JAIS ambil tindakan jika bersekedudukan

SHAH ALAM 1 Mac - Teman lelaki serta ibu kanak-kanak berusia tiga tahun yang meninggal dunia akibat didera, Syafiah Humairah Sahari akan dihukum mengikut undang-undang syariah sekiranya terbukti bersekedudukan dan mengadakan persetubuhan haram.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Muhammed Khusrin Munawi berkata, tindakan itu akan dikenakan berdasarkan peruntukan undang-undang syariah negeri itu yang termaktub di bawah Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

Katanya, berdasarkan enakmen tersebut, sekiranya ibu kanak-kanak berkenaan, Siti Norhanim Aziz, 25, serta teman lelakinya itu didapati bersalah, mereka boleh didenda RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau sebat tidak melebihi enam kali atau mana-mana kombinasi yang berkenaan.

Menurut Muhammed Khusrin, beliau telah mengarahkan Bahagian Pendakwaan JAIS untuk menyiasat perkara tersebut termasuk keadaan Siti Norhanim yang dikatakan kini hamil empat bulan.

“Saya telah arahkan Bahagian Pendakwaan JAIS melakukan siasatan dan mengambil keterangan daripada pasangan terbabit.
“Sebaik selesai siasatan dan apabila mendapat bukti-bukti yang kukuh, kita akan kemukakan untuk pendakwaan di Mahkamah Syariah,” katanya.
Muhammed Khusrin diminta mengulas sama ada JAIS akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Siti Norhanim serta teman lelakinya. yang dikatakan mengadakan perhubungan haram sejak enam tahun lalu.

Rahsia perhubungan pasangan terbabit yang didakwa menyamar sebagai suami-isteri itu terbongkar selepas siasatan polis mendapati Siti Norhanim dan teman lelakinya berusia 28 tahun itu tidak boleh berkahwin kerana wanita itu masih mempunyai suami.
Difahamkan, suami Siti Norhanim yang dikenali sebagai Sahari ditahan di Penjara Sungai Buloh kerana didakwa terbabit dalam kes bunuh sejak 2006.

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.