Kahwin budak: JHEAIK minta “Sudin Ajaib” serah diri

KOTA BHARU 16 Mac – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) meminta Shamsudin Che Derahman atau lebih dikenali sebagai “Sudin Ajaib” agar menyerah diri kepada jabatan itu bagi menyelesaikan beberapa kes termasuk isu perkahwinannya dengan seorang budak perempuan berusia 11 tahun.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguat Kuasa Undang-undang Syariah JHEAIK, Mohd. Ab. Aziz Mohd. Noor berkata, pihaknya kini belum dapat mengesan Shamsudin, 41, yang menghilangkan diri dan kini sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa di seluruh negara untuk menjejaki lelaki itu.

"Sudin Ajaib perlu hadir untuk hadapi perbicaraan mufarakah itu (berpisah sementara) selain dihadapkan ke mahkamah bagi membuktikan perkahwinannya adalah sah mengikut Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Kelantan 2002,” katanya di sini, hari ini.

Dalam kejadian baru-baru ini, Siti Nur Zubaidah Hussin, 11, yang dikahwinkan dengan Shamsudin ditemui pada pukul 6.30 petang di Madrasah Al-Ikhwan, Taman Samudera Jaya, Batu Caves, Selangor selepas 23 hari mereka berkahwin.

Sebelum ini, Shamsudin sempat menikahkan anaknya sendiri, Nur Hadhirah, 10, dengan seorang lagi rakan jemaahnya yang dikenali sebagai “Azhar” dalam sebuah kereta. – Bernama
Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.