Anwar: Perpaduan, Semangat Juang Tulen Resipi Kemenangan Di Hulu Selangor

SUNGAI SELISIK 13 Apr - Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan kesemua calon sama ada yang terpilih untuk mewakili Hulu Selangor dalam pilihan raya kecil Parlimen 25 April depan atau sebaliknya supaya merapatkan saf dan perpaduan serta menunjukkan semangat perjuangan yang sejati bagi menjamin kemenangan Pakatan Rakyat.

Berucap di hadapan lebih 500 penyokong di Kampung Sekolah, Sungai Selisik dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Hulu Bernam semalam, Anwar berkata berbeza dengan pilihan raya umum 2008, PRK kali ini mempunyai ramai calon yang layak.

"Cara pemilihan calon kali ini berbeza sebab yang layak ramai, saya pun sampai suara serak, batuk sebab calon ramai (ketawa), semua baik, semua layak, semua handal, semua nampak kuat.

"Saya nak beritahu kawan-kawan kenalah sabar dan siapa pun yang dipilih kita sokong dan siapapun yang tak dipilih tunjukkan semangat kerja yang padu, barulah kita boleh mencapai kemenangan, barulah kita boleh kata kita ada pinsip perjuangan," kata beliau yang juga Ketua Pembangkang.

Beliau merujuk kepada semangat yang ditunjukkan oleh beberapa pimpinan parti yang tidak bertanding pada PRU ke-12 tetapi masih terus gigih menjalankan kerja dan berjuang.

"Tahun 2008 saya tak bertanding, Azizah sahaja yang bertanding, Dr Nur Manuty pun tak bertanding tapi kerja jalan juga dan begitu juga dengan ramai pimpinan lain yang tidak bertanding," kata beliau.

Menyentuh mengenai sifat kepimpinan yang disyaratkan oleh Pakatan Rakyat, Anwar berkata ini adalah perlu bagi rakyat membuat perbezaan antara pentadbitan Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional.

"Kalau dua tahun lalu kita ceritakan apa yang nak kita lakukan, dua tahun sudah berlalu dan sekarang kita mesti cerita apa yang kita telah lakukan. Media milik Umno tidak cerita yang yang dilakukan oleh Tan Sri Khalid tapi dia cerita pasal lembu.

"Berbeza dengan dulu kita sudah memerintah dan kita nak tunjukkan apa beza dua tahun di bawah Pakatan Rakyat dengan 50 tahun di bawah Umno. Yang lebih penting apakah syarat kepimpinan umpamanya siapa Menteri Besar dan sifat kepimpinannya seperti Tuan Guru Nik Aziz dan semua Menteri Besar dan Ketua Menteri mesti ikut cara beliau - Ustaz Azizan di Kedah, Lim Guan Eng di Pulau Pinang dan Nizar di Perak.

"Kita letakkan syarat tak boleh ambil kontrak, anak pinak tak boleh berniaga di negeri, tak boleh ambil balak negeri, tak boleh tanah negeri. Kalau kita tahu kita nasihat dia berhenti sebab itu ada Exco PKR di Kedah dia belanja lebih puluh-puluh ribu, kita beritahu dia tapi tak peduli, saya beritahu Menteri Besar, sama ada PAS, DAP atau KEADILAN kita sudah sumpah ikrar untuk bela rakyat. Nasihat dia betulkan balik dan cukup tahun gugurkan dia sebagai Exco. Dia tahu nak kena gugur dia pun lompat sokong Umno dan memang sesuai parti itu untuk dia," jelas Anwar lagi.

Anwar dijangka mengumumkan calon Pakatan Rakyat bagi Parlimen Hulu Selangor di Dewan Serbaguna Serendah pada pukul 9 malam ini.

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.