

Wassalam.


Zulkifli Bin Noordin
Isnin
14 Zulqaedah 1430 / 02 November 2009

No comments

Powered by Blogger.