Pendedahan Zulkifli Noordin bukti pembangkang sanggup lakukan apa saja

KUALA LUMPUR: Pendedahan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baru, Zulkifli Noordin, semalam mengenai tawaran kepada beliau untuk memburukkan Datuk Seri Najib Razak adalah bukti bahawa pembangkang sanggup melakukan apa saja termasuk menabur fitnah untuk menumbangkan kerajaan pimpinan Barisan Nasional.

"Saya tidak hairan dengan cerita sebegini, sebab ia jadi kebiasaan pembangkang untuk fitnah dan lancar strategi provokasi untuk dapat kuasa," kata Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional. Datuk Bung Moktar Radin, kepada Bernama di lobi Parlimen di sini hari ini.
Ahli Parlimen Kinabatangan itu mengulas pendedahan Zulkifli di Dewan Rakyat bahawa beliau pernah diberi tawaran lumayan oleh pihak tertentu untuk mengaitkan Perdana Menteri dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, dengan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu. Zulkifli yang dipecat daripada Parti Keadilan Rakyat, memberitahu Parlimen bahawa beliau pernah diminta mengaitkan anak Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, dengan satu kes pembunuhan pada 2004.

Dakwaan Zulkifli dibuat genap seminggu selepas Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim, yang bekas anggota PKR, bahawa rancangan "16 September" adalah satu pembohongan pembangkang.

Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir, berkata bahawa apa yang dinyatakan Zulkifli itu menunjukkan pembangkang sanggup melakukan perbuatan yang seolah-olah menghalalkan apa saja caranya untuk mencapai matlamat mereka.

Ahli Parlimen Tangga Baru, Datuk Idris Haron, berkata pengakuan Zulkifli menggambarkan beliau tidak tahan dengan taktik kotor sesetengah pihak dalam pakatan pembangkang.
Wakil rakyat Bebas Nibong Tebal, Tan Tee Beng, yang juga bekas anggota PKR, berkata dakwaan Zulkifli itu perlu diteliti pihak terbabit. - Bernama

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.