Hulu Selangor: Calon ditimbang PKR kini dua kali ganda

Oleh G. Manimaran dan Adip Zalkapli
KUALA LUMPUR, 2 April — Jumlah calon berpotensi untuk kerusi Parlimen Hulu Selangor yang sedang dipertimbangkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini bertambah dua kali ganda berbanding hanya sekitar lima orang disebut-sebutkan awal minggu ini.

The Malaysian Insider difahamkan pucuk kepimpinan dijangka menerima beberapa nama lagi sementara Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang bersiap sedia untuk mengumumkan tarikh pilihan raya pagi ini.

Sumber memberitahu Biro Politik yang bermesyuarat malam kelmarin ada disebutkan bahawa ibu pejabat parti telah menerima sekitar 10 nama setakat semalam.

“Kami diberitahu sudah ada 10 nama yang dikemukakan oleh pelbagai pihak,” kata seorang anggota Biro Politik yang tidak mahu namanya didedahkan.

“Datuk Seri Anwar ada sepintas lalu menyebut bahawa sudah menerima nama-nama dengan memberitahu sebahagiannya nama-nama yang disebutkan oleh media,” katanya ketika dihubungi.

Nama yang disebut-sebutkan sebelum ini Ketua Angkatan Muda PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin, Ketua Cabang Kelana Jaya Syed Shahir Syed Mahmud yang juga Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Ketua Cabang Sabak Bernam Badrul Amin, peguam N. Surendran dan anggota Majlis Pimpinan Pusat Datuk Zaid Ibrahim.

Satu nama lagi ialah Nashruddin Abdul Aziz yang merupakan Ketua PKR Cabang Hulu Selangor.

Tiga nama lain ialah naib ketuanya cabang itu Razali Mokhtar dan bendaharinya Datuk Dr Halili Rahmat.

Kini nama turut yang disebutkan Khalid Jafar.

Razali dan Halili merupakan kelahiran kawasan Hulu Selangor.

Halili pernah dua kali bertanding dalam pilihan raya umum sebelum ini pada 1999 (Hulu Selangor) dan 2004 (DUN Batang Kali), tetapi tewas kedua-duanya.

Sumber itu memberitahu mesyuarat malam tadi tidak membincangkan dengan terperinci aspek calon, sebaliknya akan dihalusi pada mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR Ahad ini.

“Kemudian ia akan diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa pemilihan yang dipengerusikan oleh presiden parti dan diteliti bersama oleh kepimpinan tertinggi Pakatan Rakyat,” katanya.

Katanya, pucuk kepimpinan akan mempertimbangkan sama ada mahu meletakkan calon tempatan ataupun calon peringkat nasional bagi mengharungi cabaran mengekalkan kerusi Parlimen Hulu Selangor.

“Ini dua aspek dipertimbangkan,” katanya.

SPR dijadual mengumumkan tarikh pilihan raya termasuk hari penamaan calon dan pengundian hari ini.

Sumber itu menambah Pengerusi PKR Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim juga ada membentangkan laporan awal persediaan menghadapi pilihan raya.

“Laporan lanjut akan dikemukakan Ahad ini,” kata sumber.

Kemudian Anwar dikatakan mengadakan pertemuan dengan beberapa calon yang berpotensi.

Pilihan raya kecil itu berikutan kematian penyandang kerusi kawasan itu, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad dari PKR akibat barah otak.

Pada pilihan raya umum lalu, Allahyarham yang juga bekas Timbalan Menteri Besar Selangor menewaskan calon BN Datuk G. Palanivel dengan majoriti tipis 198 undi.

Allahyarham menyertai PKR pada 2005, memperoleh 23,177 undi manakala Palanivel yang juga Timbalan Presiden MIC, mendapat 22,979 undi.

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.